Thursday, September 24, 2009

Selamat Berjuang dengan Rasmi-21



Alhamdulillah, usia sudah mencecah 21 pada tarikh ini, semoga Allah panjangkan umur dan murah rezeki. Yang paling penting, Tak sabar dah nak daftar mengundi, dah cukup umur untuk berbakti dengan rasmi:) Selamat berjuang untuk diri yang semakin tua ini. Kepada sekalian pembaca, diharapkan dapat menDoakan kejayaan saya dunia dan akhirat. Sekian salam sayang untuk semua.

Wednesday, September 16, 2009

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin kepada ibu bapa tersayang serta keluarga-keluarga saya di Kedah. Tidak dilupakan kepada para guru, sahabat blog dan sahabat yang mengenali diri ini. Saya memohon seribu kemaafan di atas kekhilafan yang lepas.

Ketibaan 1 Syawal merupakan tanda kemenangan umat islam menempuh ramadhan yang penuh keberkatan dan kenikmatan. Jadikan lah ramadhan kita pada tahun ini sebagai medan tarbiah untuk kita terus berubah dan menjadi insan yang terbaik selepas ini. Lalui lah bulan-bulan seterusnya dengan "set kelengkapan" yang kita telah persiapkan dibulan ramadhan.

Pandulah berhati2 ketika meyambut kegembiraan syawal ni. Elakkan pembaziran yang melampau, membeli secara berhemat. Sekian, Salam Aidilfitri :-)

Sunday, September 13, 2009

Malam Al Qadar anugerah Allah


Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu saja.

Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang artinya : Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu.

Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya.

Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa.

Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat.

Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang artinya : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). - Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa -

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang artinya : Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. - Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit -

3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.

Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.


Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda lailatul qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.

b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.

c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.

d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.

Thursday, September 10, 2009

Keadilan Umar Al-Khattab terhadap rumah ibadah agama lain


YB KHALID SAMAD. AHLI PARLIMEN SHAH ALAM
Saya ingin mengambil
kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu.

Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa' fi sirah al-Khulafa', tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim.

"Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut. Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, "Saya ingin mengerjakan solat." Jawab Patriach: "Solat sahajalah di sini".

Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar) di tangga yang berada di hadapan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas beliau menyelesaikan solat asar, beliau (masuk kembali lalu) berkata kepada Patriach al-Quds :

"Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa ummat Islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Saidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya".

ImageKisah di atas menceritakan respon Saidinna Umar kepada cadangan Patriach supaya beliau solat di dalam gereja al-Qiamah. Respon Saidina Umar merupakan satu respon yang mengambil kira kepentingan golongan Nasrani dan Patriach sambil dalam masa yang sama melindungi Kanisah mereka.

Sehubungan dengan itu, sekiranya ummat Islam adalah peroboh kuil, gereja dan synagogue seperti yang didakwa oleh musuh-musuh Islam dan turut dipercayai oleh segolongan ummat Islam yang jahil, sudah pasti Saidina Umar akan bertindak sebaliknya.

Maka amatlah malang sekiranya ummat Islam sendiri tidak memahami konsep keadilan yang dipertahankan oleh Islam sepertimana yang telah dizahirkan oleh Saidina Umar. Konsep keadilan ini meliputi berbagai perkara, termasuklah keadilan terhadap orang bukan Islam sendiri.

Khalifah-Khalifah Islam sebelum mengutus tentera Islam sentiasa berpesan supaya tidak dibunuh kanak-kanak, orang tua, orang yang berlindung ditempat-tempat peribadatan dan tidak diroboh rumah-rumah peribadatan mereka. Begitu juga, tidak dibunuh haiwan ternakan kecuali untuk dimakan dan tidak dimusnahkan tanam-tanaman dan menebang pokok-pokok tanpa alasan.

Keadilan yang sebeginilah yang melonjakkan ummat Islam ke kedudukan istimewa satu ketika dahulu! Bukan kekejaman dan bukan kezaliman.

Menurut kisah ini juga, maka adalah jelas bahawa Saidina Umar memasuki gereja dan berbincang dengan Patriach di dalamnya. Dengan itu, adalah diharapkan tiada pula dari golongan jahil yang akan menggelar Saidina Umar dengan gelaran 'Umar Gereja' di atas sebab ini.

Saya sememangnya cukup hairan dengan sikap sebahagian dari ummat Islam dewasa ini. Mereka berhajat besar untuk memimpin dunia, tetapi tidak menzahirkan sikap yang memungkin cita-cita ini tercapai. Terlalu banyak yang disensitifkan sehinggakan tidak mungkin berbincang dan berunding dengan yang bukan Islam sama sekali.

Manakan mungkin menjadi pemimpin dunia yang majoritinya bukan Islam, sekiranya kita sendiri tidak mampu untuk berinteraksi bersama mereka bagi membuktikan keadilan Islam itu sememangnya untuk semua.

Khalid Samad adalah anggota Parlimen Shah Alam. _


Tuesday, September 8, 2009

Pembaziran mengejar emas Olimpik



BERITA HARIAN.COM
ANGKA besar - RM16 juta diperuntukkan kepada 19 atlit dari empat bidang sukan namun di bahu mereka dibebankan harapan tinggi supaya membawa pulang pingat emas pertama buat Malaysia di Olimpik London 2012.


........................................................

Pembaziran melampau, rm16 juta untuk 19 orang. Sedangkan masih ramai penduduk miskin yang tiada keperluan hidup yang secukupnya sewajarnya mendapat keutamaan dan pembelaan. Statistik kemiskinan masih tinggi.

Kalam Suci

Bukti agung Kuasa Pencipta

Indah bahasa serikan hati duka

Kalam Mukjizat untuk baginda nabi

Memimpin manusia yang alpa

Meniti benang penuh pancaroba

Tiada kata yang lebih bermakna

Bukan falsafah atau fahaman

Kalam penuh cerita dan panduan

Membaluti segenap cangkup kehidupan

Tiada cacat, malah sempurna



Manusia mudah lupa

Angkuh sombong sifatnya

Tentang seperti orang dungu

Yang dipuja, Yang disembah

Isme barat kesyaitanan

Yang dijilat najis-najis penjajah



Merdeka katanya, retorik jiwa

Realiti masyarakat rosak binasa

Ketandusan moral dan akhlak

Dek alpa Kalam yang mulia

Monday, September 7, 2009

Ketentuan yang perlu diterima


Bapa saudara saya sedang menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, mohon semua pembaca berdoa kesihatannya kerana beliau sekarang disahkan positif kanser dan H1n1. Saya sangat terkejut dengan berita tersebut, tetapi kami sekeluarga tetap akan redha dengan ketentuan Ilahi. Keadaannya sekarang kritikal, beliau sedang dikuarantin dan tidak dapat dilawati oleh sesiapa pun termasuk keluarga terdekat. Semoga Allah memberi kekuatan kepadanya dalam menghadapi semua ini. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.

Saturday, September 5, 2009

Isu Kuil-Keputusan MB Selangor


HARAKAHDAILY.COM
SHAH ALAM, 5 Sept:
Majlis dialog anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Banquet, MBSA tengah hari tadi akhirnya menemui persefahaman sementara, apabila Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan cadangan pemindahan kuil ke Seksyen 23, di sini ditangguhkan serta merta.

Khalid terpaksa berbuat demikian tengahari tadi, disebabkan desakan ekstrem serta perang mulut oleh segelintir hadirin yang menyertai dialog tersebut.

"Saya terpaksa menangguhkan cadangan itu (memindahkan kuil) disebabkan kebanyakan pemilik-pemilik rumah di situ tidak bersetuju.

"Saya menerima pandangan rakyat di Seksyen 23 dan kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian di Seksyen 19 (lokasi asal kuil) yang juga terdiri oleh penduduk Melayu (dan) Islam majoriti."

Tegasnya, PKNS diarahkan mencari suatu tapak yang lebih sesuai untuk dijadikan tapak kuil yang baru, bagi memindahkan kuil lama dari Seksyen 19 kelak.

Jelasnya lagi, PKNS sewaktu Umno BN memerintah seharusnya menjelaskan kepada bakal penduduk (khususnya Melayu/Islam) Seksyen 19 tentang wujudnya kuil itu terlebih dahulu, sebelum mendirikan perumahan.

ImagePembinaan kuil di Seksyen 19 oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu disifatkannya tidak sesuai, kerana terlalu dekat dengan surau di samping terlalu dekat dengan rumah penduduk di situ.

Ekoran itu, kerajaan Pakatan Rakyat cuba memindahkannya ke Seksyen 23, yang kedudukkannya lebih jauh dari kawasan surau serta perumahan penduduk Melayu.

Tambahnya lagi, pembinaan kuil itu juga untuk memenuhi hak penduduk minoriti beragama Hindu, di sini.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang turut mewakili kerajaan menegaskan bahawa isu kuil di Seksyen 23 hanya suatu cadangan daipada PKNS sendiri, bukannya kerajaan negeri.

Beliau yang terus dipertikai ketika menjelaskan prosedur cadangan pemindahan kuil itu, menegaskan bahawa cadangan tapak pembinaan kuil yang baru itu jauh lebih sesuai kerana bukan sahaja jauh dari kawasan perumahan setempat, malah menyelesaikan masalah rakyat di Seksyen 19 yang terdiri dari penganut Islam dan Hindu.

ImageKatanya lagi, "sekiranya kuil tidak boleh dibina di kawasan majoriti Melayu, bermakna tidak ada mana-mana tapak boleh dibina kuil di Shah Alam, semuanya (penduduk) majoriti Melayu. Islam tidak mengajar penganutnya menafikan hak penganut lain."

Beliau juga menasihatkan segelintir individu yang hadir agar berhenti mencemuh inisiatif kerajaan negeri serta penduduk bukan Islam.

"Kuil ini untuk penganut Hindu. Apa salahnya, kita menghormati keagamaan mereka. Allah (dan) Rasul tidak pernah mengajar umat Islam mencemuh (agama lain), apatah lagi menafikan hak penganut agama lain (dalam) mengamalkan kepercayaan mereka," katanya di majlis itu.

Beliau meminta hadirin menghayati potongan ayat al-Quran (108) dari Surah an-An'am yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampau batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap ummat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudia, kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan."

Sebelum pada itu, perang mulut berlaku antara segelintir yang hadir dengan pegawai-pegawai MBSA yang cuba menenangkan mereka.

Kelihatan segelintir itu mencemuh pemimpin kerajaan negeri; yang didakwa mereka tidak mendengar keluh-kesah penduduk tempatan.

Jamil Mohd Isa, yang juga mengakui bukan ahli Umno di sini, menegaskan bahawa cadangan memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, sebagai menambahkan masalah penduduk tempatan, bukannya menyelesaikan masalah orang-orang Melayu.

Turut menyertai aksi ekstrem itu, adalah Pengerusi Penaja Umno Cawangan Seksyen 23 sendiri, Haji Azmir Md Zain.

Image�Woi, kaulah pengkhiana-pengkhianat agama lah!� cemuhnya.

Cemuhan itu disorak oleh beberapa individu lain yang dipercayaai dari kenalan rapat Azmir.

Beliau juga mengancam akan membunuh Khalid Samad jika pergi ke kawasannya, Seksyen 23.

Beliau juga menghina dan mencemuh Khalid Ibrahim, MB yang dipilih oleh rakyat Selangor melalui pilihan raya yang sah itu.

K. Raja yang ditemui selepas selesai dialog berkata, "Persatuan Penduduk itu bukan mewakili semua pihak. Persatuan tidak pernah panggil kita (penganut Hindu) berbincang. Bagaimana (mereka) boleh kata itu mewakili (penduduk) Seksyen 23."

ImageDitanya mengapa tidak turut serta dalam dialog itu, beliau berkata, "Dia orang emosional, tidak ada toleransi dan hormat Menteri Besar, Khalid (Samad) dan YB yang lain. Macam mana kita nak berdislog? Ekstrem lah, saya pun tidak pernah jumpa (tindakan) seperti ini."

Ujarnya lagi, dalam dialog, sepatutnya perlu ada sikap memberi pandangan, dan mendengar pandangan. Bukannya, mengeluarkan kata-kata kesat kepada kerajaan negeri.

Beliau juga mencadangkan kuil di Seksyen 19 yang sudah 26 tahun tidak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional, diselesaikan oleh Khalid Ibrahim demi membuktikan kepemimpinan Pakatan rakyat mengamalkan keadilan untuk rakyat tanpa mengira status, kaum dan kepercayaan.

Pegawai Khas kepada Adun Batu 3, Rodziah Ismail, Rozaini Mohd Rosli mendakwa dirinya cuba dikasari dan dicabuli oleh segelintir yang hadir di luar MBSA, sebelum dialog tersebut berlangsung.

"Mereka cuba merampas video cam akak. Mereka kerumuni (mengepong) akak. Mereka takut akak rakam tindakan-tindakan tidak bertamadun mereka. Akak jadi takut, takut diapa-apakan mereka itu," jelasnya lagi.

Seorang respondan berita Harakahdaily 30 Ogos lalu, Suraya Samad (gambar) yang ditemui kemudian melahirkan rasa takut kerana dirinya didakwa talam dua muka.

Beliau menegaskan sekali lagi, kenyataannya sebelum ini bukanlah bertujuan memecah-belah masyarakat, tetapi pandangan peribadinya sahaja.

Beliau mendakwa beberapa kenyataan sebelum ini telah disalah anggap dan membuat beberapa penafian terbabit.

Turut menyertai dailog tersebut, Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Mariah Mahmood selaku pemerhati. ImageBeliau menjelaskan keindahan ajaran Islam yang sebenar, bukannya seperti aksi provokasi sedemikian sebelum ini.

Beliau juga berharap penganut minoriti Hindu bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mencari suatu tapak yang lebih sesuai untuk dibina kuil.

Bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Khalid Ibrahim meminta semua pihak tidak memanjangkan isu tersebut.

Demi kepentingan rakyat tidak kira penganut agama Islam atau Hindu dan sebagainya, beliau menjelaskan bahawa segala kritikan dan cemuhan pagi tadi perlu dilihat secara terbuka; sebenarnya membantu kerajaan negeri untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat kelak.

Harakahdaily turut menemui beberapa peserta yang lantang mencemuh kepemimpinan negeri untuk mendapatkan inti bantahan mereka, tetapi kebanyakannya meminta wartawan bertemu sendiri dengan ketua mereka, Azmir.

Dalam kalangan mereka yang ekstrem juga mengugut wartawan supaya tidak membesar-besarkan isu perarakan kepala lembu yang segar berdarah dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK yang menempatkan Pejabat Menteri Besar; 28 Ogos lalu.

Bersandarkan beberapa klip youtube sebelum ini, didapati beberapa pemimpin Umno mendalangi aksi ekstrem tersebut.

Bagaimanapun, hadirin yang menyertai dialog hari ini kebanyakannya mendakwa mereka bukan ahli Umno, tetapi penduduk tempatan Seksyen 23.

Dari insiden kepala lembu berdarah sehinggalah perang mulut yang berlaku hari ini merupakan suatu lagi cabaran rakyat Melaysia yang terdiri oleh pelbagai bangsa, agama dan taraf sosial; selepas negara mengecapi kemerdekaan kali ke-52 tahun.
...........................................................

Hebat juga penentangan yang dilakukan oleh puak2 penentang ni. Adakah penentangan ini bermotifkan politik, atau bermotifkan sentimen agama.? Nampak hebat betul puak2 ni, orang2 yang cintakan agama ni. Hantar pergi Palestin pun boleh ni. Tahniah kepada puak penentang! Yang peliknya, kenapa waktu masjid2 dan surau2 dirobohkan oleh pihak kerajaan dulu, tak ada pula puak2 penentang ni bersuara gila2 macam ni? Penentangan beremosi dan membuta tuli boleh mencetuskan perbalahan sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan baik. Belajar lah menghormati agama lain. Salam Satu Malaysia untuk semua.

17 Ramadhan- Badar Al Kubra


Muqaddimah:

Setelah hijrahnya Rasulullah dari Makkah ke Madinah bersama-sama para sahabatnya dan diterima baik oleh orang-orang anshar, Islam telah berkembang, tersebar luas dan diterima oleh banyak kabilah-kabilah arab. Kekuatan dan ekonomi Madinah telah menjadi kukuh. Orang-orang arab Quraisy Makkah tidak senang hati dengan kemajuan ini.

Perang Badar merupakan perang pertama yang dilalui oleh umat Islam di Madinah. Ia merupakan isyarat betapa mulianya umat Islam yang berpegang teguh pada tali agama Allah. Kemenangan besar kaum muslimin tidak terletak pada jumlah tentara yang ikut serta tetapi terkandung dalam kekuatan iman yang tertanam disanubari mereka. Dengan Keyakinan mereka pada Allah yang sangat kukuh itu, Allah telah menurunkan bantuan ibarat air yang mengalir menuju lembah yang curam. Tidak ada sesiapa yang dapat menahan betapa besarnya pertolongan Allah terhadap umat yang senantiasa menjalankan perintahnya dan menjauhi larangannya.

Sejarah :

Serangan yang dilakukan oleh Abdullah Ibn Jahshin terhadap angkatan perdagangan kaum Quraisy pada bulan Rejab yang diharamkan berperang telah dianggap oleh mereka sebagai tamparan dan cabaran hebat kepada mereka. Kaum Quraisy merasakan kematian Al-Hadhrami seharusnya dibela dan memusnahkan semua pihak yang bersangkutan dengan pembunuhan itu. Rasulullah sememangnya menyedari pihak Quraisy pasti akan menuntut bela. Baginda telah membuat persediaan yang lebih awal.

Pada bulan Ramadhan tahun 2 Hijriah, Rasulullah bersama 313 orang tentera telah keluar dari Madinah untuk menyekat angkatan perdagangan kaum Quraisy yang pulang dari negeri Syria (Syam) dalam usaha mereka hendak melemahkan persiapan tentera Quraisy Makkah untuk menyerang Madinah.

Abu Sufyan yang mengetuai angkatan perdagangan tersebut telah menyedari tindakan Rasulullah itu lalu beliau telah menghantar utusannya yang bernama Dham Dham bin Amr Al-Ghifari meminta bantuan dari Makkah.

Di Makkah pula, 3 hari sebelum Dham Dham sampai, Atiqah Binte Abdul Muthalib telah bermimpi sesuatu yang sungguh menakutkan. Atiqah telah bermimpi melihat seorang musafir datang dengan mengendarai unta. Ia berdiri diatas tanah lapang. Kemudian, lelaki tersebut berteriak dengan suara yang amat kuat.

“Ketahuilah wahai keluarga Ghudar, berangkatlah kalian kepada tempat-tempat kematian kalian dalam masa 3 hari.”

Atiqah melihat manusia berkumpul dekat musafir tersebut kemudian ia masuk dalam masjid diikuti orang ramai dan berdiri ia diatas untanya didepan Ka’bah dan dilaungkan lagi perkataan yang sama. Lelaki itu kemudian berdiri dihadapan Abu Qais dan diulangi ucapannya buat kali ketiga. Musafir itu kemudian mengambil batu besar dan melemparkannya. Batu itu jatuh bergolek. Ketika batu itu tiba dibawah gunung, ia pecah berkeping-keping. Tidak sebuah rumah pun yang ada di Makkah terlepas dari dimasuki pecahan batu besar tersebut.

Mimpi Atiqah itu walaupun diminta supaya dirahsiakan, telah tersebar luas di Kota Makkah hingga kepengetahuan Abu Jahal. Tetapi Abu Jahal dengan sikap bongkak dan sombongnya tidak memperdulikan mimpi itu malah diperlecehkan olehnya.

Al-Abbas bin Abdul Muthalib, orang pertama yang mengetahui tentang mimpi Atiqah telah mendengar saudaranya di ejek oleh Abu Jahal. Beliau ingin mempertahankan saudaranya lalu keluar untuk mencari Abu jahal. Pada ketika beliau terjumpa Abu Jahal, Dham Dham, yaitu utusan dari Abu Sufyan telah sampai ke Makkah dengan membawa berita Abu Sufyan meminta bantuan. Ketika itu juga Makkah menjadi kecoh dengan berita ini. Ramai pembesar-pembesar Quraisy merasa marah dengan tindakan Muhammad. Mereka lalu mengumpulkan orang untuk keluar membantu Abu Sufyan. Tidak ada seorang lelaki pun yang ingin ketinggalan dalam peperangan ini. Ada diantara mereka yang tidak dapat ikut tetapi mengutus orang suruhan mereka untuk ikut serta.

Sebelum berlaku peperangan di Badar, Nabi Muhammad S.A.W telah mengutuskan Talhah Bin Ubaidullah dan Said bin Zaid untuk mengumpul maklumat tentang kabilah Abu Sufyan. Mereka mengumpulkan maklumat ynag perlu dan kembali ke Madinah untuk menyampaikan pada Rasul. Baginda bergerak bersama-sama para pengikutnya. Baginda menuju ke Badar tetapi terlebih dahulu Baginda mengutus Ali bin Abu Talib, Zubir bin Al-Awwam dan Saad Bin Abi Waqqas bersama beberapa orang lain ke Badar mengumpulkan maklumat terbaru tentang orang Quraisy serta musuh mereka. Maklumat yang diperolehi daripada dua orang budak lelaki yang telah mendedahkan tentang tempat persinggahan orang Quraisy. Apabila Rasulullah bertanya berapa ekor binatang yang disembelih untuk makanan mereka setiap hari, kanak-kanak itu menjawab 9 atau 10 eokr. Dengan kebijaksanaan Rasulullah, Beliau dapat mengagak jumlah tentera musuh ada 900 hingga 1000 orang tentera.

Dengan maklumat yang diperolehi itu, Rasulullah pada waktu itu merasa khawatir kalau-kalau nanti setelah kejadian tenteranya bertempur dengan tentera Quraisy lalu dari tenteranya ada yang mengundur diri. Nabi Muhammad S.A.W juga ingat bahwa asal mulanya berangkat dari madinah adalah hendak mengejar seperangkatan unta yang memuatkan perdagangan kaum Quraisy yang di ketuai oleh Abu Sufyan, sedangkan mereka telah lepas jalan ke Makkah. Rasulullah bimbang jika ada diantara tenteranya yang tidak suka bertempur dengan tentera Quraisy dan ada yang berperasaan

Angkatan Unta yang dikejar telah terlepas jalan. Pasukan tentera Quraisy begitu besar berlipat ganda. Alat perang Quraisy lebih lengkap dan mereka serba kekurangan.

Dengan kebijaksanaan sebagai seorang Nabi dan pesuruh Allah, maka Nabi Muhammad S.A.W mengadakan permusyawaratan bersama pahlawan-pahlawan tenteranya meminta pendapat mereka. Pada mulanya, mereka berkata bahwa mereka keluar hanya untuk perdagangan Quraisy dan bukan untuk berperang. Ketika itu Rasulullah amat merasa susah hati dan berubah wajahnya. Apabila Abu Bakar r.a melihat keadaan ini, lalu beliau berkata:

“Ya Rasulullah, lebih baik kita bertempur dengan musuh!”. Diikuti pula dengan Umar r.a. Kemudian seorang sahabat Miqdad Bin Al-Aswad lalu berdiri dan berkata :

“Ya Rasulullah, teruskanlah pada barang apa yang Allah telah perintahkan pada Tuan! Maka kita serta Tuan. Demi Allah, kita tidak akan berkata kepada Tuan seperti perkataan kaum Bani Israil kepada Nabi Musa pada zaman dahulu. “Pergilah engkau bersama Tuhanmu, maka berperanglah engkau berdua. Kita sesungguhnya akan duduk termenung saja.”. Akan tetapi berkata kita pada Tuan sekarang “Pergilah Tuan bersama Tuhan Tuan! Dan berperanglah Tuan bersama Tuhan Tuan. Kita sesungguhnya berserta Tuan dan Tuhan Tuan. Kita ikut berperang. Demi Allah, jikalau Tuan berjalan dengan kita sampai kedesa Barkul Ghamad, nescaya kita berjuang bersama Tuan daripada yang lainnya. Kita akan berperang dari sebelah kanan Tuan dan di antara hadapan Tuan dan belakang Tuan.

Ketika itu Rasulullah juga ingin kepastian dari kaum Anshar. Melihat keadaan itu, Sa’ad Bin Muaz lalu berdiri dan berkata dengan kata-kata yang memberi keyakinan pada Rasulullah sama seperti kaum Muhajirin. Di ikuti pula oleh suara-suara pahlawan yang lain.

Setelah mendengar kata-kata daripada sahabat dan tenteranya yang sungguh meyakinkan, bercahayalah muka Nabi seraya tertampak kegirangannya. Pada saat itu juga Allah menurunkan wahyunya yang tercatat di Surah Al-Anfal ayat 5-7 yang ertinya :

“Sebagai Tuhanmu(Muhammad) mengeluarkan akan kamu dari rumhamu yang benar. Dan bahawasanya sebahagian dari orang-orang yang beriman itu sungguh benci. Mereka membantah kamu dalam urusan kebenaran (berperang) sesudah terang-benderang, seolah-olah mereka digiring akan salah satu dari dua (golongan Al’Ier dan golongan An Nafier), bahawasanya ia bagimu, dan kamu mengharapkan yang tidak berkekuatan senjata adalah bagi kamu, dan Allah berkehendak akan menyatakan kebenaran dengan semua sabdanya, dan memutuskan kekalahan orang-orang yang tidak percaya”

(Al-Quran Surat Al-Anfal Ayat 5-7)

Setelah itu, nabi S.A.W lalu bersabda pada seluruh tenteranya:

“Berjalanlah kamu dan bergiranglah kerana sesungguhnya Allah telah memberi janji kepadaku salah satu daripada dua golongan (yaitu Al-Ier dan An-Nafier). Demi Allah, sungguh aku seakan-akan sekarang ini melihat tempat kebinasaan kaum Quraisy,”

Mendengar perintah Rasulullah S.A.W yang sedemikian itu, segenap kaum muslimin memulakan perjalanan dengan tulus ikhlas dan berangkatlah mereka menuju ketempat yang dituju oleh Nabi. Mereka selalu ta’at dan patuh kepada perintah Nabi dengan melupakan segala sesuatu yang menjadi kepentingan diri mereka sendiri.

Dipihak Quraisy pula ada beberapa kocar kacir yang terjadi sehingga beberapa kaum yang berjalan berpatah balik ke Makkah.

Rasulullah tidak henti-henti memanjatkan do’a kepada Allah memohon pertolongan. Untuk menebalkan iman tenteranya dan meneguhkan semangat barisannya, Rasulullah menghadapkan mukanya kepada sekelian tenteranya sambil memohon kepada Allah yang ertinya :

“Ya Allah! Hamba memohon kepada Engkau akan janji dan perjanjian Engkau. Ya Allah! Jika Engkau berkehendak (mengalahkan pada hamba), tidak akan Engkau disembah lagi.”

Diriwayatkan diwaktu itu, Nabi S.A.W berulang-ulang memohon kepada Allah sehingga Abu Bakar r.a yang senantiasa berada disisinya telah memegang selendang dan bahu Nabi sambil berkata bahwa Tuhan akan meluluskan padanya apa yang telah Allah janjikan.

Selanjutnya, sebagai kebiasaan bangsa Arab, sebelum berperang maka diantara pahlawan-pahlawannya lebih dulu harus bertanding dan beradu kekuatan dengan pahlawan musuh. Dipihak kaum Quraisy, 3 pahlawan yang keluar adalah 1. Utbah Bin Rabi’ah, 2. Syaibah Bin Rabi’ah dan 3. Walid Bin Utbah. Dan dari tentera Islam ialah 1. ‘Auf bin Al-Harits, 2. Mu’adz bin Harts dan 3. Abdullah bin Rawahah. Mereka bertiga adalah dari kaum Anshar. Tetapi kerana kesombongan kaum Quraisy yang merasakan bangsanya lebih baik, tidak mahu menerima kaum Anshar, malah meminta Rasulullah mengeluarkan 3 orang pahlawan dari kaum Quraisy sendiri. Maka Rasulullah mengeluarkan 1. Hamzah Bin Abdul Muthalib, 2. Ali Bin Abi Thalib dan 3. ‘Ubadah Bin Al-Harits. Mereka berenam beradu tenaga sehingga akhirnya tentera Quraisy jatuh ketiga-tiganya dan tentera Islam hanya ‘Ubaidah Bin Al-Harits yang syahid. Ini adalah petanda bahwa kaum Quraisy akan tewas.

Setelah itu pertempuran terus berlaku. Tentera Islam yang seramai 313 orang berlawan mati-matian untuk menewaskan tentera Quraisy. Rasulullah senantiasa mengamati gerak-geri tentera Islam. Dengan sebentar waktu, berpuluh-puluh tentera musyrikin menghembuskan nafasnya, melayang jiwanya meninggalkan badannya bergelimpangan diatas tanah bermandikan darah. Tentera Islam senantiasa menyebut “Esa! Esa! Esa!”.

Rasulullah pula tidak henti-henti memanjatkan do’a pada Allah memohon kemenangan tentera Islam. Ada seketika dengan tidak ada sebab apapun, Rasulullah telah jatuh dengan mendadak sebagai orang pengsan. Tubuhnya gementar dan kedinginan bagaikan orang ketakutan. Tetapi tidak berapa minit, Beliau bangun dengan tegak lalu bersabda kepada Abu Bakar r.a. yang senantiasa berada disisinya, yang ertinya :

“Gembiralah oleh mu hai Abu Bakar. Telah datang pertolongan dari Allah kepadamu. Ini Malaikat Jibril sampai memegang kendari kuda yang ia tuntun atas kedua gigi sarinya berdebu.”

Rasulullah memberi semangat kepada tenteranya dengan sabdanya yang membawa maksud dan jaminan bahwa tentera Islam yang turut serta diperang Badar dijamin masuk syurga. Mendengar ini, tentera Islam semakin berkobar-kobar semangatnya. Ramai pembesar-pembesar Quraisy yang terkorban dan pada akhirnya, mereka bubar dan melarikan diri. 70 orang kaum Quraisy terbunuh dan 70 yang lain tertawan. Manakala tentera Islam pula hanya 14 yang syahid (6 dari Muhajirin dan 8 dari Anshar). Tentera Islam mendapat kemenangan dari sebab keteguhan dan ketabahan hati mereka. Bangkai-bangkai tentera musyrikin dilempar dan dikuburkan didalam sebuah perigi/sumur di Badar.

Kemenangan ini disambut dengan riang gembira oleh orang yang tidak mengikut peperangan, yaitu kaum perempuan, kanak-kanak dan beberapa orang lelaki yang diberi tugas mengawal Madinah dalam masa pemergian tentera Islam ke Badar itu.

Di Madinah pula, Rasulullah memikirkan bagaimana cara yang patut dilakukan keatas orang tawanan perang. Rasulullah juga berpesan pada orang ramai supaya bersikap baik dan belas kasihan kepada orang tawanan. Sehingga ada kaum muslimin yang memberikan satu-satunya roti yang ada kepada orang tawanan. Sehingga orang tawanan merasa segan dengan kebaikan yang ditunjukkan. Rasulullah kemudian berbincang dengan orang Islam tentang nasib tawanan Badar. Ada yang menyatakan dibunuh saja kerana mereka telah engkar dengan Allah dan mengusir kaum Muhajirin dari Makkah. Ada pula yang lebih lembut hatinya dan disuruh lepaskan saja dengan harapan mudah-mudahan mereka akan insaf dan tertarik dengan Islam. Setelah lam berbincang, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan mereka dengan mengenakan tebusan sekadar yang sepatutnya mengikut keadaan masing-masing. Setinggi empat ribu dirham dan serendah satu ribu dirham. Bagi yang miskin tetapi ada pengetahuan membaca dan menulis dikehendaki supaya mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam. Mereka semua dibebaskan apabila tebusan telha dibayar atau kanak-kanak itu telah pandai.

Hikmah di dalam peperangan Badar

Peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi agama Islam. Andaikata tentera Islam kalah dalam peperangan ini maka tamatlah riwayat orang-orang Islam malah agama Islam itu sendiri. Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahwa mereka adalah pihak yang benar. Mereka telh mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain dan digeruni oleh orang Yahudi dan Munafiqin Madinah. Sebaliknya pengaruh orang Quraisy Makkah mula lemah dan merosot. Orang yang ditawan oleh tenters Islam pula, apabila mereka balike ke Makkah setelah dilepaskan telah menceritakan kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan orang Islam. Cerita ini dengan tidak secar langsung telah member pertolongan yang besar kepada perkembangan agama Islam di Makkah. Mereka yang selalunya menerima layanan buruk dari orang Quraisy secara diam telha berhijrah ke Madinah dan memeluk agama Islam. Dengan ini tentera Islam bertambah dar masa ke masa. Perang Badar telah memperkuatkan lagi kepercayaan orang Islam kepada nabi Muhammad S.A.W. dan ajaran Islam. Mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda dan agama Islam

Kesimpulan

Pengajaran dari peperangan ini menunjukkan bahwa kaum Quraisy tidak bersatu padu. Ini terbukti apabila ada beberapa puak yang menarik diri sebelum perang terjadi. Dengan ini sebagai orang Islam kita harus bersatu demi untuk mencapai kemenangan.

Kaum Quraisy terlalu yakin yang mereka akan berjaya memusnahkan Islam yang memang sedikit dari jumlah tetapi tidak dari semangat. Mereka tidak dapat mengalah tentera Islam kerana semangat tentera Islam begitu kukuh kerana Rasulullah telah berjaya menjalin silaturrahim yang kuat sesama Islam. Nabi Muhammad S.A.W adalah pentabdir yang berkaliber dan pintar mengendalikan tektik peperangan. Orang Islam mempunyai pegangan iaitu berjaya di dunia atau mati syahid.