Tuesday, August 4, 2009

Campur Tangan Kerajaan Negeri Mengurangkan Tekanan Kg Buah Pala


http://wargamarhaen.blogspot.com
Campur tangan kerajaan negeri berjaya menenangkan hati penduduk Kampung Buah Pala yang gundah gulana memikirkan tempat tinggal mereka yang ingin dirobohkan hari ini.

Seawal pagi mereka telah bersiap sedia untuk menghalang orang-orang yang dihantar pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd yang mahu merobohkan kampung mereka.

Kehadiran Timbalan Ketua Menteri ll , Prof Ramasamy bagaimanapun berjaya menenangkan keadaan dengan mengkhabarkan kepada penduduk kampung tentang perbincangannya dengan pihak pemaju.

Sebelum ini, seperti yang umumkan oleh Syarikat Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang, pemaju akan menjalankan kerja-kerja perobohan Kampung Buah Pala pagi tadi.

Pada awal pagi lagi, penduduk Kampung Buah Pala telah membentuk perisai manusia untuk menghalang 50 orang upahan pemaju dari merobohkan kampung mereka.

Kira-kira jam 11 pagi tadi, suasana menjadi tegang apabila orang-orang pemaju tiba di kampung tersebut dengan bersenjatakan batang besi dan tukul untuk merobohkan rumah-rumah di situ.

Menyedari kehadiran mereka, 300 penduduk kampung cuba menghalang sambil melaungkan slogan mengutuk pemaju. Lebih 100 anggota polis dikerah ke tempat kejadian.

Prof Ramasamy yang tiba kira-kira jam 9.00 pagi terus bertemu dengan penduduk kampung dan memberikan mereka jaminan nasib penduduk akan terus dibela dan tidak akan berlaku sebarang perobohan kampung oleh pihak pemaju pada hari ini.

Beliau memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa pemaju tidak akan melakukan sebarang perobohan kerana beliau sendiri telah menghubungi pemaju Nusmetro.
Kerajaan negeri juga katanya akan mengadakan perbincangan dengan penduduk kampung bagi menyelesaikan isu Kampung Buah Pala malam ini.

Dalam pertemuannya dengan penduduk kampung, beliau turut mendengar luahan hati penduduk yang khuatir dengan nasib yang bakal menimpa mereka dan mahu langkah-langkah efektif diambil oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan kemelut Kampung Buah Pala.

Polis juga telah bersiap sedia di Kampung Buah Pala sekitar 7.45 pagi untuk menghadapi segala kemungkinan. Turut bersedia sebuah ambulan dari Jabatan Kesihatan. Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga kelihatan bersedia untuk memotong bekalan elektrik di kampung berkenaan.

Penduduk Kampung Buah Pala telah mula berkumpul dari pukul 6.30 pagi. Orang kampung dan kanak-kanak telah membuat benteng di jalan utama masuk ke kampung tersebut.

Sebelum ini Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan arahan supaya penduduk Kampung Buah Pala mengosongkan kediaman mereka selewat-lewatnya 3 Ogos supaya pemaju boleh meneruskan usaha memajukan kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, penduduk telah memfailkan rayuan dan kes ini akan didengar semula di Mahkamah Persekutuan pada 18 Ogos nanti.

..............................................

Alhamdulillah, mudah2an nasib penduduk terbela. Kasihan penduduk yang telah sekian lama menetap di kg tersebut terpaksa bangkit bersuara menentang perobohan tempat tinggal mereka. Sebelum ini pun telah banyak kes seumpama itu berlaku di Malaysia. Semoga ada penyelesaian yang terbaik. win win situation. Masing-masing mendapat manafaat.

Monday, August 3, 2009

Tidak jadi roboh Kg Buah Pala


MALAYSIAKINI.COM
Operasi meroboh rumah penduduk Kampung Buah Pala yang asalnya dijadual hari ini sekali lagi ditangguhkan bagi memberi laluan kepada perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaru kes tersebut.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, yang mengumumkan perkara itu, berkata kerajaan negeri telah mengaturkan satu perbincangan antara penduduk kampung dan pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kami juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk pada pukul 7.30 malam ini di Komtar bagi membincangkan satu draf penyelesaian yang sedang dirangka," kata P Ramasamy selepas menemui penduduk Kampung Buah Pala hari ini, lapor Bernama.

Pada pertemuan pagi tadi, penduduk kampung itu membidas Ramasamy kerana kegagalan kerajaan negeri bertindak pantas menyelesaikan masalah berkenaan.

Sejak 6 pagi tadi, seramai 200 orang yang memakai kemeja T berkumpul di kampung itu untuk memberi sokongan kepada penduduk di situ, dan ada yang duduk di tengah jalan utama menghala ke kampung itu bagi menghalang kerja meroboh itu.

Turut kelihatan di kampung itu ialah anggota polis dan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C Tharmaraj, berkata penduduk kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang asyik menangguhkan keputusan berhubung jalan penyelesaian kawasan berkenaan.

"Ini seolah-olah kerajaan negeri cuba sembunyikan sesuatu berhubung perkara ini daripada penduduk kampung. Kenapa sampai sekarang ini Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak menggunakan kuasa eksekutifnya untuk bagi balik tanah kami ini," beliau dipetik berkata.

Tharmaraj berkata penduduk kampung juga mahu lima pemimpin kaum India yang sedang memerintah di negeri ini meletak jawatan kerana gagal membantu masyarakat India terutama penduduk Kampung Buah Pala.

Penduduk Kampung Buah Pala sepatutnya mengosongkan kediaman mereka semalam selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada pemilik tanah itu, Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

Berikutan itu, mahkamah mengeluarkan notis kepada penduduk supaya mengosongkan tanah itu sebelum 3 Ogos ini bagi membolehkan pemaju memulakan kerja pembangunan.

Saturday, August 1, 2009

Berita Putar Alam

  • Premis perniagaan ditutup
  • Pengangkutan awam terjejas
  • Lalu lintas sesak

    KUALA LUMPUR: Perhimpunan haram yang diadakan semalam bagi membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjejaskan rutin harian penduduk ibu kota yang terpaksa mengalami kesesakan teruk dan peniaga di beberapa jalan utama mendakwa mengalami kerugian apabila terpaksa menutup premis perniagaan masing-masing.

    Pengguna jalan raya di sekitar ibu kota pula mengeluh dengan menghubungi Berita Minggu apabila terpaksa berada berjam-jam dalam kenderaan dan lewat tiba ke destinasi masing-masing, berikutan sekatan jalan raya di beberapa jalan utama menghala ke bandar raya, antaranya laluan kedua-dua hala Lebuh Raya Seremban-Sungai Besi, Jalan Mahameru, Jalan Istana, Jalan Raja Laut, Jalan Travers dan Jalan Raja dibuat polis bagi menghalang perhimpunan haram itu.

  • Orang ramai turut mengalami kesulitan menaiki pengangkutan awam, termasuk transit aliran ringan (LRT) apabila Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya terpaksa ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

    Sebahagian besar kedai, termasuk pasar raya besar seperti Sogo dan Mydin di sekitar Jalan Raja Laut dan Tuanku Abdul Rahman, terpaksa menutup premis perniagaan mereka kerana bimbangkan keselamatan pekerja, selain mahu mengelak premis mereka dimasuki individu yang mahu mengambil kesempatan daripada kekalutan yang timbul.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perhimpunan haram yang bermotif politik itu tidak perlu diadakan kerana ia menyusahkan rakyat.

    "Saya dapat tahu ramai orang mengeluh sebab keadaan lalu lintas di sekitar ibu kota menjadi begitu sesak dan sukar bagi mereka untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Astro Kasih, di Kampung Tengah, di sini, semalam.

    Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan kepada pihak terbabit kerana kerajaan sudah memberi amaran supaya mereka tidak berbuat demikian.

    Perhimpunan haram itu diadakan oleh kumpulan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pembela Negara (Magaran) yang pro-ISA dengan tujuan untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

    Bagaimanapun, GMI gagal menyampaikan memorandum itu apabila polis menutup setiap jalan menuju ke arah Istana Negara, manakala Magaran melalui Penasihat Undang-Undangnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pengawal Istana Negara enggan menerima memorandum daripada mana-mana pihak.

    Polis turut menahan 438 orang di beberapa lokasi di ibu negara, termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa. Difahamkan, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa turut ditahan.

    Pada masa sama, pihak berkuasa sedang menyiasat 11 orang, termasuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh kerana dipercayai menjadi dalang perhimpunan itu.

    Individu lain disiasat ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu; Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nasution Abdullah dan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.

    Polis mengenal pasti mereka hadir, termasuk memberikan ucapan di Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, di sini, pada jam 3.55 petang.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis terpaksa bertindak apabila 5,000 penyokong GMI yang mula berkumpul sejak jam 8 pagi di lokasi seperti seperti kompleks beli-belah Sogo, Masjid Negara, Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Pasar Seni, Padang Merbok dan ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut.

    Terdahulu, tindakan penyokong GMI yang enggan bersurai walaupun diminta berkali-kali oleh pihak berkuasa menyebabkan polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air di lokasi perhimpunan bagi memastikan mereka bersurai.

    Beberapa pelancong asing yang turut berada di kawasan berkenaan turut melarikan diri meninggalkan kawasan berkenaan.

    Di sekitar Pasar Seni, lebih 2,000 penyokong Magaran yang berhimpun di sana sejak jam 11 pagi semalam akur dengan arahan polis supaya tidak berarak menghantar memorandum sokongan mengekalkan ISA ke Istana Negara.

    Kumpulan itu yang mewakili lebih 60 NGO berkumpul di situ bagi membantah tindakan kumpulan GMI, sepatutnya menyerahkan memorandum ke Istana Negara pada jam 2 petang.

    Kumpulan anti-ISA berhimpun di Majid Jamek, Sogo dan Masjid Negara manakala pro-ISA berhimpun di Padang Merbok, Dataran Merdeka dan Pasar Seni.

    ..............................................

    Beberapa kali mentelaah berita hairan ini, sungguh menghairanakan juga. Pelik, berita aneh dari angakasa raya. Tragedi semalam sepatutnya berlansung secara aman tetapi dek angkara polis yang "berkawal" segalanya pasti berubah.

    Kesesakan salah demo ka? sedangkan kesesakan berlaku sebelum demo lagi, polis kawal merata2. Lebuhraya penuh dengan sekatan. Takut, kot2 ada taliban join demo nanti. Bukan kita nak perang pun, demo secara aman sahaja. Kawal macam nak tangkap penjenayah. Tak guna kawal pun, kalau individu itu nak join demo juga pasti akan hadir juga. Lebih baik tak perlu kawal jalan teruk2, nanti buat jem jalan saja.

    Peniaga tutup kedai la kalau tak nanti kena tembak bom asap. Macam org gila aku tengok polis dok tembak tengah2 orang ramai dok jual. Confirm2 la kena penjual2 itu. Kesian perniagaan mereka. Petang semalam pun aku lalu kat area Masjid Jamek, Seorang peniaga ni mengamuk gila2 punya. Kedai dia kena bom asap itu, dia guna sebatang kayu maki hamun FRU dari jauh. Fru pun apa lagi, tunjuk hebat la tembak bom asap tu. Dia pun lari selamatkan diri. Kesian, datang berniaga digangu polis, dah mengamuk kena tembak bom asap lagi. Angin juga aku tengok semalam perangai "hero" fru2 tu, kesian abang penjual tu tak pasal2 dia pun terlibat. Aku tengok sahaja lah, takut dengan aku ditembak juga.hehe.

    Semua yang berlaku salahkan demo ka? Atau salah kan siapa? Tak guna polis tembak bom semua tu, orang datang demo bukan ada senjata nak perang pun.

    Apa salahnya kalau polis kawal lalu lintas dan kawal demo supaya berjalan dengan aman. Mudah, jalan tak perlu tutup banyak. Mungkin demo pun akan berlansung dengan aman dan cepat. Tak perlu masa lama. peniaga pun dapat berniaga dengan aman. Semalam pun aku tengok peniaga ada saja yang untung. Ramai orang yang hadir demo datang membeli juga. Aku tengok kat luar negara, negara2 maju, demo berjalan dengan aman.

    Tak da pula rusuhan. Yang dok berlaku rusuhan ni, kebanyakkan negara2 membangun. Mentaliti masih rendah, sama la seperti Malaysia. Kebebasan bersuara, media, polis, mahkamah masih banyak dipersoalkan kejujuran dan ketelusannya.

    Apa pun semalam tahniah untuk GMI, teruskan perjuangan anda untuk membebaskan kezaliman di Msia. Semoga Allah merahmati anda sekalian.

    Himpunan Anti ISA: Pengalaman Pertama Bersama Rakyat - Zaid Ibrahim


    Luahan Zaid Ibrahim
    Bekas Menteri

    Hari ini (1 Ogos 2009) buat kali pertama dalam sejarah hidup saya, saya menjadi mangsa bom gas pemedih mata. Pedih sungguh mata dan hati saya! Inilah pengalaman saya berhimpun dan berarak bersama dengan berpuluh ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur. Ia benar-benar membuka mata saya di samping memberi banyak pengajaran.

    Saya amat terkejut kerana tidak menyangka betapa kejamnya polis bertindak terhadap rakyat yang hanya berhimpun dan berjalan secara aman. Rakyat hanya mahu meluahkan perasaan tentang buruknya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang perlu dimansuhkan secepat mungkin. Rakyat kita tidak membawa senjata, mereka hanya membawa anak-anak untuk menyedarkan warga kecil betapa kejamnya ISA.

    Lelaki, perempuan, tua dan muda, pelbagai kaum, bermacam agama, semuanya berhimpun secara aman di ibu kota. Hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi rakyat. Tapi nampaknya hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini sudah tidak ada guna lagi. Hak kita sudah hancur kerana polis yang bersenjata, yang berkuasa penuh, yang sombong dan angkuh, kini telah menentukan hak kita.

    Bila polis kata perhimpunanan itu haram, maka kita semua yang berhimpun atas dasar kebebasan dan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, telah menjadi mangsa kekerasan polis. Ya, polis yang mengaku diri sahabat rakyat, kini menunjukkan belang sebenar mereka. Tak sangka, dengan sedikit kuasa itu, mereka sudah merasakan diri seperti Fira’un.

    Saya sebagai warga Malaysia yang prihatin telah turut sama menyertai perhimpunan aman ini. Tapi saya bersama dua anak saya dan kawan-kawan lain tak tahu ke mana mahu dituju kerana polis telah tutup banyak jalan. Kami hanya mahu ke Istana Negara untuk menyaksikan penyerahan memorandum anti-ISA.

    Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club, kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan. Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pncutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari.

    Polis kemudian meminta orang ramai bersurai. Tetapi ke mana nak bersurai kerana semua jalan sudah ditutup. Tak ada cara lain kecuali patah balik ke arah Masjid Negara. Saya pun bersedia untuk bersurai. Tapi bila sampai dekat dengan Masjid Negara, ada pula sekatan jalan polis. Di situlah saya lihat orang ramai angkat tangan supaya polis membenarkan mereka bersurai ke arah bagunan Dayabumi.

    Saya juga angkat tangan kerana kami memang nak bersurai. Ada dua orang wanita tua bersama saya yang merah serta berair mata mereka di samping terbatuk-batuk akibat bom gas pemedih mata. Seorang peserta lelaki yang cacat anggota dengan crutches nya tidak dapat lari. Saya tak tahu apa nasib manusia berani ini. Kasihan saya melihat mereka semua.

    Rupa-rupanya polis sudah berniat jahat. Tanda angkat tangan tidak ada erti kepada mereka. Walau pun melihat ramai antara kami yang sudah mahu bersuara, polis terus melepaskan bom pemedih mata. Saya dapat lihat wajah-wajah polis berkenaan, kebanyakannya orang Melayu, yang penuh benci dan kesumat dendam.

    Maka terpaksa lagi kami berlari elakan diri. Tapi nak ke mana lagi? Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram. Dinegara kita apa pun boleh dilakukan Ramai orang termasuk saya terpaksa lari masuk ke dalam hutan kecil berhampiran Jalan Kuching dengan melompat pagar bangunan di situ.

    Mujur juga ada pengawal keselamatan di situ yang baik hati yang telah melepaskan kami keluar dari perkarangan bangunan tersebut. Semoga Allah membalas budi baiknya. Di sana barulah kami dapat keluar untuk bersurai. Masa itu mata kami semua sudah merah, suara parau dan seluar koyak akibat terpaksa melompat pagar. Saya pun baru sedar bila sudah berumur begini lutut sudah tidak sekuat waktu muda dulu.

    Memang jelas hak dan kebesan kita semakin terhakis. Apa yang polis lakukan dengan cara mengepung orang ramai yang hanya mahu berhimpun secara aman dan membelasah mereka dengan semburan air dan bom pemedih mata adalah untuk menunjukan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat.

    Mereka mahu mengajar rakyat Malaysia bahawa era Pak Lah yang mahu mencuba membuka ruang kebebasan sudah tidak wujud lagi. Ini era Najib yang tak mahu dengar dan tak terima pandangan rakyat.

    Bagi polis yang jelas bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional, mereka mahu rakyat takut kepada mereka. Mereka tidak mahu kita di Malaysia bebas seperti Indonesia dan Filipina yang memberi rakyat peluang bersuara dan berhimpun secara aman.

    Mereka mahu semua rakyat sedar bahawa Malaysia adalah Negara Polis seperti Myanmar. Sesiapa yang berhimpun dianggap bersalah kecuali mereka yang berhimpun untuk menyokong Najib dan pemimpin UMNO yang lain. Inilah mesej 1Malaysia ciptaan Najib yang memberi amaran kepada rakyat bahawa kekerasan akan digunakan pada bila-bila masa sahaja demi mengekalkan kuasa.

    Tapi rakyat Malaysia termasuk saya juga ingin menyampaikan berita kepada Najib. Kita akan berkorban apa saja untuk menentang kekejaman dan kezaliman. Kita yakin kita di pihak yang benar kerana kita menentang salaha guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kuasa rakyat akan menang juga suatu hari nanti di negara Malaysia yang tercinta ini, InsyaAllah.

    Al Fatihah untuk Allahyarham Datuk Hamdan


    ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur beberapa hari lepas.


    ADUN PAS itu meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 6.30 pagi.

    Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengadakan pilihanraya kecil bagi DUN Permatang Pasir dalam tempoh 60 hari.

    Permatang Pasir - salah satu kerusi dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - adalah kerusi DUN tunggal PAS di Pulau Pinang.


    Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

    Dua bulan lalu, pilihanraya kecil diadakan bagi DUN Penanti - juga dalam parlimen Permatang Pauh - ekoran peletakan jawatan penyandangnya Mohamad Fairus Khairuddin.

    Pilihanraya kecil itu dimenangi calon PKR Dr Mansor Othman dalam pilihanraya yang mencatatkan sejarah apabila jumlah pemilih yang keluar mengundi paling rendah ekoran Umno tidak meletakkan calonnya bertanding di situ.


    Mohd Hamdan baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk pada 11 Julai lalu daripada kerajaan Pulau Pinang.

    Allahyarham, pesuruhjaya PAS negeri hingga 2003, bertapak di Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999.

    Sebelum menceburi politik sepenuh masa, beliau berkhidmat sebagai guru di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah pada 1965 hingga 1966, kemudian sebagai pegawai pentadbir kerajaan Kedah mulai tahun 1966 sehingga 1977.

    Jawatan terakhirnya dalam kerajaan adalah sebagai pegawai pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia antara 1977 hingga 1983.

    Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak. ALFATIHAH

    Demo Mansuh ISA-Tahniah GMI!


    MALAYSIAKINI.COM
    20,000 sertai demo anti-ISA
    Ogos 1, 09 11:05am
    Laporan: Andrew Ong, Jimadie Shah Othman, Rahmah Ghazali, Abdul Rahim Rahim, Wong Teck Chi, Lee Way Loon, P Tarani, K Pragalath, Emily Chow

    Kira-kira 20,000 orang membanjiri ibu negara hari ini untuk menyertai perhimpunan anti-ISA anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

    Mereka berdepan dengan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air di lokasi perhimpunan mereka di kompleks membeli belah SOGO, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, di Masjid Negara serta di ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut.

    Mereka mula berkumpul jam 2 petang di tempat-tempat berkenaan dan anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertindak meleraikan orang ramai, termasuk menangkap, melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air.

    Polis bertindak menutup semua jalan menuju ke pusat bandar dan ke Istana Negar sejak awal pagi lagi.

    Bagaimanapun, GMI gagal menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang pro-ISA gagal menyerahkan memorandum kepada istana.

    Perhimpunan itu berakhir pada jam 3.45 petang selepas pemimpin Pakatan Rakyat meminta mereka bersurai selepas berucap di ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut.

    Dipercayai hampir 200 orang ditahan.

    Dalam sidang petang tadi, pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa 100,000 orang menghadiri perhimpunan hari di beberapa tempat di tengah-tengah ibunegara.

    Manaka Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menganggarkan kira-kira 80,000 menyertai perhimpunan hari ini.

    Bagaimanapun, para saksi pula menganggarkan lebih kurang 20,000 menyertainya.

    Sehingga lewat petang ini, pihak polis masih lagi berada di sekitar SOGO dan melepaskan tembakan meriam air apabila ternampak kumpulan penyokong anti-ISA.

    Berikut adalah rentetan peristiwa perkembangan hari ini.

    4.50pm Pasukan polis berkenaan beredar dari situ.

    4.45pm Kira-kira 20 anggota polis berada di depan ibupejabat PAS di Jalan Laut. Bagaimanapun mereka tidak dapat masuk kerana pihak PAS enggan membuka pintu. Kelihatan tiga trak FRU dekat situ.

    4.20pm: Media melaporkan antara 10,000 hingga 15,000 penentang ISA berkumpul semula sekitar kompleks membeli-belah Sogo - mereka kemudian ditembak gas pemedih mata dan meriam air.

    Mereka mula melaungkan slogan-slogan anti-kerajaan dan membantah akta itu sejak kira-kira 4 petang.

    4.02pm Polis melepaskan dua tembakan gas pemedih mata dan tembakan meriam air ke arah penyokong anti-ISA di hadapan ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut ketika mereka sedang bersurai.

    3.38pm Timbalan Pengerusi 11 Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun dihalang di depan Public Bank Jalan Tun Sambathan pada jam 2.45 petang tadi daripada ke Istana Negara untuk serah memorandum.

    3.45pm Kira-kira 5,000 penentang akta ISA yang berkumpul di atas jalan di depan ibu pejabat PAS diminta bersurai selepas mendengar ucapan pemimpin pembangkang, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh popular Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Mahfuz Omar.

    Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat berada di dalam bangunan ibu pejabat PAS sekarang - dijangka akan mengadakan sidang media.
    3.38pm Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun dihalang di depan Public Bank di Jalan Tun Sambathan pada jam 2.45 petang tadi daripada meneruskan perjalanan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum.

    3.35pm Kira-kira 5,000 berhimpun di depan ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut. Mereka duduk di atas jalan, dipercayai untuk menghalang kenderaan polis ke situ. Mereka turut melaungkan 'Mansuhkan ISA'.

    3.30pm Ratusan orang kelihatan bergerak menuju ke arah bangunan ibupejabat PAS. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ikut sama.

    3.29pm: Manakala dua penyokong anti-ISA dapat melepasi kawalan polis untuk sampai ke Istana Negara tetapi kemudiannya ditahan polis

    3.25pm Tinggal 100 orang kelihatan berlegar di kawasan masjid negara. Juga kelihatan beberapa anggota polis sahaja di situ. Sebelum ini polis melepaskan tembakan meriam air.

    3.20pm Sebelum itu, stesen LRT Bandaraya dekat Sogo telah ditutup. Turut ditutup ialah stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni.

    3.05pm Polis menembak gas pemedih mata lagi ke arah sekumpulan orang yang berhimpun semula berdekatan Sogo.

    3pm
    Polis melepas tembakan meriam air ke arah kira-kira 300 orang yang berkumpul semula dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

    2.53pm Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub di kompleks Pertama, depan Sogo.

    2.53pm Pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan berkumpul di Masjid Negara dahulu sebelum bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan "deklarasi rakyat".

    2.50pm Asap gas pemedih mata kelihatan berkepul-kepul selepas ditembak untuk menyuraikan kumpulan penentang ISA.

    2.42pm
    Kumpulan dari arah Sogo yang bergerak di sepanjang Jalan Raja Laut ditembak gas pemedih mata.

    2.41pm
    Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam untuk menyuraikan perhimpunan di bulatan dekat Bank Negara.

    2.39pm Kumpulan dari arah Sogo menuju sepanjang Jalan Raja Laut ke arah Dataran Merdeka selepas berhimpun dan mendengar ucapan ringkas.

    2.37pm
    Polis melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata ke arah lebih 2,000 penentang ISA bersama pemimpin PAS Dr Hatta Ramli di bulatan dekat Bank Negara.

    2.33pm
    Orang ramai merempuh polis untuk ke dataran ikut belakang. Kira-kira 200 terlepas bersama Dr Hatta Ramli.

    2.30pm Saksi-saksi menganggarkan hampir 10,000 berkumpul dekat Sogo, simpang jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

    Pemimpin GMI menyampaikan ucapan dan membacakan deklarasi rakyat mendesak ISA dimansuhkan. Pemimpin PKR Tian Chua dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub kelihatan di sini.

    2.22pm Mereka yang berarak dari Masjid Negara menukar haluan ke Padang Merbok.

    2.20pm Polis menembak gas pemedih mata bagi meleraikan lebih 2,000 orang yang berhimpun di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

    2.15pm Hampir 2,000 berkumpul di hadapan Panggung Colesium di Jalan Tuanku Abdul Rahman bersorak 'Mansuhkan ISA' dan bertakbir. Mereka datang dari arah Dataran Merdeka menuju ke Sogo.

    2.10pm Pewaris membatalkan perarakan ke Istana Negara tetapi tetap berkumpul di Pasar Seni. Mereka akan menghantar memorandum ke istana menggunakan kenderaan.

    2.10pm Polis membuat benteng tangan untuk menghalang lebih 1,000 orang berarak ke arah Dataran Merdeka.

    2.01pm Di Masjid Negara, polis membuat tangkapan sehingga berlaku pergelutan hingga ada yang koyak baju. Kira-kira 2,000 sedang berjalan menuju ke Dataran Merdeka.

    1.50pm: Polis mengarahkan orang ramai di Masjid Jamek supaya bersurai selepas mereka selesai solat Zuhur.

    1.46pm: Kira-kira 1,000 berada di Masjid Negara, termasuk Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dan AJK PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman juga kelihatan di situ.

    Sekurang-kurangnya 25 orang ditahan.

    1.46pm:
    Ketua Pemuda PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip ditahan polis dekat Sogo.

    1.45pm:
    Dua gadis, yang berpakaian agak menjolok mata, masuk ke perkarangan ke Istana Negara kira-kira 1.30 petang - dan terus mencuri tumpuan media dan polis yang bertugas.

    1.34pm:
    Setengah jam menjelang saat-saat perarakan ke Istana Negara, sekurang-kurangnya 10 ditahan di Nasjid Negara.

    1.33pm: Menurut polis Kuala Lumpur, empat buah bas yang dipercayai membawa penyokong untuk menghadiri perhimpunan isu ISA ditahan engah hari ini, lapor laman web Utusan Malaysia.

    Kesemua bas sewa khas itu dipercayai datang dari Terengganu.

    1.26pm:
    Dua lelaki, dalam lingkungan 30-an dan 50-an, ditahan kerana membawa lambang anti-ISA. Polis juga mengadakan pemeriksaan rambang terhadap mereka yang memasuki masjid.

    Lelaki tua itu, yang membawa baju mansuhkan ISA, menangis sewaktu ditahan. Azan solat Zohor berkumandang.

    1.25pm:
    Semakin ramai berkumpul di Masjid Negara - sekarang mereka kini berjumlah kira-kira 500 orang.

    1.20pm Lapan lelaki ditahan dekat kompleks membeli-belah Sogo.

    1.15pm Menurut polis Kuala Lumpur, kira-kira 200 sudah ditahan dalam percubaan terlibat dalam demonstrasi besar anti-ISA ke Istana Negara.

    1.05pm:
    Semakin ramai berkumpul di Masjid Negara sejak sejam lalu - mereka bergerak perlahan-lahan dari stesen lama keretapi. Kira-kira 200 orang kini berada di dalam dan luar masjid.

    12.50pm:
    Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) depan Sogo menuju ke Dataran Merdeka sejauh kira-kira 1.8 km ditutup.

    12.47 pm: Masjid Jamek ditutup kepada orang ramai. Hanya anggota polis boleh masuk.

    12.40pm: Menurut seorang saksi, tidak ramai orang di Padang Merbok, salah satu tempat perhimpunan bagi kumpulan pro-ISA. Tiga trak polis kelihatan di situ, Menurut seorang pegawai cawangan khas, kumpulan pro-ISA mungkin hanya berkumpul di Pasar Seni.

    12.37pm: Polis juta menguna unit anjing di Dataran Merdeka. Sekurang-kurangnya dua anjing polis dilihat di situ.

    12.35pm: Seorang peguam, Puspawati Rosman, dari Pusat Bantuan Guaman ditahan di luar pusat tersebut di Jalan Jalan Tun Perak, dekat Masjid Jamek.

    Dipercaya Puspawati (kiri) ditahan kerana mengedar risalah mennjelaskan hak mereka yang ditahan.

    12.31pm Kira-kira 20 penyokong anti-ISA masuk ke dalam Masjid Negara.

    12.30pm Kira-kira 10 orang termasuk dua wanita, ditahan di kawasan Masjid India.

    12.27pm Jumlah tangkapan di sekitar kompleks membeli belah SOGO ialah 17 orang. Jadi jumlah keseluruhan yang ditahan sehingga ini ialah 67 orang.

    12.20pm dua lagi itangkap di sekitar kompleks membeli belah SOGO menjadi 16 orang ditahan setakat ini. Jumlah keseluruhan yang ditahan sehingga ini ialah 66 orang.

    12.15pm Tiga lagi ditangkap di sekitar kompleks membeli belah SOGO menjadi 14 orang ditahan setakat ini. Jumlah keseluruhan yang ditahan sehingga ini ialah 64 orang.

    12.10pm Jumlah mereka yang ditangkap di Pasar Seni kini meningkatkan kepada 14 orang. Jumlah keseluruhan yang ditahan setakat ini ialah 64 orang.

    12.05pm Empat lagi ditahan di Sogo - menjadikan 11 orang ditahan setakat ini di perkarangan kompleks membeli belah itu. Jumlah keseluruhan yang ditahan setakat ini ialah 58 orang.

    11.50am Tujuh lagi penyokong perhimpunan ISA ditahan di perkarangan kompleks membeli belah SOGO - menjadi 58 orang ditahan setakat ini.

    11.45am Seorang lagi ditahan di Pasar Seni, menjadi jumlah mereka yang ditahan setakat ini meningkatkan 51 orang. Kira-kira 100 orang penyokong anti-ISA kelihatan berkumpul di stesen KTM berhampiran Masjid Negara.

    11.40am Jumlah mereka yang ditangkap di Pasar Seni meningkat kepada lapan orang, manakala enam lagi ditahan di kawasan Masjid Jamek.

    Pagi tadi polis menahan 36 orang - 14 anggota Unit Amal PAS dan 22 lagi di Masjid Negara dan tiga lagi di Pasar Seni.

    Menurut Suaram, 14 14 anggota Unit Amal PAS itu - 13 dari Perak dan seorang dari Melaka - yang datang untuk membantu mengawal keselamatan di perhimpunan. ditahan pada kira-kira jam 7 pagi ketika tiba di stesen KL Sentral.

    Manakala 22 orang lagi ditahan di Masjid Negara.

    Menurut Wong lagi, anggota Unit Amal yang ditahan itu dibawa ke ibupejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur.

    Manakala 22 orang yang ditahan di Masjid Negara, dihantar ke ibupejabat polis Cheras dengan dua trak polis.

    Manakala tiga lagi ditahan di Pasir Seni pada kira-kira jam 11 pagi ini.