Tuesday, November 3, 2009

Tanggungjawab Muslim tentang Politik



Amanah Allah:-





Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al Ahzab, ayat 72-73)



Khalifah:-





Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al An'am, ayat 165)



Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (Surah Al Maidah, ayat 49)



Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. (Surah al-Nisak, ayat 105)



Syariat:-

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). (Surah Al Jasiyah, ayat 18)



Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah Asy-Syura, ayat 21)



Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al Haj, ayat 41)



Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (Surah Hud, ayat 113)

Monday, November 2, 2009

Kapsul ubat: Gelatin babi dicop halal

Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman (foto, kanan) berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

NONE"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn (foto, kiri) berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram. BERNAMA

Prof Aziz Bari-Pengumpul Sampah

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Tindakan Umno mahu menerima Adun Perlabuhan Klang, Badrol Hisham Abdullah mengesahkan kedudukan Umno sebagai pengumpul sampah dan barang lusuh sebagaimana yang mereka lakukan di Perak, di Kedah dan sekarang di Selangor, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Abdul Aziz, profesor undang-undang perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa berkata demikian dalam tulisan terbaru beliau dalam sebuah akhbar tempatan.

Abdul Aziz mengulas tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamafd Khir Toyo yang berkata, Umno sedia menerima Adun Perlabuhan Klang itu menyertai parti itu.

Khir yang juga ketua pembangkang Dun Selangor membuat tawaran itu ekoran tindakan Badrol mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagi Dr Abdul Aziz, langkah ini mengesahkan Umno sebagai pengumpul sampah dan bahan lusuh.

Ini kerana, sebelum Badrol mengumumkan keluar parti, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuatkan kenyataan mencadangkan PKR meminta Badrol meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugasnya sebagai Adun.

Badrol bukan sahaja tidak memberikan khidmat, dia juga telah menutup pusat khidmatnya dan tidak mengangkat panggilan telefon dari pejabat MB dan pihak yang ingin mendapatkan khidmat beliau sebagai Adun.

Sebelum Badrol, Umno menerima dua Adun di Perak yang sedang dibicarakan kerana dakwaan rasuah iaitu Adun Behrang, Jamaludin Md Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

Umno juga menerima Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh yang memberikan pelbagai jenis masalah kepada kerajaan negeri Kedah
............................................

Mungkin UMNO dapat bagi tarbiah yang terbaik kepada wakil rakyat yang bermasalah ni.

Sunday, November 1, 2009

PGSM Buat Bantahan

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bersedia bersemuka dengan Dr Mohd Asri Zainal Abidin bagi mengemukakan bukti dakwaan mereka terhadap bekas mufti Perlis itu dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong membantah tawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada beliau.

Bagaimanapun, Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata persatuan itu bersama 15 badan bukan kerajaan (NGO) Islam mahu pertemuan itu diadakan secara tertutup kerana ia membabitkan isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka.

"Kita (PGSM dan 15 NGO Islam) sedia bersemuka dengan beliau dan mengemukakan bukti segala dakwaan yang dibuat terhadap Mohd Asri, mengapa beliau itu tidak layak memegang jawatan Yang Dipertua Yadim," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Asri yang mahu PGSM mengemukakan bukti beliau mencerca Imam Ghazali dan Imam Nawawi serta menolak hadis Imam Bukhari melalui ucapan atau tulisannya, iaitu antara alasan bantahan mereka terhadapnya.

Ia berikutan memorandum yang dihantar persatuan itu dan NGO terbabit kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Oktober lalu membantah cadangan melantik Mohd Asri sebagai Yang Dipertua Yadim.

Mohd Asri mendakwa kandungan memorandum itu satu fitnah dan pembohongan kerana beliau dituduh tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Memorandum itu turut mendakwa Mohd Asri mencerca ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

Mohamad Isa berkata, dalam memorandum itu, PGSM dan NGO Islam menganggap pendekatan Mohd Asri hanya menimbulkan keraguan dan polemik merugikan kepada umat Islam seperti dalam isu pencegahan khalwat, isu penggunaan kalimah Allah dan amalan cabang dalam Islam dikatakan bidaah di kalangan umat Islam.

Sementara itu, beliau berkata, PGSM dan NGO Islam mengakui kesilapan mereka sehingga menyebabkan kandungan memorandum itu 'bocor' di dalam laman web PGSM sejak Khamis lalu.

"Namun saya mengakui kandungan memorandum itu memohon Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan supaya tidak melantik Mohd Asri menjadi Yang Dipertua Yadim," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya hairan dengan keputusan Mohd Asri yang 'menolak' lebih awal tawaran pelantikan jawatan sebagai Yang Dipertua Yadim kerana kerajaan belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.

"Kami kesal dengan Mohd Asri memperbesarkan dan mencari publisiti terhadap perkara yang menjadi hak dan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan. Ini adalah isu dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika dihubungi berkata, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana tiada pelantikan baru atau pengganti bagi mengisi jawatan itu dibuat oleh kerajaan.

Difahamkan, tempoh jawatan Yang Dipertua Yadim sekarang, Datuk Nakhaei Ahmad sudah dilanjutkan sehingga 2012.

Dr MAZA Kena Tahan JAIS

SUASANA sepi di sebuah rumah banglo di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay menjadi kecoh malam tadi apabila bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Seramai 35 anggota JAIS telah datang ke premis tersebut dengan tiga buah van pada jam 9.45 malam. Kedatangan mereka diiringi lebih 25 orang polis beruniform dalam kereta patrol.

Pada ketika itu, Mohd Asri sedang memberi ceramah kepada lebih 300 orang jemaah di dalam kawasan banglo milik Tuan Hj Yahya itu.

Ceramah agama yang bermula pada jam 8 malam itu terpaksa dihentikan setelah pegawai JAIS datang menyerbu.

Alasan yang diberikan oleh pihak JAIS ialah mereka menerima aduan dan terpaksa membuat penangkapan kerana Mohd Asri memberi ceramah tanpa tauliah.

Menurut anak tuan rumah, Norman Yahya, pegawai penguatkuasa JAIS telah memasuki banglo kira-kira jam 9.30 malam.

"Pada jam 9.30 ketika kuliah sedang berlangsung, pegawai JAIS memaklumkan kehadiran mereka adalah untuk menahan Dr Asri kerana memberikan ceramah tanpa tauliah," kata Norman.

Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui berkata, pihak JAIS telah menunggu selama setengah jam di luar banglo sebelum membuat serbuan.

Namun, seramai 50 orang jemaah bertindak menghalang penguatkuasa JAIS dan tidak membenarkan Dr Asri ditahan.

Untuk menenangkan keadaan, Mohd Asri telah ditempatkan di sebuah bilik di dalam banglo tersebut sementara proses perundingan dijalankan.

Senario menjadi sedikit tegang apabila penyokong Mohd Asri tidak mahu berganjak dan berkawal di hadapan bilik Dr Asri dan tidak membenarkan pihak JAIS mahupun polis memasuki bilik bekas mufti itu.

Sejurus selepas itu, kelihatan Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungip mengadakan perundingan bersama tiga orang peguam dan pihak JAIS dan polis.

Kesemua mereka bertanya kepada JAIS atas alasan apa Dr Asri hendak ditahan. Dan jawapan yang diberikan oleh Ustaz Sharom Maarof, Pegawai Penguatkuasa Agama, dengan nada yang keras, "Dia tidak ada tauliah untuk memberi ceramah..."

Sharom juga kelihatan begitu agresif untuk memasuki bilik Mohd Asri.

"Siapa yang halang kita buat tangkapan, kita akan tangkap juga," kata Sharom.

Ketika ini, tiga orang peguam terpaksa menjadi orang tengah dan berbincang dengan pihak polis dan JAIS namun pihak JAIS enggan meninggalkan premis tersebut dan berkeras ingin membuat penangkapan juga.

Suasana berterusan menjadi tegang bila beberapa pegawai JAIS dan polis mengugut untuk menggunakan kekerasan seandainya penyokong-penyokong Dr Asri berkeras tidak mahu melepaskan Mohd Asri.

Pihak polis juga telah mengarahkan pihak media dan mereka yang tidak berkenaan untuk mengosongkan rumah.

Setelah keadaan berlarutan hingga 3 jam, Mohd Asri akhirnya dibawa keluar dari biliknya dengan diiringi oleh beberapa orang polis dan pegawai JAIS untuk dibawa ke balai Polis Hulu Klang untuk diambil keterangan.

Mohd Asri terus dibawa ke balai polis menaiki sebuah van tepat jam 12 tengah malam. Hanya peguam sahaja dibenarkan memasuki kawasan balai polis sementara pihak media dan penyokong Mohd Asri terpaksa menanti dengan setia di luar kawasan balai.

Setelah hampir 1 jam, Mohd Asri dibebaskan tanpa diambil apa-apa keterangan.

Namun kelibat pegawai JAIS dan van JAIS yang membawa Dr Asri ke balai polis langsung tidak kelihatan pada ketika itu. Dr Asri kemudiannya dibawa balik ke rumah Hj Yahya untuk sebuah sidang akhbar.

Mohd Asri telah diarahkan untuk menghadirkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, pada hari ini, jam 9 pagi untuk diambil keterangannya. - Mstar

3 LAGI MANGSA DIHANYUTKAN AIR SUNGAI KAMPAR


http://anaksengat.blogspot.com/

TERKINI:

satu mayat ditemui. mangsa mati dipercayai terhempas batu yang di bawa "kepala air" usaha mencari masih diteruskan.

Berita terkini dari Timbalan Pengarah Amal Perak -sdr Arif Saarani memaklumkan bahawa 3 orang pununtut UTAR di khuatiri lemas dihanyutkan air di sungai Kampar. Mengikut maklumat, 3 orang pelajar perempuan itu dihanyutkan oleh air di lata batu berangkai kampar. Difahamkan ketiga tiga pelajar itu berkelah bersama rakan mereka.

Sebelum kejadian jambatan runtuh di Kuala Dipang juga melibatkan sungai kampar. Lata Batu Berangkai terletak berhampiran Pekan Kampar. Maklumat semasa akan dimaklumkan darii masa ke semasa.

Kontroversi Dr Asri vs Dato' Nakhaei


HARAKAHDAILY.COM
KUALA LUMPUR, 1 Nov :
Sidang media tergempar semalam bagi menjelaskan tuduhan fitnah dan bantahan lantikan jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini.

berhubung dakwaan bahawa beliau tidak diterima oleh majoriti penyokong Umno dan tidak diterima oleh PAS selama ini.

"Saya nak tanya dia...(Nakhae), dia sendiri pun ditolak oleh PAS dan bertanding di Baling atas tiket Umno pun kalah.

"Kalau ini nak dijadikan kriteria untuk jawatan Yang Dipertua Yadim, saya rasa banyak lagi yang dia tak layak," katanya yang turut menyatakan keputusannya di atas tawaran tersebut.

Katanya berdasarkan pekembangan terbaru ini, beliau tidak berminat untuk menerima tawaran jawatan Yang Dipertua Yadim itu dan lebih selesa memberi pandangan sebagai 'pihak ketiga' yang tidak terikat dengan mana-mana pihak seperti kerajaan, Umno dan PAS.

Turut ditanya tentang spekulasi penyertaannya di dalam PAS yang heboh dperkatakan, beliau menafikan dakwaan itu.

"Ketua Dewan Ulama PAS menjemput saya untuk sertai PAS.

"Sebenarnya saya mempunyai hubungan yang cukup baik dengan para pemimpin PAS dan Umno tetapi saya rasa lebih baik menjadi suara ketiga buat masa ini," katanya yang selalu menerima dan memenuhi jemputan ceramah daripada kedua-dua parti.

Dalam sidang media itu, Dr Asri turut ditanya asama ada akan memanggil satu forum tebuka atau debat bagi menjelaksna setiap pertuduahan dan merungkai kekeliruan umat Islam berhubung isu ini, beliau setakat ini mahu pihak yang terbabit membuktikan tuduhan dan fitmah yang dilemparkan.

"Cukuplah saya beritahu melalui media bahawa perkara ini adalah bohong, saya belum berfikir untuk saman.

"Saya harap Yang di-Pertuan Agong juga membaca penjelasan saya, tapi mungkin juga saya boleh fikirkan (untuk menulis penjelasan rasmi) jika ada ruang boleh juga,"katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

Antara tuduhan lain yang terdapat dalam memorandum berkenaan ialah Dr Asri didakwa sering mengambil tindakan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.

Selain itu dalam memorandum itu juga dinyatakan pendekatan ekstrem Dr Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh negara khususnya negeri Perlis.

Juga dinyatakan bahawa cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.

"Perbezaan pendapat ini, sudah lama malah Prof Hamka juga pernah menegur Mufti Johor dalam beberapa hal," katanya sambil menunjukkan buku Hamka kepada pihak media.

"Saya juga dituduh mencerca imam Nawawi sedangkan sebahagian besar kuliah saya di Lembah Kelang menggunakan kitab Nawawi," katanya yang turut menjelaskan beberapa isu kontroversi yang pernah ditimbulkan beliau sebelum ini.

Sementara itu Mohd Asri turut mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara melakukan siasatan terhadap YADIM bagi menyemak tentang beberapa perkara.

"Apabila timbul isu Yadim ini, saya ada semak beberapa perkara, mungkin semakan saya ini betul ataupun salah.

"Saya mencadangkan kepada pihak audit negara supaya melakukan audit kepada Yadim sekarang, ini adalah perkara yang patut dibuat dan kita mungkin akan bertemu dengan banyak perkara," katanya tanpa mengulas lanjut.

Sidang media sekitar 45 minit bermula jam 8.00 malam itu, turut dihadiri NGO-NGO Islam yang lain yang memberi sokongan kepada beliau antaranya AL-Mizan Kuala Pilah, Al-Qayim, Al-Qadim, Al-Nidaa yang penanungnya adalah Raja Muda Perlis, peguam dan para pendokong As-Sunnah di Malaysia.

Mengakhiri sidang media, Dr Asri sekali lagi mahu pihak yang terbabit membuktikan tuduhan-tuduhan yang mencemar nama baik beliau dan mengelirukan umat Islam di negara ini.

"Membantah atau perbeza pendapat itu boleh tetapi jangan jadi pembohong, pendusta!" katanya tegas.

..................................................................

Dah lama dah benda ni berlaku, dah banyak dah orang protes terhadap penulisan Dr Asri yang kadang2 mengelirukan terutama soal furuq, tetapi ada juga pandangan semasanya yang bagus untuk difikirkan.

Mungkin sesiapa yang pernah menonton perdebatan diantara Prof Madya Dr Aziz Hanafi, Dekan Fakulti Syariah KUIN,Kedah VS Dr Asri Zanul Abidin yang pernah berlansung di sebuah dewan di Ipoh, Perak suatu ketika dahulu mungkin akan memahami apa yang sebenarnya fahaman yang diperjuangkan oleh beliau.

Soal hukum fekah ini suatu cabang perbicaraan yang sangat luas, hal ini tidak sepatutnya dibincangkan sangat di khalyak umum semata2 untuk memperjuangkan hukum masing2. Setiap ibadah yang dilaksanakan mempunyai dalil yang tersendiri bukan ikut suka hati.

Setiap invidu muslim perlu saling menghormati walaupun terdapat perbezaan pendapat atau mazhab tetapi kita masih berpegang pada tunjang yang satu iaitu aqidah Islam itu sendiri. Jangan disebabkan perbezaan ini umat Islam berpecah belah!