Showing posts with label AGAMA. Show all posts
Showing posts with label AGAMA. Show all posts

Tuesday, February 9, 2010

Novel Sejarah Islam : Imam Syafie Pejuang Kebenaran


Nama sebenarnya ialah Muhamad bin Idris bin Abbas bin UIthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal dari keturunan Quraisy dari bani Mutalib. Ayahnya telah meninggal dunia ketika imam syafie masih kanak-kanak.

Beliau dilahirkan di kota Gaza palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan Imam Abu Hanifah (Imam hanafi) meninggal dunia. Khalifah Islam pada masa itu ialah khalifah Abu Jaafar Al Mansur dari bani Abbasiyah.

Imam Syafie dibesarkan dalam serba kekurangan. Sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari al-Quran. Beliau menghafal al-Quran sejak berusia 9 tahun dan pada usia 10 tahun sudah menghafal dan memahami kitab al-muwattak yang ditulis Imam Malek. Beliau mempunyai suara merdu, boleh bersyair dan bersajak. Ketika berusia 15 tahun beliau sudah mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid al-Haram, kerana kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau mendapat sanjungan masyarakat.

Novel ini menceritakan dengan lebih lanjut berkenaan kisah hidup Imam Syafie. Suka duka dan pahit manis perjuangan dalam menegakkan kebenaran.



Mohamadazhan: Kisah pejuangan Imam Syafie mengajar kita akan erti kesabaran, keikhalasan, ketabahan, kesungguhan, istiqamah dalam mencari ilmu dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Ana sudah mengikuti bacaan novel PTS sejak mula2 keluarannya, ana dapat rasakan perbezaan dari segi penyampaian mesej yang lebih terkesan kepada hati apabila membaca novel kisah imam besar, Imam Syafie r.a, semoga novel ini dapat membantu kita membina jiwa dan rohani untuk mencontohi beliau sebagai mujadid ulung.

Monday, February 8, 2010

Kalah Bukan Tanda Menyerah Tapi Penuh Hikmah Disebaliknya...


Salam sayang untuk para sahabat yang dikasihi,

Sekali pun tewas, bukan tanda kekalahan yang mutlak tetapi permulaan yang lebih bermakna untuk terus cekal dalam medan politik demi menegakkan yang hak dan menentang yang mungkar.

Demi Allah kita perlu terus tingkatkan usaha dan memperbaiki niat dan keazaman dalam mengejar redha Allah semata2 dalam melayari pengorbanan ini. Salam perjuangan untuk sekalian sahabatku. Semoga Allah memberkati kita semua. Amin.


“tiada daya dan upaya melainkan dengan kehendak-Nya”,


Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya:


“Apabila Allah menyayangi hamba-Nya maka dia diuji agar Allah mendengar rintihannya (dengan kerendahan diri).” (Riwayat Al Baihaqi)

“… Boleh kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak”. QS Al Baqarah 2 : 216

“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung”. QS Al Imran 3 : 200

“Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku ; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung “. QS At Taubah 9 : 129

“Janganlah kau bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamu adalah orang-orang yang paling tinggi derajatnya, jika kamu orang-orang yang beriman”. QS Al Imran 3 : 139

“Dan janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah, sesungguhnya tiada berputus asa dari Rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”. QS Yusuf 12 : 88


Friday, February 5, 2010

Pesanan Imam Syafie Tentang Nilai Persahabatan



Hayatilah nasihat Imam Shafie ini dan jadilah ia sebagai panduan dalam kehidupan seharian..

PERSAHABATAN tulen memang sukar dicari. Hanya mereka yang benar-benar bersahabat dengan hati tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan tulen. Dalam hal ini, Iman Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang.

Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri. Mencari sahabat pada waktu susah. Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Jika suka melanda, aku sering bertanya: “Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?” Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan. Pasang surut persahabatan. Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik.

Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai. Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat. Apabila tidak ke temu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.

Sukarnya mencari sahabat sejati. Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Bersikap seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua-dua tanganmu dari zaman itu dan daripada manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka, kelak kamu akan memperoleh kebaikannya.

Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujanji orang mulia kerana kebaikannya sedikit. Sahabat sejati pada waktu susah. Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.

Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah. Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia. Rosaknya keperibadian seseorang.

Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi penipuan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri itu. Menghormati orang lain.

Barang siapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. Begitu juga barang siapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan. Barang siapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barang siapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat. Menghadapi musuh.

Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan. Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.

Tipu daya manusia. Mudah-mudahan anjing itu dapat bersahabat denganku kerana bagiku dunia ini sudah hampa daripada manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk tuannya yang tersesat, tidak seperti manusia jahat yang selamanya tidak akan memberi petunjuk.

Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri. Tempat menggantungkan harapan. Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahu pun setelah mati.

Menjaga nama baik. Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirahat.

Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadang kala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

Monday, February 1, 2010

Tazkirah: Menyingkap Sirah Umar Abdul Aziz



Hukama’ mengatakan, “Dunia ini didukung oleh empat tiang; kebijaksanaan golongan cendekiawan, keadilan pemerintah, doa orang yang jujur dan kegagahan orang yang berani.” Pepatah ini sememangnya sangat tepat kerana hanya golongan cendekiawan yang bijaksana, pemerintah yang adil, orang jujur yang berdoa serta orang berani yang gagah sahaja dapat memakmurkan dan meneguhkan bumi ini. Selain itu, mereka inilah juga yang membentuk suasana sejahtera – bi’ah salihah/hasanah dalam sesebuah keluarga atau masyarakat.

Sifat-sifat mulia yang ada pada empat golongan ini dimiliki oleh pemimpin agung seperti Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz. Dengan keluhuran peribadinya itulah, Khalifah ‘Umar berjaya memadamkan pemberontakan kaum Khawarij yang sangat ekstrim selain peperangan antara suku yang berlaku sejak sebelum beliau memimpin negara. Khalifah ‘Umar telah berusaha mengadakan sesi dialog secara terbuka dengan kumpulan ini sehingga semua pihak berpuas hati.

Keperibadian Khalifah ‘Umar sendiri dipengaruhi oleh sifat serta akhlak luhur keturunan atau ahli keluarganya dan yang paling hampir ialah bapanya sendiri iaitu gabenor Mesir. Zaman pemerintahan ‘Abdul ‘Aziz merupakan zaman yang gemilang. Beliau telah membina alat pengukur air Sungai Nil dan sebuah jambatan di Teluk Amir al-Mu’minin. Begitu juga beliau berusaha membina semula dan meluaskan Masjid Jami’ `Amru. Manakala di kawasan kota pula dibangunkan kolam air, ditanam pohon-pohon kayu serta tamar dan didirikan masjid-masjid lalu dipindahkan pejabat-pejabat pemerintahan dan Baitulmal ke situ.

‘Abdul ‘Aziz merupakan seorang pemimpin contoh dan seorang yang dermawan. Beliau tidak pernah mengumpulkan kekayaan untuk dirinya sahaja walaupun daerah Mesir itu dapat dijadikan sumber kekayaan peribadinya. Menurut riwayat, beliau telah membelanjakan seluruh harta kekayaannya dan semasa meninggal dunia, ‘Abdul ‘Aziz hanya meninggalkan tujuh ribu dinar sahaja. Ini merupakan jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan kedudukan serta kekayaannya.

Khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz membesar dan dewasa di kota Madinah. Beliau meriwayatkan Hadith dan berguru dengan sekumpulan sahabat yang pakar dalam bidang tersebut. Antara mereka ialah Anas bin Malik (wafat pada tahun 90H.) – seorang guru yang pernah menjadi makmumnya ketika solat, `Abdullah ibn ‘Umar, bapa saudaranya (wafat pada tahun 74H.) dan ‘Abdullah ibn Ja`far ibn Abi Talib (wafat pada tahun 80H.).

‘Umar ibn ‘Abdil ‘Aziz dilantik menjadi khalifah setelah kemangkatan Khalifah Sulaiman ibn ‘Abdil Malik. Semua rakyat dan pembesar negara berkumpul di masjid. Seterusnya, surat wasiat khalifah pun dibuka lalu diumumkan nama ‘Umar ibn ‘Abdil ‘Aziz. Beliau benar-benar berasa terkejut lalu berkata, “Demi Allah! Ini sama sekali bukanlah permintaanku, sama ada secara rahsia mahupun terang-terangan.” ‘Umar segera menaiki mimbar dan berucap kepada hadirin :

“Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dibebani dengan tugas ini tanpa diminta pendapatku terlebih dahulu. Ini bukan juga atas permintaanku sendiri dan tidak pula berdasarkan musyawarah kaum Muslimin. Sesungguhnya aku kini membebaskan saudara-saudara sekalian daripada bai’at yang terletak di atas bahu saudara semua terhadap diriku. Pilihlah siapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas!”

Amalan demokrasi yang cuba dipraktikkan oleh ‘Umar ini sekali gus mengubah tradisi Bani Umayyah sejak zaman Mu`awiyah ibn Abi Sufyan. Walau bagaimanapun, orang ramai segera bersuara, “Kami telah memilih kamu, wahai Amir al-Mu’minin dan kami telah rela terhadap kamu. Perintahlah kami dengan baik.”

Akhirnya, apabila tiada lagi pencalonan lain yang dikemukakan oleh orang ramai, ‘Umar pun menyampaikan pidatonya. Antara lain katanya :
“Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah kerana taqwa kepada Allah itu adalah penting daripada segala-galanya. Tiada kemuliaan dan kehormatan yang dapat menggantikan ketaqwaan kepada Allah. Beramallah kamu untuk akhiratmu kerana sesiapa yang beramal untuk akhiratnya, maka Allah s.w.t. akan menjamin bahawa selesailah urusan kehidupan dunianya. Amalkanlah tingkah laku yang baik sewaktu kamu bersendirian, nescaya Allah akan menjadikan tingkah lakumu baik ketika kamu berada di kalangan orang awam.”

“Banyaklah mengingati mati dan sediakanlah bekalan menghadapinya sebelum ia datang menjemput kamu kerana ia boleh mencegah kamu daripada hidup berfoya-foya dengan kenikmatan. Sesiapa yang tidak mahu mengenang nenek moyang yang telah pergi terlebih dahulu sejak zamannya hingga Nabi Adam a.s., ia pasti akan mati dalam keadaan hina.”

“Ketahuilah! Bahawa tindakan mentaati makhluk dalam perkara maksiat terhadap Khalik adalah dilarang. Sesiapa yang mentaati Allah, wajiblah ia ditaati dan sesiapa yang mendurhakai Allah, maka ia tidak harus ditaati. Taatlah kamu kepadaku selagi aku taat kepada Allah. Jika aku mendurhakai Allah, maka kamu tidak lagi harus mentaatiku. Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku sendiri dan untuk saudara-saudara sekalian.”

‘Umar ternyata terlalu bersedih dan gelisah dengan beban tanggungjawab yang dipikulnya sesudah dilantik menjadi Khalifah. Selesai menunaikan solat, beliau berdoa dan menangis. Kepada isterinya, diadukan bagaimana resahnya beliau mengenangkan beban untuk menguruskan umat Muhammad s.a.w. Katanya, “Aku terfikir tentang nasib orang fakir dan miskin yang kelaparan, orang sakit yang terlantar, orang yang tidak berpakaian, orang yang teraniaya, orang asing yang menjadi tawanan perang, orang tua, keluarga yang memiliki anak yang ramai tetapi hartanya sedikit dan orang lain seperti mereka yang terdapat diseluruh pelosok negeri. Aku mengenang bagaimana Tuhanku akan menanyakan dan memintaku bertanggungjawab ke atas mereka semua pada hari kiamat kelak. Aku takut jika aku tidak dapat memberikan keteranganku.”

Diceritakan bahawa selepas dilantik menjadi Khalifah dan ketika mahu berangkat pulang daripada urusan pemakaman Khalifah Sulaiman, ‘Umar diberikan berbagai-bagai jenis kenderaan khalifah. ‘Umar bertanya, “Apakah ini?” Jawab mereka, “Inilah kenderaan buat khalifah.” ‘Umar berkata, “Haiwanku lebih sesuai bagiku.” Kemudian beliau menjual semua kenderaan tersebut dan wangnya diserahkan kepada Baitul Mal. Begitu juga dengan perhiasan, permaidani dan pengalas kaki yang biasanya disediakan untuk khalifah yang baharu. Semuanya dijual oleh ‘Umar dan wangnya diserahkan kepada Baitul Mal.

Di samping itu, turut diceritakan bagaimana ‘Umar menghadapi masalah kewangan untuk menunaikan haji disebabkan harta kekayaannya telah diserahkan kepada negara untuk kepentingan umum. ‘Umar memberitahu pembantunya, Muzahim, “Aku ingin menunaikan ibadah haji. Adakah kamu mempunyai sesuatu?” Muzahim menjawab, “Ada lebih kurang sepuluh dinar cuma.” “Apakah yang dapat kulakukan dengannya?” ujar ‘Umar. Muzahim terdiam sejenak dan akhirnya berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin, bersiaplah! Ssebanyak tujuh belas ribu dinar iaitu sebahagian daripada harta Bani Marwan telah diserahkan kepada kita.”

‘Umar menjawab, “Masukkanlah harta tersebut ke dalam Baitul Mal. Sekiranya ia datang daripada barang yang halal, maka kita telah mengambilnya sekadar keperluan kita dan jika ia datang daripada harta yang haram, maka cukuplah bagi kita apa yang menimpa diri kita.”

‘Umar juga melatih ahli keluarganya supaya turut zuhud sepertinya. Anak beliau sendiri memakai pakaian yang terlalu sederhana; meskipun bersih tetapi koyak, pada hari raya. Kebijaksanaan ‘Umar juga jelas terbukti dalam berinteraksi dan menyelesaikan pertikaian dengan penganut agama lain. Sebagai contoh, ‘Umar telah mengembalikan gereja yang diambil oleh khalifah sebelumnya dan diubah menjadi masjid. Kaum Nasrani yang memaklumi sifat adilnya telah memohon kepada ‘Umar supaya gereja tersebut dikembalikan kepada mereka.

Keadilan dan ketegasan ‘Umar dalam pemerintahannya benar-benar menjadikan rakyatnya hidup aman dan kaya. Yahya ibn Sa’id pernah meriwayatkan, ‘Umar ibn `Abdil Aziz telah mengutusku ke Afrika Utara untuk membahagi-bahagikan zakat penduduk di sana. Aku pun melaksanakan perintah tersebut. Aku mencari golongan fakir miskin untuk kuberikan zakat itu kepada mereka. Akan tetapi ,kami tidak menemui seorang pun dan tiada pula orang yang mahu menerimanya. ‘Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya. Akhirnya, kubeli beberapa orang hamba dengan harta zakat itu lalu kumerdekakan.”

Khalifah yang demikian salih, adil dan menepati ciri pemimpin sejati yang dikasihi Allah, akhirnya wafat kerana diracuni makanannya. Anehnya ‘Umar yang sememangnya mengetahui ketika, di mana dan siapa yang meracuninya itu tidak pula menghukum orang tersebut. Inilah kelebihan firasat orang yang beriman. Menyentuh tentang firasat ini, Rasulullah pernah bersabda, “Takutilah olehmu firasat Mukminin kerana mereka memandang dengan nur Allah.” Beliau hanya memanggil orang tersebut dan bertanya berapakah harga ia diupah untuk meracuni beliau. Wang seribu dinar itu dimintanya bukan untuk mengubati bisa racun tersebut tetapi diberikan kepada Baitul Mal untuk kepentingan umat Islam.

Keimanan dan sifat zuhud ‘Umar sememangnya cukup menakjubkan. Daripada kehidupan yang sedemikian mewah sebelum menjadi khalifah, beliau sanggup meninggalkan semuanya, semata-mata kerana takutkan azab Allah sekiranya beliau cuai menjalankan amanah. Ketika meninggal dunia, harta beliau hanya tinggal tujuh belas dinar sahaja. Ia dibahagi-bahagikan untuk penyelenggaraan pemakamannya iaitu lima dinar untuk kain kafan, dua dinar untuk tanah perkuburannya dan baki sepuluh dinar itulah yang dibahagi-bahagikan untuk sebelas orang anaknya.
Sebagai seorang hamba yang dikasihi Allah, ketinggian darjatnya ditunjukkan oleh Allah untuk dijadikan panduan oleh manusia lainnya. Demikianlah kehebatan seorang manusia agung, seorang hamba Allah yang memperoleh nikmat syurga, hasil keimanan yang kudus hanya kepada Allah s.w.t. Mudah-mudahan kita dapat berusaha mencontohi akhlak mulianya

Tuesday, January 19, 2010

Mursyidul Am Baharu Ikhwanul Muslimin

Dr. Muhammad Badi’ Abdul Majid Saamy, Mursyid Am Ke Lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke 8 dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.

Mursyid Am ke Lapan, Dr Mohd Badi’ mengucap hormat dan ukhuwwah kepada Mursyid Am ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef di sidang akhbar antarabangsa jam 11.00 pagi tadi (waktu Mesir) yang mengumumkan keputusan pemilihan Mursyid Am yang baru bagi jemaah Ikhwan Muslimin.


Pada pukul 11.00 am (5.00 pm waktu Malaysia) tadi, Ikhwan Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun. Beliau adalah Mursyid Am ke lapan bagi jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Mursyid Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1928. Dr Muhammad Badi’ menggantikan Mursyid Am Ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun.

Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin ke 8 dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.

Dr Muhammad Badi’ dilahirkan pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir dan anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan 3 orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha.

Dr Muhammad Badi’ mendapat ijazah Sarjana Muda (B. Sc.) Veterinary Science (Kedoktoran Haiwan) dari Universiti Kaherah pada tahun 1965, ijazah Sarjana Vet Sc tahun 1977 dari Universiti Az-Zaqaziq, Ph.D Vet. Sc tahun 1979 dari Universiti Az-Zaqaziq, Professor Madya Vet. Sc. Di Universiti Az-Zaqaziq tahun 1983, Professor Vet. Sc. Di Universiti Kaherah cawangan Bani Suef tahun 1987, ketua Jabatan Patologi, Fakulti Vet. Sc. Tahun 1990. Beliau telah menyelia 15 thesis Masters dan 12 thesis Ph.D dan berpuluh kertas penyelidikan dalam bidang Kedoktoran Haiwan (Vet. Sc.). Sekarang beliau bertugas sebagai Professor di Jabatan Patologi, Fakulti Sains Veterinar di Universiti Bani Suef, selatan Mesir.

Dalam arena Dakwah Ikhwan Muslimin, beliau menjadi anggota Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1975, Masul Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1977, Masul Tarbiyah di Ar-Rabitah, Yaman (1982 – 1986), anggota Maktab Idari di Bani Suef (1986), Masul Maktab Idari di Bani Suef (1990), Masul Tarbiyah Mesir (1994), anggota Maktab Irsyad (sejak 1996) dan anggota Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Antarabangsa (2007) dan Penyelia Biro Tarbiyah (2007).

Mursyid Am ke Lapan, Dr Mohd Badi’ mengucap hormat dan ukhuwwah kepada Mursyid Am ke Tujuh, Ustaz Mahdi Akef di sidang akhbar antarabangsa jam 11.00 pagi tadi (waktu Mesir) yang mengumumkan keputusan pemilihan Mursyid Am yang baru bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Beliau bersama-sama sebahagian pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk ahli tafsir Fi Zilal Al-Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb dihadap ke Mahkamah Tentera pada tahun 1965 dimana Sayyid Qutd dijaatuhkan hukuman gantung sampai mati manakala beliau dipenjara 15 tahun. Selepas 9 tahu, beliau dibebaskan pada tahun 1974. Pada 1998, beliau dipenjara selama 75 hari atas isu “Persatuan Ad-Dakwah Al-Islamiah”. Pada tahun 1999, Mahkamah Tentera menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara. Pada tahun 2008, ketika musim Pilihanraya Dewan Undangan Negeri, beliau dipenjara selama sebulan.

Nama Dr Muhammad Badi’ tersiar dalam Ensaiklopedia Ilmiah Arab dikalangan 100 tokoh Arab yang diterbitkan oleh Badan Penerangan Mesir tahun 1999.

Semoga Allah swt mengurniakan beliau TaufiqNya dalam memimpin jemaah Ikhwan Muslimin yang menjadi salah satu tempat harapan ummah Islamiyah dalam mengembalikan identity Islam kedalam diri dan masyarakat Islam, berhadapan dengan penentangan dan projek gergasi Amerika, Yahudi dan barat untuk menguasai dunia dan menghancurkan Islam. “Wahai orang-orang beriman, jika kamu menolong Allah, Dia akan menolong kamu dan akan meneguhkan pendirian dan kedudukan kamu” (Al-Quran).

Friday, January 15, 2010

Solat Jemaah Satu Perbahasan Pendek


ALLAH mengurniakan ganjaran pahala 27 kali kepada orang yang mendirikan solat berjemaah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: "Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian dengan 27 darjat" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hukum mendirikan solat berjemaah ialah fardu kifayah ke atas orang lelaki, iaitu tanggungjawab bersama umat Islam. Manakala hukum ke atas wanita ada beberapa pandangan menurut mazhab.

Mazhab AI-Shafie mengatakan wanita bersolat jemaah di rumah lebih baik daripada berjemaah di masjid. la sunat muakkad ke atas mereka. Firman Allah SWT: "Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang yang rukuk" (surah Al-Baqarah: 43). Ayat ini memberi maksud Islam memerintahkan solat jemaah.


Firman Allah SWT lagi:
"Pada hari apabila betis disingkap, dan mereka diseru untuk bersujud. tetapi mereka tidak boleh. Pandangan mereka merendah, kehinaan menutupi mereka, kerana mereka telah diseru untuk bersujud sedang mereka sejahtera" (AI-Qalarn: 42-43).

Said bin Musayyib rahimahullah mengulas: "Dulunya mereka mendengar (Hayya "Alas Solah, Hayya Alal Falah - Marilah bersolat, marilah menuju kejayaan) akan tetapi mereka tidak menyahutnya sedangkan mereka sihat tubuh badan." Manakala Ka'ab AI-Ahbar berkata: "Demi Allah! Ayat ini tidak sekali-kali diturunkan melainkan ditujukan kepada orang yang memalingkan diri meninggalkan solat berjemaah".

Banyak kelebihan solat berjemaah antaranya menguatkan semangat persaudaraan sesama Islam, mengukuhkan persahabatan, melatih umat Islam agar berdisiplin dan menepati masa dan mengukuhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Taala.

Sabda RasuMlah SAW: "Sesiapa berwuduk dan dia menyempurnakan wuduknya kemudian dia berjalan untuk mengerjakan solat yang telah diwajibkan lalu dia besolat bersama imam, maka diampunkan baginya dosanya". (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan disahihkan oleh Al-Albani.)

Ramai biasa bersolat jemaah sama ada di masjid atau di rumah bersama keluarga. Solat jemaah antara imej Islam yang tersendiri. Seperti cara berpakaian, sekali pandang orang tahu empuhya diri beragama Islam. Solat berjemaah juga imej dan syiar Islam. Jika agama lain hanya memperuntukkan satu hari dalam seminggu untuk upacara keagamaan, Islam bersolat lima kali sehari dan berjemaah mengukuhkan perpaduan pada ketika itu.
Namun, adakah wanita diberatkan berjemaah di masjid seperti lelaki?


Wanita lebih baik solat di rumah. Namun Rasulullah bersabda, "Jangan melarang jika isteri hendak ke masjid." Tiada hadis yang melarang wanita keluar ke masjid untuk berjemaah, bahkan dilarang menegah wanita ke masjid untuk solat berjemaah. Rasulullah menyarankan supaya memberi keizinan kepada wanita ke masjid apabila mereka memohon keizinan.

Bagi wanita bujang, bolehlah lebih kerap ke masjid berbanding yang telah berkahwin.

Walaupun begitu, ulama bersependapat bahawa solat orang perempuan di rumah adalah lebih baik daripada bersolat di masjid bersandarkan hadis Rasulullah SAW: "Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah di kalangan wanita untuk ke masjid-masjid Allah. Dan rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka".

Dan dalam hadis lain daripada Abu Hurairah, Baginda bersabda: "Janganlah kamu melarang hamba Allah di kalangan wanita untuk ke masjid-masjid Allah. Hendaklah mereka keluar tanpa berhias-hiasan dan berwangi-wangian." Manakala Ibnu Umar meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: "Sekiranya isteri kamu meminta izin daripada kamu pada waktu malam untuk ke masjid, maka berilah keizinan kepada mereka." Riwayat yang lain mengatakan bahawa Baginda bersabda: "Sekiranya ada antara kamu yang diminta izin oleh isterinya untuk ke masjid maka janganlah dia melarangnya".

Walaupun demikian, Rasulullah SAW menekankan kaum wanita digalakkan dan diutamakan berada di rumah dan sebaik-baik masjid bagi kaum wanita ialah rumah mereka sendiri, kecuali bersolat di Masjid al-Haram seperti yang diriwayatkan Abu Amru asy-Syaibani yang bermaksud: "Daripada Abi Amru asy-Syaibani, Abdullah bin Mas'ud berkata; Tidak ada bagi seseorang wanita lebih baik (afdal) daripada solatnya di rumah melainkan di al-Masjid al-Haram".


Ini kerana solat di Masjid al-Haram mempunyai kelebihan beratus ribu ganjaran pahalanya. Daripada 'Atha' daripada Jubari bahawa Rasulullah SAW bersabda; "Solat di dalam masjidku (Masjid an-Nabawi) adalah lebih baik (afdal) daripada masjid-masjid lain kecuali al-Masjid al-Haram. Dan solat di al-Masjid al-Haram lebih baik (afdal) daripada seratus ribu masjid selainnya."


Sebaliknya, kalau dikhuatiri bahawa pemergian ke masjid boleh menimbulkan fitnah, lebih baik bersolat di rumah sahaja. Ummul Mukminin Saidatina 'Aisyah pernah berkata: "Sekiranya Rasulullah SAW melihat hal-hal wanita sebagaimana yang kami lihat, nescaya Baginda akan melarang mereka daripada ke masjid sebagaimana Bani Israil telah melarang wanita mereka."

Juga diriwayatkan bahawa Ummu Humaid AI-Sa'diyyah telah datang kepada Rasulullah lalu berkata; "Wahai Rasulullah! Aku suka bersolat bersamamu." Lalu Baginda berkata:"Kamu telah pun melakukannya. Dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik daripada solatmu di bilik-bilik kamu, dan solatmu di perkarangan rumahmu lebih baik daripada solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik daripada solatmu di masjid besar."


Lelaki diberatkan supaya solat di masjid kecuali sakit atau keuzuran. Sibuk dengan tugas bukan alasan tidak dapat berjemaah. Sebagaimana yang tercatat dalam Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Ibnu Majah dan Musnad Ahmad, Rasulullah pernah bersabda; "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isya' dan Solat Fajar (Subuh). Andai kata mereka tahu apa yang terkandung dalam kedua-dua solat itu nescaya mereka akan mendatanginya walaupun terpaksa merangkak. Sesungguhnya aku telah berhasrat untuk memerintahkan solat agar didirikan. Kemudian aku memerintahkan seorang lelaki untuk (mengimamkan) solat bersama-sama orang ramai. Kemudian aku akan keluar bersama beberapa orang yang membawa bersama mereka berkas-berkas kayu api menuju kepada kaum yang tidak datang solat bersama-sama. Lalu aku akan bakar rumah-rumah mereka".


Dalam Sunan Ahmad ada penambahan; "Andai kata tiada wanita dan anak kecil di dalam rumah-rumah itu nescaya aku akan bakar semuanya".

Berjemaah di masjid memperkukuh hubungan sesama Islam juga menghidupkan masjid. Masjid sepatutnya menjadi pusat masyarakat Islam yang di sekitarnya menjadi tempat orang Islam menjalankan kegiatan harian sperti berurus niaga. Lantas masjid akan berada berhampiran kita dan tidaklah terpencil mahupun tersorok.

Wajarlah ia dibina di tengah-tengah pusat komersil dan di tengah-tengah kawasan perumahan. Sepatutnya setiap hari masjid kita meriah seperti solat Jumaat. Malangnya kita ada lima waktu sehari semalam namun masjid suram dan sukar mendapat satu saf kecuali Jumaat. Akhirnya masjid menjadi asing dan bertukar jadi perhiasan.


Mengapa Islam memberatkan wanita bersolat di rumah?
Banyak sebabnya. Antaranya untuk jaga rumahtangga, keluarga dan anak-anak. Jika hanya suami ke masjid dan dia tahu keadaan anak-anaknya terjaga dan selamat di rumah bersama isteri maka suami akan lebih tenang beribadat.


Jangan fikir sebab terpaksa terbeban dengan tanggungjawab rumahtangga, wanita tidak dapat mengumpul pahala. Menjaga anak, menguruskan rumahtangga, mendengar cakap suami dan setiap satu pekerjaan yang wanita lakukan di rumah kerana Allah tetap mendapat pahala. Kadang-kadang wanita lupa pada perkara-perkara kecil seperti menyediakan pakaian suami untuk ke masjid juga mendapat pahala.


Wanita juga boleh solat jemaah di rumah bersama anak-anak misalnya dan mendapat pahala jemaah sama seperti di masjid. Wanita kena tahu yang mana harus dilebihkan pada waktu sama masih mendapat pahala. Paling penting sebagai isteri galakkan suami berjemaah di masjid.

Semoga anda turut mendapat pahalanya. Rasulullah bersabda:"Orang yang menunjuk kepada sesuatu kebaikan adalah seperti orang yang melakukan kebaikan itu." Isteri layak mendapat pahala ke masjid dengan hanya mendorong suami mereka berjemaah di masjid.

Wallahu'alam...:)

Wednesday, January 13, 2010

Mufti Kedah Setuju Dengan Titah Sultan Selangor

Polemik isu ‘kalimah Allah’ harus dihentikan segera bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini kelak.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, semua pihak perlu tampil dan berbuat sesuatu untuk menangani situasi ini.

Beliau berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan semua pihak berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain adalah langkah terbaik menghadkan isu itu daripada terus berpanjangan.

“Saya cukup bersetuju dengan titah baginda dan rakyat harus akur dengan titah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa kelmarin memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.

Katanya, Baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyifatkan hasrat Herald-The Catholic Weekly untuk tidak lagi menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, keputusan itu adalah tepat.
“Sepatutnya isu penggunaan kalimah Allah ini tidak wujud kerana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah bersetuju bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

“Jadi, tiada sebab untuk agama lain mahu menggunakan lafaz itu. Namun, keputusan editor majalah itu, Reverend Lawrence Andrew yang berkata, keputusan tidak menggunakan kalimah itu atas rasa tanggungjawab untuk menjamin keamanan negara sewajarnya dipuji,” katanya.

Friday, January 8, 2010

Dakyah Yang Menyesatkan!

YB Zulkifli Nordin







Salam 2 all.
Saya perturunkan diatas contoh risalah yang diterbitkan untuk membuktikan betapa penggunaan nama ALLAH yang ternyata disalahgunakan dari kacamata aqidah Islam, dan jelas mengelirukan dan boleh membawa kesan negatif kepada keharmonian dan ketenteraman awam dalam negara kita.

Sebenarnya ALLAH telah memberi amaran dan peringatan kepada kita umat Islam tentang dakyah dan konspirasi halus Yahudi & Kristian ini yang tidak akan redho dan setuju dengan kita umat Islam selama-lamanya selagi kita tidak mengikut cara kehidupan dan kemahuan mereka:

Al Baqarah: 120
"Sesungguhnya Yahudi dan Kristian tidak akan redho dengan kamu selama-lamanya sehinggalah kamu menurut cara hidup mereka. Katakanlah 'sesungguhnya petunjuk ALLAH itulah petunjuk yang benar'. Dan sesungguhnya jika kamu memilih untuk mengikuti kemahuan Yahudi dan Kristian ini setelah datang kepada kamu 'ilmu (Al Quran), maka ALLAH tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu".

Dan ALLAH menceritakan kepada kita tentang kesesatan, kekufuran dan kesyirikan golongan Yahudi & Kristian ini dengan menyalahgunakan nama ALLAH ini:

At Taubah: 30-32
"Kaum Yahudi mengatakan , 'Uzair itu anak ALLAH' dan kaum Kristian pula berkata 'Isa (Jesus) itu anak ALLAH. Demikian itulah ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dila'nati ALLAH mereka, bagaimana mereka sampai berpaling".

"Mereka (Yahudi & Kristian) menjadikan orang 'alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain ALLAH, dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih Putera Maryam (Jesus); padahal mereka hanya disuruh menyembah ALLAH Tuhan Yang Satu, tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia (ALLAH). Maha suci ALLAH dari apa yang persekutukan".

Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) ALLAH dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan ALLAH tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya".

Dan ALLAH menegaskan bahawa apa jua pun, ALLAH telah mengutuskan Rasul dan kitab Al Quran yang benar dan hak, dan akan pasti menang atas segala agama lain, walaupun kafir musyrikin tidak suka dengannya.

At Taubah: 33
"Dialah ALLAH yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk (Al Quran) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka!".
Dan ALLAH memberikan penegasan yang muktamad tentang hakikat ketuhanan dan ketauhidan kepada ALLAH ini.

Al Ikhlas: 1-4
"Katakanlah, "Dialah ALLAH Tuhan Yang Maha Esa (Satu), ALLAH adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu, Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatu pun yang sekufu (setaraf) dengan Dia".

Malahan sebenarnya isu penggantian nama God kepada 'ALLAH' ini juga muncul di Eropah Isnin lepas. Seorang tokoh kanan Roman Kristian Katolik di Belanda yang berusia 71 tahun Bishop Tiny Muskens mencadangkan supaya penganut Kristian menggantikan nama God kepada 'ALLAH', namun cadangan beliau dibantah keras oleh tokoh-tokoh Kristian Euro-Amerika. Seorang tokoh dan ilmuan Kristian di Amerika, Dr. R. Albert Mohler, Jr., President of The Southern Baptist Theological Seminary, menegaskan bahawa, "it is inappropriate for Christians to call God "Allah" based on irreconcilable theological differences associated with the name "Allah" and core Christian beliefs.The key condition behind calling the Christian God "Allah" is that "Allah" must refer to the same God as the one in the Bible. However, this requirement presents “a huge problem for both Muslims and Christians,” contends Mohler.The theologian pointed out that the Qur’an explicitly denies that "Allah" has a son, and Islam considers the idea of a triune God to be blasphemy. “Thus, from its very starting point Islam denies what Christianity takes as its central truth claim – the fact that Jesus Christ is the only begotten Son of the Father,” wrote Mohler on his web blog Wednesday. “If "Allah" has no Son by definition, "Allah" is not the God who revealed himself in the Son. How then can the use of "Allah" by Christians lead to anything but confusion …and worse?”.

Berdasarkan itu, saya ingin bertanya kepada segelintir Melayu di Malaysia ini yang beriya-iya sangat menyokong kemahuan segelintir Kristian di Malaysia ini yang mahu menggunakan nama ALLAH dalam bentuk triniti- bahawa ALLAH itu adalah Tuhan Bapak, Tuhan Anak & Roh Suci, apakah kamu bersetuju dan redho dengan kemahuan itu? Bagaimana kita boleh sampai menjadi golongan yang 'summum bukmum 'umyum faahum-buta, pekak dan bisu!! "Ingatlah "Ar ridho bil kufr..kufr. Mereka yang redho dengan kekufuran itu adalah kafir!! Na'uzubillah minzaalik.

Sebab itu saya menyeru kepada diri saya dan seluruh umat Islam yang masih punya walau sekelumit iman, bertaubatlah kita kepada ALLAH dan kembalilah kita kepada petunjuk Al Quran dan Sunnah. Ingatlah pesanan ALLAH di dalam surah Al Baqarah:2, "

sesungguhnya Al Quran itu tiada sedikit pun keraguan kepadanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang menuju ketaqwaan". Dan ingatlah pesanan Rasulullah saw dalam khutbatul wida', "aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang selagi kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat..iaitu Al Quran dan Sunnahku". "Dan sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir pada hari ini (hari wukuf haji Rasulullah), semoga mereka yang terkemudian yang mendengarnya lebih memahaminya".

Dan pesan saya kepada diri saya dan saudara/i yang se aqidah dengan kalimah Tauhid Laa ila ha illallah, janganlah kita terpedaya dan terpesona dengan mainan hidup didunia ini. Janganlah kita menjadi saperti kalkatu, yang begitu terpesona dengan keasyikan cahaya pemusnah, dan terus berebut pergi kapadanya walaupun mereka tahu cahaya itu akan memusnahkan mereka. Janganlah kita menjadi Muslim Al-Kalkatu, sehingga sanggup menjual agama dan Tuhannya sendiri demi mengejar sedikit habuan didunia ini!!

Ya ALLAH, persaksikanlah bahawa aku telah menyampaikan amanat itu. Semoga ALLAH memberikan keampunanNya, dan menganugerahkan petunjuk, taufiq dan hidayahNya, dan memberikan istiqomah dalam perjuangan membela, mempertahan, dan menobatkan syariat dan risalah tauhid ini. Ameen ya robbal 'alameen.

Monday, January 4, 2010

Umat Islam Semakin Sedar....


KUALA LUMPUR, 5 Jan: PAS memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan perkataan Allah bertujuan untuk mengelirukan atau menjadikan isu tersebut sebagai politik murahan mendapat sokongan rakyat.

Pendirian PAS itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan yang dibaca Ketua Penerangan, Idris Ahmad selepas mesyuarat khas Lajnah Politik bersama Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Bagaimanapun PAS ujar Abdul Hadi, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakanpilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama juga katanya, telah termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Walau demikian, dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama,"kata kenyataan itu.

PAS turut menjelaskan bahawa berdasarkan kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkanuntuk digunakan oleh agama Samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Namun, penggunaannya secara salah dan tidak bertanggungjawab harus dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, PAS dengan tegas menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat di negara ini.

"PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan di jamin oleh Islam," katanya lagi..

Turut hadir dalam mesyuarat sebelum itu Presiden PAS,Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh.

Pendirian tersebut juga dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk melihat kepada pandangan semua pihak sebelum ini.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

(Gambar: Antara pemimpin PAS yang menyertai sidang media isu penggunaan kalimah Allah di pejabat Agung PAS malam tadi)

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut.

Keputusan ini menimbulkan reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis sebagai membantah tindakan majalah milik aktivis Kristian itu.

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hari ini, KDN akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Disember.

KENYATAAN PENUH

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi dan dibacakan oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad :

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.-4/1/2010

Thursday, December 17, 2009

Kelebihan Puasa Muharam dan Istimewanya 10 Muharam


http://newszune.blogspot.com/
Dari Aisyah r.a. katanya"Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (SahihMuslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura.(Sahih Bukhari)

Rasulullah S.A.W juga bersabda;
"Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi." - (Riwayat Al Baihaqi)

Pada hari ini juga Allah SWT telah membentangkan segala nikmat dan kelebihan kepada rasul-rasul-Nya Antara peristiwa yang berlaku pada hari ini ialah:

Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah ! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya :
  • ALLAH menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharram
  • ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
  • Diciptakan lautan pada 10 Muharram
  • Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
  • Diciptakan papan tulis (Luh Mahfuz) pada 10 Muharram
  • Diciptakan Adam a.s. pada 10 Muharram
  • Dimasukkan Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
  • Diselamatkan Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
  • Diselamatkan anaknya Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
  • Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
  • Diampunkan dosa Daud a.s. pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Isa a.s. pada 10 Muharram
  • Dikeluarkan Idris a.s. daripada perut ikan Nun pada 10 Muharram
  • Disembuhkan penyakit Ayub a.s. pada 10 Muharram
  • Diangkat Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
  • Diterima taubat Adam a.s. pada 10 Muharram
  • Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Sulaiman a.s. pada 10 Muharram
  • Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
  • Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
  • Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
  • Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam pada 10 Muharram
Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : ” Sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka ﷲﺃ S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka ﷲﺃ S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat.

Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka.”

Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : ” Ya Rasulullah S.A.W, adakah ﷲﺃ telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?”. Maka berkata Rasulullah S.A.W : ” Ya, memang benar, ﷲﺃ Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Aasyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Aasyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan ﷲﺃ S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura, ﷲﺃ S.W.T menenggelamkan Fir’aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, ﷲﺃ S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura, ﷲﺃ S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, ﷲﺃ S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Aasyura !”.

Sunday, November 29, 2009

Kisah Pengorbanan Teragung-Nabi Allah Ibrahim dan Ismail


Surah As Soffat (ayat 100-111)


" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak
yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (100)


Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan,
bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. (101)


Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". (103)


Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), (104)


Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! (105)


"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (106)


Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; (107)


Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; (108)


Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: (109)


"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (110)


Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (111)


....................................................................................................

Di atas beberapa potong ayat Quran yang menceritakan tentang kisah pengorbanan dua orang rasul Allah, Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail. Dikisahkan bagamana dugaan yang ditimpakan kepada Nabi Ibrahim yang memperoleh zuriat ketika usia yang sudah tua, setelah Nab Ismail meningkat besar diperintahkan oleh Allah untuk dikorbankan pula.

Hati seorang ayah pasti teruji tetapi kerana patuh dan taat dengan perintah Allah, Nabi Ismail yang mulia dengan hati terbuka rela dirinya dikorbankan. Ibadah korban teragung ini dirakamkan oleh Allah dalam Al Quran untuk dijadikan tauladan kepada umat Islam seluruhnya, seterusnya Allah memerintahkan ibadah korban kekal sebagai salah satu syariat Nabi Muhammad s.a.w sehingga sekarang. Wallahua'lam.


Tuesday, November 24, 2009

Antara TAJDID dan BIADAP


RAUSYANFIKIR.COM

Oleh Abdul Muntaqim Zulkipli (mantan Timb. Presiden PKPIM)

Malam tadi (19 November 2009), saya mengikuti sesi rakaman rancangan Al-Kuliyyah (TV3) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sesi kali ini agak menarik, dengan tajuk “1 Akidah” rancangan kali ini menampilkan Al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman. Perbincangan yang bertajuk “1 Akidah” ternyata banyak berkisar sekitar persoalan tentang adab, tentang perbezaan pendapat. Itupun, tidak sepenuhnya perbincangan itu bersifat ilmiah. Apa yang pasti, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman mengecewakan. Sikap dan kata-kata mereka ternyata menggambarkan suatu kebiadaban; apa yang diistilahkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady sebagai fenomena “kebiadaban intelektual”.


Perbezaan pendapat adalah suatu lumrah yang tidak mungkin boleh dielakkan. Justeru, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, dalam ajaran Islam telahpun disiapkan panduan dan pedoman untuk menangani perbezaan pendapat tersebut. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kitab suci Al-Qur’an, kita hendaklah mengikuti jalan orang-orang yang beriman (sabiilil-mu’minin); yakni, kita hendaklah patuh kepada ijma’ ‘ulama – kesepakatan majoriti ‘ulama. Beliau menghuraikan, ini maksudnya kita hendaklah taat kepada ajaran Islam arus perdana. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memetik di dalam kitab Fathul Bari yang menyatakan bahawa imam-imam yang muktabar di dalam Ahli Sunnah wal Jamaah adalah perlu ditaati sama ada dari segi aqidah, syariat mahupun akhlak. Jika adapun perbezaan pendapat, maka hal itu haruslah ditangani secara cermat dan dengan penuh adab.


Apa yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady tersebut ternyata merupakan satu panduan yang penting kerana apa yang sedang berlaku di dalam negara ini pada hari ini adalah sikap segelintir “kaum muda” (Salafi, Wahabi, gerakan Tajdid, atau apa sahaja namanya) yang cuba melawan ‘arus perdana’. Amalan dan pegangan umat Islam di negara ini, yang merupakan amalan dan pegangan arus perdana yang telah disusun hasil kesepakatan para ‘ulama, cuba dicabar tanpa kita memahami apakah maksud sebenar di sebaliknya. Kelihatannya, hanyalah kerana mereka itu inginkan publisiti dan ingin menjadi jaguh yang dikenali di dalam masyarakat. Apakah ada keperluan amalan membaca doa qunut yang telah lama diamalkan oleh masyarakat negara ini dilawan? Apakah ada keperluan amalan membuat majlis tahlil arwah diharamkan? Apakah ada keperluan Selawat Syifa’ yang sangat masyhur di kalangan masyarakat negara ini dikatakan amalan yang salah? Itu semua adalah amalan yang datangnya melalui ajaran arus perdana di negara ini, yang semuanya ada dalil dan nas yang menyebabkan para ‘ulama mengajar amalan-amalan tersebut.


Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (MAZA) kemudian menyebut tentang sikap majoriti para imam mazhab, yang menyuruh agar ditinggalkan pendapatnya apabila ada dalil yang sahih yang bercanggah dengan pendapatnya. Hal itu, menurutnya, menjadi bukti betapa para imam menghormati dalil dan nas. Dr. MAZA juga menyebut bahawa adalah penting untuk menghormati pandangan para ‘ulama muktabar; apa yang diistilahkan di dalam usul fiqh sebagai ijma’ ‘ulama. Dr. MAZA juga menyentuh tentang masalah fanatik mazhab. Sehinggakan, katanya, hanya kerana berbeza pandangan seseorang itu boleh dihukum sesat, biadap dan sebagainya.


Hal ini telahpun disanggah dengan mudahnya oleh Al-Fadhil Ustaz Yusri Mohd. melalui soalan beliau kepada Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Kata-kata para imam mazhab bahawa “apabila bertemu dalil yang sahih hendaklah ditinggalkan pendapatku” adalah kata-kata khusus yang ditujukan kepada para ‘ulama jua, dan bukannya kepada orang awam seperti kita semua. Kata-kata tersebut ditujukan khusus kepada para ‘ulama yang berkapasiti untuk membuat ijtihad. Mana mungkin masyarakat awam, ataupun sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu agama tetapi tidak sampai ke tahap mujtahid, untuk membuat ijtihad sendiri apabila bertemu sahaja hadith sahih (atau yang dikatakan sahih) di dalam kitab-kitab mahupun buku-buku. Apakah ada jaminan interpretasi mereka terhadap maksud hadith itu betul? Apakah mereka faham benar konteks kegunaan hadith tersebut? Harus diingat bahawa hadith itu datangnya dengan konteks yang tertentu. Kerana itu kita banyak bertemu hadith-hadith yang kelihatannya seperti bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebenarnya tidak kerana konteksnya berbeza. Cukup menghairankan apabila Dr. MAZA menekankan tentang perlunya kita patuh kepada ijma’ ‘ulama, tetapi dia sendiri menentang aliran arus perdana (yang merupakan hasil ijma’ ‘ulama) di negara ini; seperti contoh, dia mempertikaikan dan memperlekeh majlis maulid, memperlekeh al-Fadhil Syeikh Jaafar al-Barzanji (bacaan Maulid Barzanji – disebut ‘berzanji’ oleh orang Melayu – telah lama diamalkan di negara ini), dan sebagainya yang mana semuanya adalah perkara-perkara yang dipersetujui oleh para ‘ulama. Jika adapun pandangan berbeza, maka itu adalah perbezaan pendapat yang tidak wajar dan tidak patut dijadikan polemik di dalam masyarakat! Hormatilah apa yang telah disusun oleh para ‘ulama terdahulu untuk kesejahteraan umat Islam di negara ini!


Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menyatakan bahawa semua orang, termasuk para ‘ulama, adalah tertakluk kepada ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa kita semua tidak dikurniakan pengetahuan melainkan sedikit. Justeru, Al-Qur’an juga mengajarkan kita agar “bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui”. Menurutnya, setiap orang ada bidang kepakaran masing-masing dan bidang tersebut harus dihormati. Tentang fenomena masa kini di mana semakin ramai orang awam yang turut melibatkan diri dalam perbincangan terbuka tentang hal-hal agama yang sebenarnya bukan bidang mereka, Dr. Fauzi Deraman menyatakan bahawa orang awam tidaklah wajar disalahkan sepenuhnya kerana orang awam mengikuti ‘mentor’ mereka. Maka, apa yang penting adalah orang awam harus dididik dan diberikan panduan yang betul. Apa yang dikatakan oleh Dr. Fauzi Deraman ternyata benar. Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah orang sudah tidak menghormati autoriti. Dalam hal agama sebagai contoh, semakin ramai orang sudah tidak lagi menghormati autoriti kerana terpengaruh dengan sikap segelintir orang muda yang kononnya berilmu, mungkin kerana memilik Ph.D. lalu memakai gelaran ‘Doktor’ di hadapan namanya, yang dengan sewenang-wenangnya mempersoal dan mempertikaikan pendapat para ‘ulama sedangkan mereka bukanlah orang yang layak untuk melakukan hal yang sedemikian. Ada juga di kalangan para ilmuan sombong ini yang mengatakan diri mereka, ataupun mengatakan ‘ulama ikutan mereka, sebagai pakar hadith dan memakai gelar ‘Al-Muhaddith’ sedangkan antara syarat untuk seseorang itu digelar ‘Al-Muhaddith’ adalah ia haruslah menghafal 100,000 hadith! Itu belum termasuk syarat mempunyai dan menghafal sanad hadith. Sedangkan golongan ‘ulama sombong ini menolak amalan pemberian ijazah hadith; maka mana mungkin mereka menjadi pakar hadith!


Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memberikan satu peringatan yang ringkas tetapi penuh makna; bahawa setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Peringatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar kita merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Justeru, dalam soal memberikan pandangan, sepertimana yang dipraktikkan oleh para salafussoleh, hendaknya para ‘ulama itu berbincang di dalam wacana “para ‘ulama” untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor – sebelum akhirnya keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kita terpengaruh dengan wacana ala pasca-modenisme, yang menganggap semua wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’.


Penekanan yang diberikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ini, walaupun ringkas, tetapi adalah sangat fundamental. Apa yang disebutkan adalah tentang hal adab. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mempunyai kelayakan untuk membincangkan semua perkara. Perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajian ‘aqidah, berkaitan dengan fiqh dan akhlak, yang sudah tentu akan ditemukan banyak perbezaan pendapat tentangnya, adalah perkara-perkara yang tidak wajar, tidak patut dan tidak perlu untuk dibincangkan di dalam wacana terbuka di tengah-tengah masyarakat yang rata-ratanya tidak berkeahlian dalam hal ilmu Islam. Justeru, di situlah peranan para ‘ulama untuk menyusun dan menyepakati apakah kaedah, pendekatan, amalan, dan sebagainya yang patut diketengahkan kepada masyarakat. Itulah yang dilakukan oleh para imam mazhab dan para mujtahidin. Mereka meneliti dalil dan menyusun amalan-amalan dalam agama agar mudah diikuti oleh orang awam; agar tidak perlu lagi orang awam melalui proses penelitian dalil kerana tidak semua orang berkapasiti untuk memahami dengan benar dalil Al-Qur’an dan Al-Hadith, apatah lagi untuk mencapai tahap mujtahid! Tindakan membawa wacana yang berkaitan dengan penentuan asas-asas serta amalan-amalan dalam agama ke tengah kancah masyarakat, hanyalah akan menyebabkan berlaku kecelaruan kerana masyarakat akan mula keliru, dan lebih teruk lagi sudah mula muncul di tengah-tengah masyarakat golongan muda (khususnya) yang dengan beraninya berwacana menggunakan nama-nama ‘ulama seperti Imam Syafie, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan sebagainya, sedangkan mereka hanyalah ‘berguru’ dengan Internet ataupun dengan membaca sendiri buku-buku para ‘ulama tersebut. Jika adapun guru tempat merujuk, hanyalah seorang atau dua orang guru-guru yang tidak mempunyai susur galur ilmu yang mantap. Hal ini berlaku kerana melihatkan wacana-wacana yang semakin banyak dibincangkan secara terbuka, sehingga mereka merasakan bahawa sesiapa sahaja layak untuk membincangkan persoalan agama.


Bagaimanapun, Dr. MAZA seolah-olah gagal memahami apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Dia memetik hadith yang menyatakan bahawa Allah akan membangkitkan seorang ‘mujaddid’ (pembaharu urusan agama) pada setiap 100 tahun. Dia menyentuh tentang bagaimana urusan membaharui urusan agama ini telah dilakukan oleh semua mujaddid, biarpun ditentang hebat. Dia menyebut cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Imam Ahmad, Imam Syafie dan sebagainya dalam menyatakan kebenaran. Saya tertanya-tanya, apakah dia mahu menyamakan dirinya dengan Imam Ahmad dan Imam Syafie? Dia menyebut contoh-contoh itu sebagai menyatakan bahawa dirinya juga perlu melakukan ‘tajdid’ (membaharui urusan agama) biarpun sukar diterima. Namun, sekali lagi, perlu diperhatikan siapakah Imam Ahmad dan siapakah Imam Syafie? Mereka adalah ornag yang diberikan pembukaan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, sehingga mempunyai keluasan ilmu yang hebat. Sekiranya salah seorang daripada mereka masih hidup pada hari ini, maka tidaklah keterlaluan jika dikatakan adalah wajib bagi seluruh umat Islam di dunia ini mematuhinya sebagai rujukan utama masa kini! Siapalah Dr. MAZA jika hendak dibandingkan dengan Imam Syafie, Imam Ahmad? Juga, harus diperhatikan apakah yang diperjuangkan oleh imam-imam besar itu sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Dr. MAZA? Imam Syafie dan Imam Ahmad berjuang untuk membetulkan ‘aqidah umat Islam (diulangi: ‘aqidah), kerana tanpa ‘aqidah yang betul boleh jatuh kufur seseorang itu. Sedangkan di negara ini kita sudah mempunyai suatu susunan amalan dan pegangan yang betul, tidak perlu lagi dipertikaikan!


Dr. MAZA kemudiannya menyatakan, sebagai membantah pandangan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa sekiranya dia perlu berbincang dahulu sebelum menyampaikan pandangannya, maka tidak akan berlakulah “sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”. Saya dan rakan-rakan di pentas penonton hanya mampu menepuk dahi dek kerana lemahnya hujah yang digunakan oleh dia. Hadith tersebut bukan untuk hal tajdid! Jika hadith tersebut adalah berkaitan dengan hal tajdid, maka mudah sangatlah proses tajdid itu dan tidak perlulah dibangkitkan seorang mujaddid kerana sesiapa sahaja boleh melakukannya! Juga, apa yang dimaksudkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady agar diadakan perbincangan di peringkat para ‘ulama terlebih dahulu bukanlah maksudnya agar jangan dilakukan dakwah! Maksud beliau adalah supaya perkara-perkara khilaf, perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar, dengan pendekatan dan sebagainya, dibincangkan secara ilmiah terlebih dahulu di kalangan para ‘ulama, agar para ‘ulama yang berkeahlian itu dapat memutuskan apakah dia yang paling sesuai untuk disalurkan kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak berkeahlian untuk menentukan bagi diri mereka sendiri apakah yang patut atau tidak, apa yang benar atau tidak. Nah, bukankah di dalam wacana para ‘ulama itu masih ada peluang untuk ‘menyampaikan daripada Rasulullah walaupun sepotong ayat’. Keluarkanlah apa sahaja dalil dan nas yang diketahui di dalam wacana para ‘ulama kerana memang sifat wacana itu ilmiah. Mengapa harus dibawa kepada masyarakat? Adakah kerana ingin dikenali, ingin dilihat sebagai jaguh? Jika benar ingin manfaat dan faedah bagi masyarakat, bukankah pandangan dan usaha ijma’ ‘ulama itu lebih kukuh dan lebih baik daripada usaha beberapa kerat individu? Logik ini terlalu mudah, hanya mereka yang tertutup minda dan hatinya sahaja yang akan gagal memahaminya.


Dr. Fauzi Deraman pula menyatakan bahawa perselisihan (dalam hal dasar agama) tidak berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kerana ada kaitannya dengan metodologi pada zaman itu. Saya mungkin boleh bersetuju dengan kenyataan itu kerana memang ada kebenarannya. Namun, sebab utama mengapa tidak berlakunya perselisihan pada zaman tersebut adalah semata-mata kerana baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! Baginda adalah ikutan ulung para sahabat, baginda adalah contoh, baginda adalah rujukan utama! Para sahabat patuh dan taat kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tanpa soal: ini dinamakan taqlid! Benar, dalam Islam ada kebenaran untuk taqlid, bagi orang yang tidak mampu berijtihad seperti kita semua! Jika ada yang ingin menyanggah dengan mengatakan bahawa bertaqlid dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sahaja yang boleh, maka ketahuilah bahawa Rasulullah telah mengiktiraf generasi salafussoleh, para Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan Ahlul Bait sebagai kelompok yang harus kita ikuti dan contohi.


Namun, saya ternyata tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Fauzi Deraman yang menyatakan bahawa para sahabat tidaklah belajar banyak sangat tentang ‘aqidah. Kenyataan itu ternyata adalah suatu kenyataan yang sangat biadap! Para sahabat adalah mereka yang paling ‘arif tentang ‘aqidah! Kenyataan dia seolah-olah menggambarkan bahawa umat Islam yang terkemudian lebih maju dalam hal pengajian ‘aqidah! Memang benar bahawa para sahabat tidaklah mempunyai sistem pengajian yang canggih (baca: berkecamuk) sepertimana apa yang kita ada pada hari ini. Tetapi harus difahami bahawa para sahabat adalah mereka yang paling mantap ‘aqidah mereka, dan menjadi rujukan kita semua sehingga ke hari ini! Para sahabat adalah contoh kita dalam hal ‘aqidah. Bukankah dalam pembelajaran ‘aqidah pada hari ini pun kita memetik contoh-contoh daripada kisah sahabat? Penyusunan sistem bagi kita mempelajari dan memahami ‘aqidah yang benar seperti yang dilakukan oleh Al-Imam Abu Hassan Al-Asy’ari adalah juga bersumberkan kepada para sahabat, yang sudah tentunya datangnya pula daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Jika dikatakan para sahabat tidak banyak belajar ‘aqidah, adalah tidak benar sama sekali kerana para sahabat berada bersama Rasulullah, dan mereka mempelajari keseluruhan isi kandungan kitab suci Al-Qur’an secara langsung daripada baginda Rasulullah! Mereka mempelajari ‘aqidah daripada dua sumber utamanya: Al-Qur’an dan Rasulullah! Mana mungkin mereka tidak banyak belajar ‘aqidah!


Justeru itulah Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengingatkan semua tentang niat. Menurut beliau, niat itu adalah penting kerana setiap amalan itu nilaiannya bergantung kepada niat. Niat yang tidak betul akan merosakkan amalan; sepertimana solat menjadi rosak, sedekah menjadi sia-sia jika niatnya adalah untuk membangga dan menonjolkan diri. Hal ini, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, adalah sesuatu perkara yang sangat asas dan sangat penting tetapi ramai orang terlupa, termasuk sesetengah orang yang berilmu. Dalam melakukan pembaikan, teguran dan sebagainya kita haruslah ikhlas kerana mencari redha Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru, apa yang penting adalah kita menghormati orang lain, kita menghormati ‘ulil amri’. Jika ingin melakukan teguran, hendaklah dilakukan dengan cara baik dan cara berhikmah, bukannya dengan cara terus memaparkan kritikan itu di dada akhbar sehingga boleh mengakibatkan malu dan keresahan. Inilah adab namanya! Hal ini demikian kerana, jika benar kita ikhlas ingin menegur dan membuat pembaharuan maka sudah tentu boleh sahaja teguran itu disalurkan terus kepada pihak berwajib – kepada para pemerintah, kepada para ‘ulama – tanpa perlu melalui media massa. Kerana yang diinginkan adalah menyampaikan teguran dengan cara baik, bukan mencari populariti!



Mungkin disebabkan terasa dengan teguran ‘pedas’ Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. MAZA naik suara sedikit. Dia menyatakan bahawa adalah tidak patut jika seseorang itu berbeza pendapat dengan orang lain, maka orang lain itu terus dituduh sebagai sesat, Wahabi dan sebagainya. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. MAZA. Namun, ternyata di situ tersisip suatu keangkuhan dan cubaan untuk memutarbelitkan apa yang sebenarnya berlaku di negara ini. Harus difahami bahawa pertuduhan “sesat”, “Wahabi” dan sebagainya yang dilontarkan kepada individu-individu tertentu bukanlah dibuat secara semberono! Ya, mungkin sahaja ada di kalangan masyarakat awam di negara ini yang agak ‘emosional’ dan dengan mudahnya melabel orang dengan label yang pelbagai. Namun, di peringkat para ‘ulama dan intelektual, menghukum seseorang itu sebagai “sesat”, atau sebagai berfahaman “Wahabi” adalah sesuatu yang dibuat secara ilmiah. Apabila telah jelas dan telah zahir seseorang itu sesat, apakah mungkin kita mendiamkan diri dan tidak menyatakannya? Apakah hanya kerana semata-mata ingin meraikan ‘perbezaan pandangan’, maka kita tidak boleh menyatakan kesesatan seseorang itu apabila telah zahir kesesatannya? Jika begitu, tarikh balik sahaja pertuduhan kita terhadap Haji Kahar (Rasul Melayu). Fahaman dan aliran pemikiran yang “sesat” dan “Wahabi” itu telah lama dijelaskan dan dihadirkan dalil-dalil serta bukti bagi menyokong pertuduhan tersebut; hanya sahaja, mungkin segelintir pihak tidak mahu menerima hujah dan dalil-dalil yang dikemukakan.


Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menekankan bahawa daripada segi sumber, tidak ada perselisihan kerana kita semua mengakui bahawa kita hanya ada dua sumber (dalam hal ‘aqidah, syariat mahupun akhlak) yakni Allah dan Rasul. Dr. Fauzi menyatakan bahawa kita tidak ada sumber-sumber yang lain selain daripada Allah dan Rasul. Hal tersebut sememangnya benar, bahawa tidak ada sumber yang lebih utama dalam agama selain daripada Allah dan Rasul. Namun, mungkin perlu dijelaskan lagi bahawa di dalam usul fiqh, melalui peruntukan di dalam nas-nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, Ijma’ ‘Ulama juga diterima sebagai sumber – selepas Al-Qur’an dan Al-Hadith. Kegagalan mengiktiraf ijma’ ‘ulama sebagai sumber akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kebiadaban ilmu. Memang benar sumber utama dalam Islam hanya dua, yakni Al-Qur’an dan Al-Hadith. Tetapi, siapakah yang akan menyampaikan kita kepada kefahaman yang benar tentang keduanya? Oleh sebab itulah, setelah Rasulullah berpesan para peringkat awalnya agar umat baginda berpegang kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith, maka Rasulullah berpesan pula kepada kita menjelang penghujung kehidupan baginda di dunia ini supaya kita berpegang kepada sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan sunnah Ahlul Bait. Hal ini demikian kerana mereka adalah kelompok yang paling ‘arif tentang Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah, setelah berlalunya zaman Rasulullah, para sahabat merujuk kepada orang yang paling hampir dengan Rasulullah dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’in merujuk kepada para sahabat dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’ tabi’in pula merujuk kepada para tabi’in dalam usaha yang sama. Dan begitulah seterusnya berlaku, sehingga kita pada hari ini merujuk kepada para ‘ulama, guru-guru kita, masyayikh kita yang mursyid dan murabbi, dalam usaha kita untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Inilah dikatakan adab! Bukannya dengan cara menolak pandangan para ‘ulama tradisi dan kemudian menelaah sendiri Al-Qur’an dan Al-Hadith – kerana siapa kita untuk memahami Al-Qur’an dan Al-Hadith? Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan dosa dan maksiat, mana mungkin Allah mengurniakan kepada kita ‘ilmu dan kefahaman yang sama sepertimana yang dikurniakan kepada generasi terdahulu – kerana kita tidak layak!


Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady kemudiannya merumuskan perbincangan pada sesi rakaman Al-Kuliyyah itu dengan menasihatkan semua agar kembali kepada kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah – aliran arus perdana yang dijamin kebenarannya oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah telah menjamin untuk kita bahawa kerangka kebenaran (al-Haq) itu akan sentiasa ada di dalam agama ini, justeru itulah dia aliran arus perdana yang dibawa dan didokong oleh para ‘ulama secara berantaian daripada dahulu sehingga kini. Oleh sebab itulah di sisi pada ‘ulama, salah satu tradisi penting yang perlu dikekalkan bagi memastikan keberkatan dan kesahihan ilmu adalah tradisi pengajian secara bersanad. Kita haruslah mempunyai rantaian ilmu dengan guru kita, guru kepada guru kita, guru kepada guru kepada guru kita, dan begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Al-Mu’allim Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.


Selesai sahaja sesi rakaman itu sesi soal jawab dibuka kepada penonton yang hadir. Ada beberapa soalan dilontarkan kepada ketiga-tiga panel. Pada sesi ini semakin terzahir kebiadaban beberapa orang ahli panel dan para penonton yang menyokong mereka. Dalam usaha untuk menjustifikasikan betapa perlunya usaha ‘tajdid’ yang sedang dia lakukan, dalam erti kata memecahkan pegangan kepada mazhab syafi’e dan menjadi ‘lebih terbuka’, Dr. MAZA mengambil beberapa contoh kelemahan pandangan di dalam mazhab syafi’e sambil menyatakan bagaimana sikap Imam Syafi’e sendiri serta sikap ‘ulama terdahulu yang begitu terbuka. Dr. MAZA memperli sikap ‘golongan agamawan’ serta ‘pihak berkuasa agama’, khususnya kerana sikap tertutup mereka dan kerana tindakan yang dikenakan ke atasnya oleh JAIS. Bukankah seharusnya sudah jelas, begitu ramai orang yang menentangnya bukanlah kerana dengki dan bukanlah kerana semata-mata tidak suka kepada perbezaan pandangan; tetapi, kerana aliran pemikiran yang dibawa oleh Dr. MAZA adalah berbahaya kepada kesejahteraan umat Islam di negara ini. Sikap Dr. MAZA yang memperlekeh ‘golongan agama’, mencabar ‘autoriti agama’ secara terbuka begitu, sambil disambut dengan tepukan tangan oleh sebilangan penonton, ternyata menampakkan keangkuhan dan ketiadaan adab. Apatah lagi apabila disambung pula oleh Dr. Fauzi Deraman yang mengikut rentak Dr. MAZA. Dr. Fauzi memperlekeh-lekeh pandangan dalam mazhab syafi’e (dalam kes ini berkaitan haji) yang katanya menyusahkan, sambil disambut dengan senyum dan gelak ketawa Dr. MAZA dan sebilangan para penonton. Kami hanya mampu terdiam melihat.


Namun, ternyata jika Allah ingin menzahirkan kebenaran maka tidak ada apa yang akan dapat menghalangnya. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menutup dengan suatu teguran yang langsung kepada para panelis dan penonton. Bergenang air mata tatkala Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menyatakan kesayuan beliau melihat orang ramai bergelak-ketawa tatkala kisah para ‘ulama diceritakan dan pandangan mereka dilekeh-lekehkan. Begitu sayu beliau melihat orang ramai – termasuk para panelis – menganggap lekeh apa yang dibincangkan, sehingga boleh dijadikan bahan gelak ketawa. Ke mana perginya adab? Sungguh, persoalan adab ini adalah persoalan yang sangat penting. Ramai oleh boleh bercakap tentang adab, tetapi tidak semua orang benar-benar boleh menjadi orang yang beradab. Sekadar mengulangi pesanan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa ikutilah dan taatlah kepada aliran arus perdana Ahli Sunnah wal Jamaah. Taatlah kepada imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah. Bersikaplah dengan sikap yang betul; bercakaplah dengan bahasa dan ayat yang betul. Di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang tidak beradab dengan Rasulullah – cukup sekadar meninggikan suara lebih tinggi daripada suara Rasulullah – maka akan terhapus segala pahala amalannya. Nah, para ‘ulama itu pewaris Rasulullah, mengapakah kita enggan beradab dengan mereka? Memang benar mereka bukan maksum, bukan sempurna, tetapi sedarlah bahawa kita semua jauh lagi tidak sempurna daripada mereka!


Semoga Allah mengurniakan Rahmat kepada seluruh para pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah; dan semoga Allah membuka pintu hati golongan berilmu yang sombong, serta para pengikut aliran pemikiran mereka.

Mohon maaf atas salah dan silap. Sekadar luahan rasa hasil ilham daripada Allah dan berkat sentuhan guru kita Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Saya hanyalah seorang insan yang sangat hina yang sedang berusaha menggapai cinta-Nya, dan cinta Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.


Wallahu’alam.