Saturday, June 20, 2009

Apakah Kemunafiqan Bukan Lagi Satu Persoalan


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Namun, di antara MUKMIN dan KAFIR itu, ada sekelompok manusia yang wujud sebagai penyakit. Sebelah kakinya memperlihatkan kebersamaan mereka dengan daerah hitam, manakala sebelah kaki yang lain menonjolkan kebersamaan mereka dengan daerah yang putih. Jika Mukmin diperincikan dengan 5 ayat dan Kafir pula diperjelaskan cukup dengan 2 ayat, kaum yang merewang di antara dua daerah ini, yang digelar sebagai kaum MUNAFIQ, diperincikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'aala dengan ayat yang panjang lebar.
Penyakitnya berbahaya.


Permusuhannya mengelirukan.

Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman bermula daripada ayat ke-8 surah al-Baqarah hinggalah ke ayat yang ke-20, 12 ayat yang panjang lebar diperuntukkan untuk memperkatakan tentang segala tipu muslihat, kelicikan dan kebobrokan golongan ini yang sangat-sangat memudaratkan kehidupan.

Tidak cukup dengan penjelasan di Surah al-Baqarah, sebuah surah diperuntukkan khusus dengan nama golongan ini. Surah al-Munafiqun memperincikan lagi gelagat dan tindak tanduk kelompok ini yang memakai Islam di mulut dan penampilan luarannya, tetapi amat membenci golongan yang bersama dengan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.

Ayuh diteliti, apakah ungkapan Allah Subhanahu wa Ta'aala tentang kaum berpenyakit ini:

"Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.

Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman. Mereka menjawab: Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu? Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)

Allah (membalas) memperolok-olok dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayat.
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).


Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu."

[Al-Baqarah 2: 8-19]

PENUH SINDIRAN

Allah Ta'aala memperkenalkan golongan ini dengan bahasa yang amat menyindir.
Adalah satu kelompok itu… atau dalam bahasa hari ini, "kamu sendiri pun tahu siapa mereka!"
Justeru dalam memperkatakan tentang kaum Munafiq ini, janganlah diacuh-acuh atau dilontarkan provokasi agar 'tuduhan nifaq' itu diberi nama siapa sebenarnya yang dimaksudkan.

Allah Subhanahu wa Ta'aala sendiri membiarkan kelompok ini terdedah tembelang mereka tanpa nama, kerana sesungguhnya yang tidak kenal siapa Munafiq ini adalah si Munafiq itu sendiri, tatkala diberikan peringatan kepadanya agar jangan berterusan melakukan kerosakan, katanya "kami ini kaum yang membawa islah dan kebaikan!"

Tetapi cukuplah dibuat suatu penilaian, berdasarkan tentang kebejatan zahir dan batin mereka, yang didedahkan oleh Allah dengan begitu terpeinci, supaya kaum Mukmin berhati-hati. Jangan asal namanya Muslim, terus sahaja mahu diajak berkawan dan bekerjasama, tatkala yang Muslim jenis itu, ada banyak makarnya yang sudah diberitahu Tuhan.

KUFFAR

Ada pun Kuffar, biar pun mereka menolak Islam, mereka menolaknya atas kepercayaan mereka. Penolakan itu bukan suatu konspirasi yang menjadi api di dalam sekam, sebaliknya api yang tidak menyembunyikan kepanasannya. Warnanya jelas dan hala tujunya jelas.

Justeru urusan kaum Mukmin dengan Kuffar ini lebih telus. Semasa mereka melawan, mereka mesti dilawan. Semasa mereka mahu kepada perdamaian, ketelusan mereka terhadap apa yang mereka mahu, mesti disambut pula dengan 'izzah kaum Muslimin, dengan menerima perdamaian yang diminta.

"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman" [al-Anfaal 8: 61-62]

Biar pun Kuffar itu Kuffar, tetapi dek jelas warna luar dan dalamnya, Allah Subhanahu wa Ta'aala memberikan garis panduan interaksi kaum Mukminin dengan mereka. Dengan kesempurnaan Islam dalam menilai kawan dan lawan, kaum yang lawan itu, andai mahu mencari perdamaian, kaum Mukmin diperintahkan menerima perdamaian tersebut. Biar pun tangan yang dihulur masih dari hati yang kufur, namun jika zahirnya dinyatakan persetujuan untuk berdamai atas prinsip-prinsip utama Islam iaitu keadilan dan berlaku Ihsan, maka kecenderungan itu mesti disambut. Seterusnya bertawakkallah kepada Allah dalam erti kata, jangan putuskan pergantunganmu kepada Allah, selama engkau mencuba perdamaian dengan kaum yang KUFFAR itu.

Allah Maha Mendengar.

Alllah Maha Mengetahui.

Tatkala mereka itu ada perancangan untuk mengkhianatimu, jangan lupa pada Allah yang menjadi asas engkau menerima perdamaian itu. Ketentuan akan datang, perdamaian akan berakhir, kawan kembali menjadi lawan, kerana khianat dan makar yang jahat.
Itu dengan kelompok yang terang warnanya pada IMAN dan KUFUR.

SURAH AL-MUNAFIQUN

Ada pun kaum MUNAFIQ yang duduk di celah kelompok kaum MUKMIN, yang menggaulimu di luar masjid bahkan di dalam masjid, Allah memerintahkan para MUKMIN agar sentiasa berhati-hati, jangan alpa dan jangan terpedaya.

"Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya. (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?" [al-Munafiqun 63: 4]

Justeru janganlah terlalu naif untuk sekalian MUSLIM dipadukan sesama MUSLIM hanya dengan alasan permukaan berjenama MUSLIM. Andai yang Muslim itu memusuhi Muslim yang lain, menyakiti mereka, mengkhianati mereka, membuat makar dengan sesiapa sahaja demi lempias kebencian mereka terhadap kaum yang beriman kepada Allah, tidakkah Muslim yang jenis seperti ini yang dimaksudkan oleh Allah di dalam lanjutan ayat yang berikutnya:

"Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya). Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya)" [al-Munafiqun 63: 7]

Salah satu kelakuan kaum MUNAFIQ ini adalah pada strategi mereka menyekat keperluan hidup orang-orang yang mahu mengikut petunjuk Nabawi. Mereka menyeru agar orang-orang yang beriman dilaparkan, dimiskinkan, disekat dana, ditahan nafkah dan rezeki mereka semata-mata atas satu tujuan yang berdasarkan sangkaan mereka iaitu "agar dengan tekanan itu, orang-orang yang beriman akan berputus asa dan berpecah belah meninggalkan Rasulullah".

Siapakah yang mempelopori strategi yang jelek ini?

Mereka adalah golongan yang solat bersama kamu, bersyahadah seperti kamu, tetapi penyakit hatinya menjadikan kamu sasaran permusuhan mereka. Itulah kaum MUNAFIQ.
Dan kerana jeleknya sebuah KEMUNAFIQAN dan besarnya kemudaratan yang dicetuskan oleh talam bermuka-muka ini, toleransi Islam dalam kepelbagaian agama yang dianuti oleh sebuah komuniti, tetap mencetuskan sebuah perintah yang menggemparkan:

"Dan golongan (Munafiq) yang membina masjid dengan tujuan memudaratkan (orang-orang yang beriman) dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. " [al-Taubah 9: 107]

Kaum perosak itu bukan calon kawan.
Mereka bukan rakan perdamaian.
Justeru yang diperintahkan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam bukanlah diruntuhkan sebuah gereja, atau kuil, atau sinagog, tetapi sebuah MASJID!

Masjid yang dibina oleh kaum yang berlidah Muslim tetapi hatinya amat bermusuh dengan Islam. Itulah masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Projek kaum MUNAFIQ, iaitu sebenar-benar musuh kamu.

Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam memerintahkan beberapa orang sahabat iaitu Malik bin al-Dakhshim, Ma'an ibn 'Adi atau saudaranya 'Asim bin 'Adi dengan arahan berikut:

"Pergilah kamu kepada masjid ini yang ahli-ahlinya zalim dan hancurkan ia serta bakar olehmu masjid itu" [Tafseer Ibn Katheer: 2/508]

Tentu sahaja jika mahu diperkatakan soal persamaan, Masjid Dhirar lebih banyak persamaan dengan Masjid Quba' atau Masjid Nabawi, berbanding dengan rumah ibadat berhala Jahiliah.
Tetapi isunya bukan itu.

Biar pun MASJID vs. MASJID, tetapi sebuah masjid dibina di atas TAQWA manakala sebuah masjid lagi dibina, dengan tujuan mahu membinasakan kaum Mukmin dari dalam. Sebab itu persamaan masjid vs masjid tidak lagi punya sebarang makna. Masjid itu adalah kubu musuh. Biar pun namanya masjid!

BIAR SAHAJA ALLAH URUSKAN

Biar pun kemunafiqan kaum MUNAFIQ itu jelas, malah kepalanya juga diketahui semua, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam masih tidak mengizinkan si kepala MUNAFIQ bernama ABDULLAH BIN UBAI BIN SALUL itu dibinasakan secara personal. Ia bukan permusuhan peribadi. Biar pun Baginda sentiasa disakiti oleh kaum Munafiq hingga isterinya Aisyah radhiyallaahu 'anha sendiri pernah difitnah berat oleh kecelakaan mulut kaum ini, Baginda tetap tidak mengizinkan Abdullah iaitu anak kepada Abdullah bin Ubai bin Salul itu membunuh bapanya.

Hikmahnya besar.

Walau pun kemunafiqan itu adalah sesuatu yang amat berbahaya dan besar, ia tetap berlaku dalam debu dan kelabu yang mengelirukan. Tidak semua orang tahu sebenar-benar tahu akan kes-kes yang membabitkan kaum MUNAFIQ ini, khususnya mereka yang duduk jauh dari Madinah. Maka terhadap kaum yang menyembunyikan permusuhan mereka di sebalik Shahadah dan kesaksian iman itu, Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam MENINGGALKAN kaum itu, MEMENCILKAN mereka dan tidak sama sekali menghukum hapus atau bunuh ke atas Abdullah bin Ubai bin Salul itu, agar jangan nanti ada yang tersalah faham lalu berkata, "Muhammad telah membunuh sahabatnya".

Justeru dalam usaha merapatkan saf KAUM MUKMININ, janganlah terlalu naif diajak sekalian yang melabel diri sebagai MUSLIM untuk bersatu lagi berpadu tanpa asas, kerana di celah-celah MUSLIM itu ada NIFAQ dan MUNAFIQ yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Mereka sebenar-benar musuh. Allah sendiri sudah memberitahu, hati-hati dengan mereka.

Siapakah MUNAFIQ yang dimaksudkan itu?

Ia rahsia Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam dengan Huzaifah radhiyallaahu 'anhu. Tidak perlu disebut atau diberi-beri tahu.

Cukuplah sekadar segala perincian Allah tentang mereka, menjadi pedoman buatmu, wahai pejuang Islam. Jangan disengat dua kali pada lubang yang sama!

Friday, June 19, 2009

Pembunuhan Di Narathiwat

Narathiwat Thailand - Kami mohon semua muslimin muslimat panjangkan berita ini dan sama-sama panjatkan doa semoga Allah Subhanahu wataala menunjukkan kebenaran adalah nyata benar dan kebatilan nyata juga dengan kebatilannya.
Peristiwa pembunuhan yang sangat keji dalam sejarah manusia berlaku keatas saudara-saudara kita di Selatan Thailand, dengan kematian jemaah muslimin yang sedang sujud ke hadrat Ilahi Tuhan Yang Maha Esa dan sangat perkasa.
Peristiwa yang mencetuskan semangat keislaman dan keimanan umat Islam sedunia ini berlaku di Masjid Al-Furqan Tempat 6, Kg.Air Payae Mukim Cuab, Daerah Cok Ai-rong, Wilayah Naratiwat.pada jam 08.30 malam. Hari Isnin 8 Jun, 2009. Menyebabkan gugur syahid serta merta 11 orang dan dalam keadaan tenat 12 orang.



Krisis Agama dan Sains

RAMAI kaum intelek hari ini menghadapi krisis yang hebat terhadap agama. Apakah agama merupakan salah satu dari kenyataan-kenyataan hidup? Seandainya agama pernah merupakan satu kenyataan hidup di masa yang lampau, adakah ia masih tetap merupakan kenyataan hidup di zaman moden ini, di mana sains telah mengubahkan seluruh bidang hidup dan dimana tiada tempat lagi untuk sesuatu yang lain melainkan sains dan hakikat-hakikat yang diakui sains saja.

Apakah agama merupakan satu keperluan umat manusia? Atau agama hanya
merupakan satu kecenderungan peribadi semata-mata dengan erti siapa suka boleh beragama dan siapa tidak suka boleh jadi atheis saja kerana kedua-dua pendirian itu sama saja?

Kaum intelek itu juga menghadapi krisis yang sama apabila mereka berdepan dengan
agama Islam. Pendukung-pendukung Islam selalu mengatakan kepada orang ramai bahwa agama Islam adalah satu agama yang unik. Islam bukan semata-mata sistem kepercayaan bukan semata-mata sistem untuk meluhurkan jiwa dan mengasuh manusia dengan perangai-perangai yang tinggi, malah di samping itu semua, Islam adalah satu sistem ekonomi yang adil, satu sistem sosial yang seimbang, satu kumpulan undang-undang civil, undang-undang jinayah dan undang-undang antarabangsa. Islam satu pimpinan fikiran dan satu didikan jasmani dan seluruhnya di dasarkan di atas kepercayaan, bimbingan akhlak dan pembersihan jiwa.

Apa yang dikatakan itu telah membingungkan kaum intelek, kerana selama ini mereka
menyangka Islam sudah mati dan tujuan-tujuannya telah tamat. Justru kerana itulah mereka terperanjat apabila pendukung-pendukung Islam mengatakan kepada mereka bahwa Islam bukanlah legasi zaman purba yang kini disimpan di muzium fikiran-fikiran, peraturan dan kepercayaan kepercayaan tua, malah Islam suatu sistem yang masih hidup hingga ke detik sekarang. Islam mempunyai cukup daya untuk hidup di zaman depan, iaitu daya-daya hidup yang tidak dipunyai oleh mana-mana sistem lain yang diketahui oleh umat manusia sejak dulu hingga sekarang termasuk sistem sosialisma dan komunisma.

Sampai di sini mereka semakin terperanjat, mereka tidak tersabar lagi dan terus
memekik, “Adakah sistem yang telah menghalalkan perhambaan, feudalisma dan kapitalisma, adakah sistem yang menganggapkan nilai kaum wanita sama dengan separuh nilai lelaki dan mengurung mereka di dalam rumah, adakah sistem yang menjalankan hukuman rejam, kerat tangan dan sebat, adakah sistem yang membiarkan penganutnya hidup mengemis dan membahagikan mereka kepada berbagai-bagai kelas yang memeras satu sama lain, adakah sistem yang tidak memberi jaminan hidup yang lumayan kepada orang-orang yang berusaha, adakah sistem yang sedemikian boleh hidup di zaman moden ini apatah lagi di masa depan?
Adakah sistem yang sedemikian mempunyai kesanggupan untuk memasuki satu pertarungan yang maha hebat yang berlaku di hari ini di antara berbagai-bagai sistem sosial dan ekonomi yang berlandaskan prinsip-prinsip ilmiah; adakah sistem yang sedemikian mempunyai kesanggupan untuk berdiri tegak di dalam pertarungan itu apatah lagi untuk menentang dan berjuang?

Sebelum pergi lebih jauh, golongan intelek ini harus lebih dulu mengetahui dan manakah sumbernya mereka menerima pendapat pendapat yang keliru dan meragukan itu, agar mereka benar-benar tahu samada pendapat-pendapat yang mereka laung-laungkan itu merupakan hasil pemikiran mereka sendiri atau mereka melaung laungkan pendapat itu sebagai pak-pak turut yang memekik-mekik sesuatu yang tidak dimengerti oleh mereka sendiri.

Sebetulnya pendapat-pendapat yang keliru dan meragukan itu bukanlah hasil dan usaha-usaha pemikiran mereka yang objektif. Sebagai buktinya marilah kita kembali beberapa langkah ke zaman silam untuk mengetahui secebis sejarah moden.

Di zaman-zaman tengah, Peperangan-peperangan Salib (Crusade) yang sengit telah berlaku di antara negeri-negeri Eropah dan negeri-negeri Islam, kemudian peperangan-peperangan itu berhenti sesudah melalui satu jangka waktu yang lama. Tetapi salah sekali jika ada orang yang menyangka bahwa Peperangan Salib itu telah tamat setakat itu saja seperti yang telah ditegaskan secara terusterang oleh Lord Allenby ketika angkatan beliau selesai menakluk Jerusalem di dalam peperangan besar yang pertama, “Sekarang peperangan-peperangan Salib telah tamat!”

Di dalam dua abad yang lampau penjajahan Eropah mengancam dunia Islam. Inggeris memasuki negeri Mesir pada tahun 1882 berikutan dengan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Khidiwi Taufiq yang telah sanggup bekerjasama dengan penjajah untuk menghancurkan revolusi rakyat yang dipimpin oleh Urabi. Selepas itu Inggeris merasa perlu menjalankan satu polisi untuk memperkukuhkan kedudukannya di negeri-negeri Islam dan untuk menjamin keselamatan mereka dan ledakan semangat Islamiah yang mungkin tercetus pada suatu hari yang hampir.

Di sini biar kita memberi peluang kepada Tuan Gladstone Perdana Menteri lnggeris di zaman Queen Victoria menerangkan polisi itu dengan jelas dan terusterang. Beliau mengangkat al-Quran dan berkata kepada para anggota-anggota Parlimen Inggeris, ‘Selama kitab ini berada di tangan orang Islam, maka selama itulah kita tidak akan menikmati keamanan di negeri itu.”

Jadi, yang menjadi sasaran-sasaran polisi Inggeris ialah melemahkan ilmu agama Islam, mengikiskan kesuciannya pada hati penganut memusnahkan imejnya di dalam fikiran dan hati kecil mereka agar mereka keluar dan agama itu dan menjauhi diri dari undang-undang dan peraturannya, supaya dengan langkah demikian penjajah-penjajah Inggeris dapat bertapak kukuh di negeri itu. Demikianlah polisi yang dijalankan Inggeris di Mesir.

Di samping itu Inggeris mengatur pula satu polisi pendidikan yang mengabaikan pengajian dan penjelasan tentang hakikat agama Islam. Apa yang diajar di sekolah-sekolah hanya ibadat ibadat, sembahyang-sembahyang, zikir-zikir dan ucapan-ucapan tasbih. Cara membaca Quran untuk mengambil berkat dan ajaran-ajaran akhlak secara teori saja. Penuntut-penuntut tidak pernah diajar tentang Islam sebagai satu sistem ekonomi dan sosial, sebagai satu sistem pemerintahan atau sebagai satu sistem pendidikan dan pengajaran atau sebagai satu cara hidup dan pemimpin kehidupan.

Apa yang diajar kepada mereka ialah keraguan-keraguan dan kekeliruan-kekeliruan faham terhadap Islam yang diatur oleh para orientalis dan lain-lain pendokong-pendokong perjuangan salib dan Eropah. Mereka berbuat demikian agar umat Muslimin terkeliru dengan agama mereka sendiri dan agar politik penjajahan Inggeris yang keji itu terlaksana.

Dan sebagai pelajaran ganti mereka mengajar anak-anak muda Islam tentang keagungan Eropah. Mereka diajar bahwa sistem-sistem kemasyarakatan yang sebenar ialah sistem-sistem kemasyarakatan yang telah berjaya membangun negara-negara Eropah. Mereka diajar bahwa sistem ekonomi yang tulin ialah sistem ekonomi yang telah disusun oleh otak-otak orang Eropah, mereka diajar bahwa perlembagaan pemerintahan yang paling baik ialah perlembagaan yang telah dihasil dan dikembangkan oleh pengalaman orang-orang Eropah, mereka seterusnya diajar bahwa hak-hak manusia itu adalah hasil deklarasi revolusi Perancis, dan sistem demokrasi adalah diasas dan dimajukap oleh bahasa Inggeris, sedangkan tamadun hari ini adalah dibantu asaskan oleh Empayar Rome.

Pendeknya orang-orang Inggeris menggambarkan negeri Eropah kepada pelajar-pelajar Islam sebagai satu-satunya negeri raksaksa yang tiada siapa yang boleh menandinginya dan menggambarkan negeri Timur sebagai negara Awang Kenit yang kerdil yang tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri, malah pasti selama-lamanya tunduk dan menumpang kemajuan negeri Eropah.

Dan akhirnya politik yang diaturkan oleh Inggeris telah membawa hasil yang baik, di mana jenerasi-jenerasi muda Mesir tidak lagi merasa mempunyai kewujudan dan keperibadian sendiri, mereka seluruhnya telah diperhambakan Eropah dan mereka telah terbenam sedalam-dalamnya di dalam perbudakan Eropah, mereka tidak dapat melihat dengan mata hati mereka sendiri, mereka tidak dapat berfikir dengan akal fikiran mereka sendiri, mereka melihat mengikut apa yang dilihat oleh orang-orang Eropah dan mereka hanya mendokong fikiran-fikiran yang dikehendaki oleh orang orang Eropah.

Kaum intelek hari ini merupakan buah-buah hasil dan politik yang disusun oleh penjajah. Mereka tidak mengetahui sesuatu darihal Islam kecuali fahaman-fahaman dan gambaran-gambaran yang menimbulkan keraguan, malah mereka tidak memahami seluruh ajaran Islam kecuali mengikut apa yang diajar oleh guru-guru Eropah. Dan justru kerana itu mereka turut menganjur persis seperti orang-orang Eropah supaya agama dipisahkannya dari pemerintahan dan dipisahkan dari sains.

Akibat kejahilan dan kelalaian, mereka lupa bahwa agama yang telah ditinggalkan oleh Eropah itu suatu agama yang berlainan dan agama yang diperjuangkan pendukung-pendukung Islam. Suasana-suasana yang melingkupi Eropah dan yang telah memaksakannya bertindak memusuhi dan memencilkan agama adalah suasana-suasana yang khusus bagi orang-orang Eropah di sana saja. Suasana-suasana itu tidak berlaku di negeri-negeri Islam di Timur, malah tidak mungkin berlaku di sini.

Justru kerana itu apabila kaum intelek kita menyeru agar kita mengetepikan saja agama atau memisahkan agarna dan pentadbiran sosial, politik dan ekonomi negara, maka sebetulnya mereka telah mengimpotkan fikiran-fikiran yang telah disediakan oleh orang orang Eropah dan mengulangi seperti burung kakak tua apa yang diucapkan oleh orang-orang Eropah di negeri-negeri mereka.

Di Eropah pergolakan telah terjadi di antara sains dan agama, kerana gereja-gereja disana telah pun menganut pendapat-pendapat ilmiah dan teori-teori dogmatis yang tertentu dan menganggapkannya sebagai fakta-fakta ilmiah yang qudus yang diturun dari langit. Oleh kerana itu apabila sains teori dan amali mendedahkan kesilapan fikiran-fikiran ilmiah dan teori-teori dogmatis yang didokong mereka, maka tentulah orang ramai di sana mempercayai pendapat-pendapat sains dan menolak’ pendapat-pendapat gereja dan seterusnya tidak mempercayai agama yang diajarkan oleh para padri itu.

Pergolakan ini semakin bertambah sengit, begitu juga keinginan untuk membebaskan diri semakin meluap apabila gereja gereja di Eropah mendakwa dirinya mempunyai kuasa ketuhanan dan bertindak mempergunakan kekuasaan itu dengan sewenang wenang.

Akibahnya kekuasaan-kekuasaan gereja menjadi hantu jembalang yang menakutkan orang ramai siang dan malam. Mereka telah dibebankan dengan berbagai-bagai pemerasan. Mereka dipaksa mematuhi perintah-perintah padri dan mempercayai kekarutatan-kekarutan dan kharafat-kharafat dengan nama Allah.

Ahli-ahli sains disiksa dan dibakar kerana kesalahan, misalnya, mengeluarkan pendapat bahawa bumi ini bulat. Akibat-akibatnya telah menimbulkan reaksi yang buruk, di mana setiap orang yang berfikiran bebas merasa berkewajipan untuk menghancurkan kekuasaan gereja yang jelik itu atau setidak-tidaknya untuk membelenggukan kekuasaan itu agar ia tidak lagi menindas dan mengongkong orang ramai. Dan justru kerana itu usaha-usaha untuk memburuk-burukkan ajaran agama yang digaris oleh gereja dan usaha-usaha mencari titik kelemahan agama Kristian telah menjadi satu kewajipan suci yang didokong oleh segenap cerdik pandai yang bebas.

Tetapi mengapa kita yang tinggal di negeri-negeri Islam turut sibuk seperti orang-orang Eropah? Mengapa kita harus memisahkan sains dan agama? Dan apakah perlunya bagi kita mencetuskan satu pergolakan dan pertentangan sengit di antara sains dan agama? Manakah satu hakikat ilmiah yang bersih dan motif nafsu telah di dapati bertentangan dengan agama dan dengan prinsip prinsip kepercayaan agama? Dan bilakah ahli-ahli sains pernah disiksa dan diburu dalam pemerintahan Islam? Sejarah sendiri telah menyaksikan betapa ramainya tokoh-tokoh ilmu perubatan, ilmu astronomi, ilmu ukur, ilmu fizika dan ilmu kimia yang muncul dibawah naungan pemerintahan Islam. Mereka seluruhnya tidak pernah mengalami komplek pententangan di antara sains dan kepercayaan, begitu juga di antara mereka dan pemerintah-pemerintah tidak pernah berlaku sengketa-sengketa sehingga membawa kepada tindakan-tindakan pembakaran dan penyiksaan.

Apakah sebab yang telah mendorong golongan intelek Islam itu bertindak memisahkan agama dan sains, bertindak mencaci, dan menyalah-nyalahkan agama tanpa pengertian dan pengajian, malah serupa dengan lolongan-lolongan orang yang mengidap demam panas? Sebab tidak lain dan tidak bukan melainkan kerana mereka telah termakan racun penjajah tanpa disedari oleh mereka.

Sebenarnya saya tidak masukkan kaum intelek jenis ini ke dalam perhitungan saya ketika menulis buku ini, kerana saya sedar mereka tidak akan pulang kepada kebenaran sehingga guru-guru yang menjadi ikutan mereka di Barat kembali kepada kebenaran setelah mereka kecewa dengan tamaddun mereka yang tidak mempercayai Tuhan dan setelah mereka sedar bahwa tamaddun yang tidak percayakan Tuhan itu bukanlah jalan keselamatan dan kesejahteraan. Ketika itu barulah mereka kepingin kembali kepada satu sistem hidup yang mendokong kebendaan dan serentak dengan itu menjunjung prinsip-prinsip rohaniab, iaitu satu sistem yang melingkupi kepercayaan dan kehidupan sama serentak.

Golongan yang ada di dalam perhitungan saya ketika menulis buku ini ialah golongan anak-anak muda yang jujur, enlightened dan suka berfikir, golongan anak-anak muda yang benar-benar mempunyai hasrat untuk mencari dan menemui kebenaran, tetapi mereka telah dihalangi oleh kekeliruan-kekeliruan faham mengenai Islam yang ditaburi oleh penjajah, iaitu kekeliruan-kekeliruan yang tidak dapat ditolak oleh mereka kerana kuasa penjajah telah membuta mata mereka dan membiar mereka meraba-raba dalam kegeliraan dan kerana hamba penjajah dan syaitan-syaitan komunisma begitu hebat bekerja menyesatkan mereka supayamereka tidak dapat menemui jalan kebenaran, jalan kebebasan, kehormatan dan kebanggaan.

Ulasan dari buku ‘Salah Faham Terhadap Islam’ oleh Muhammad Qutb

Wednesday, June 17, 2009

Antara dua Tok Guru: Penjelasan dan penjernihan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan


HARAKAHDAILY.COM

SEJAK Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan konsep kerajaan perpaduan, ia telah menimbulkan satu polemik seolah-olah terdapat perbezaan pemikiran yang serius antara Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN.

Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.

Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.

Umno meyindir begitu hebat sekali seolah-olah kerajaan negeri Trengganu pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi adalah begitu miskin sekali sampai peringkat meminta sedekah kepada Kerajaan Pusat.

Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar.

Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.

Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.

Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.

Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am.

Tuan Guru Presiden adalah ikhlas dalam mengetengahkan idea kerajaan perpaduan. Sekiranya Umno ikhlas dalam hal ini, tindakan segera yang Umno perlu lakukan ialah jangan bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai 2009 nanti.

Sekiranya Umno terus bertanding, maka Umno yang sebenarnya berpura-pura mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya kedua-dua Tok Guru yang mereka ingin lagakan.

Takrifan dan latarbelakang sejarah

Kerajaan Perpaduan dapat didefinisikan sebagai "satu kerajaan campuran yang besar terdiri dari semua parti politik (atau semua parti politik yang penting) yang berada dalam satu Dewan Perundangan (legislature) dan biasanya dibentuk dalam masa perang atau lain-lain keadaan dharurat yang dihadapi oleh sesebuah negara."

Dari takrifan ini ia memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah merupakan satu struktur politik yang kekal. Ia bersifat sementara, iaitu ia diwujudkan dalam keadaan-keadaan yang kritikal (seperti semasa perang dan krisis ekonomi yang meruncing) bagi menjamin kelangsungan negara itu sendiri.

Ini bermakna perbezaan pandangan antara parti yang memerintah dan pembangkang perlu dikesampingkan. Atas dasar inilah kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang.

Ia boleh menjadi satu struktur politik dan pentadbiran yang kekal sekiranya Islam dijadikan bahan rujukan dalam segala aspek pentadbiran negara, atas kesedaran bahawa Islam adalah satu sistem yang syumul dan paling sempurna yang diturunkan oleh Allah untuk manusia.

Dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922.

Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945.

Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Sebagai contoh, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara.

Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.

Kerajaan yang ditubuh ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional atau Government of National Unity (GNU). Di bawah pimpinan Presiden Nelson Mandela, GNU berkembang dan berfungsi dengan baik.

Pada pilihan raya 27 April 1994, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress) pimpinan Mandela telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Perhimpunan Nasional dan boleh menubuh kerajaan tanpa bantuan parti-parti lain.

Walau bagaimanapun, dua parti lain, Parti Nasional dan Parti Kebebasan Inkatha telah menerima pakai peruntukan GNU dan memperolehi beberapa portfolio kabinet.

Presiden Mandela turut mengundang parti-parti lain menyertai kabinet sungguhpun parti-parti ini tidak memperolehi 20 kerusi minima sebagaimana yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai GNU. GNU bertahan sehingga 1999.

Contoh kedua ialah Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima.

Berbeza dengan Afrika Selatan di bawah Mandela, kerajaan perpaduan Israel tidak menjemput parti-parti politik lain yang lebih kecil menyertai kerajaan yang dibentuk. Kerajaan perpaduan yang dibentuk di Israel mempunyai motif politik yang tersendiri iaitu hanya memikirkan survival bangsa Yahudi sahaja.

Halangan ke arah pencapaian

Bukanlah sesuatu yang senang untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan terutamanya dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana nilai-nilai politiknya adalah sarat dengan nilai-nilai perkauman.

Memahami betapa terdapatnya halangan-halangan yang serius bagi penubuhan sebuah kerajaan perpaduan di Malaysia, maka Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan hanya merupakan satu lontaran idea. Tidak lebih dari ini.

Sekiranya ada pihak-pihak yang berminat, maka penerokaan yang lebih mendalam terhadap idea ini bolehlah diteruskan. Antara perkara yang perlu dibincang ialah bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia ada bagi membolehkan idea kerajaan perpaduan dipraktikkan.

Di Malaysia, antara halangan yang wujud ialah pertama, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang dilihat oleh sesetengah pihak (termasuk parti politik) sebagai menghalang perpaduan. Peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan ialah: Islam sebagai agama Persekutuan; hak istimewa orang Melayu; Perkhidmatan Awam (termasuk polis dan tentera); DEB, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain. Apakah perkara-perkara ini perlu dipinda? Atau di mansuh?

Halangan kedua ialah sistem pilihan raya yang berteraskan first-past-the-post. Dapatlah dihujahkan di sini bahawa sistem pilihan raya yang berteraskan prinsip 'perwakilan berkadar' (proportional representation) adalah lebih selari dengan konsep kerajaan perpaduan.

Halangan ketiga ialah sistem Federalisme ikutan Malaysia di mana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Kerajaan Pusat. Apakah ini sesuai dengan perjalanan 'kerajaan perpaduan'?

Halangan ke empat ialah peranan Ketua Whip di Parlimen; ia perlu dipinda. Begitu juga dengan peranan BBC. Ini adalah kerana kewujudan institusi ini menyebabkan ahli-ahli parlimen terpaksa akur kepada keputusan partinya sungguhpun ada ahli-ahli parlimen dari parti ini tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar yang dibuat oleh parti mereka sendiri.

Kerajaan Perpaduan: Peranan PAS

Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut: Pertama, bergerak cergas bagi merealisasi prinsip loyal opposition.

Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.

Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.

Ke empat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.

Sekiranya PAS masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan, maka GNU pimpinan Nelson Mandela adalah model terbaik yang boleh dijadikan sebagai model dan perlu dikaji secara mendalam kesesuaiannya dalam konteks Malaysia.

Model ini sudah semestinya diterapkan dengan nilai-nilai Islam. Jangan juga lupa bahawa Sahifah Madinah yang dihasilkan oleh Rasulullah (saw) sendiri merupakan model terbaik kerajaan perpaduan. - mks.

(Penulis adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP).

Tuesday, June 16, 2009

Pendidikan Bercelaru

Salam sayang dan salam perjuangan untuk semua sahabat, Alhamdulillah sekarang ini waktu cuti semester, banyak aktiviti dapat dijalankan sepanjang cuti yang singkat ini. Paling penting dapat berehat sebentar dari pelbagai tugasan-tugasan di IB. Selaku bakal pendidik, saya berasa terkilan dengan sistem pendidikan di Malaysia yang dilhat tidak mempunyai arah tuju yang jelas untuk memartabatkan nilai ilmu itu sendiri. Bukan untuk terlalu cepat menyatakan kesimpulan atau menghukum sistem sekarang. Akan tetapi sekian umat dapat melihat suasana 'haru' ini. Dua isu penting yang 'dimainkan' sekarang.

Dasar Kalut wa Kelam Kabut

Pertama sekali akan disentuh adalah tentang PPSMI yang masih menjadi tanda tanya semua pihak. Dasar meruntuhkan Bahasa Melayu. Dasar kelam kabut tanpa ada perbincangan dengan para sasterawan dan cendiakawan. Kata Pak Samad (Sasterawan Negara A.Samad Said) "dasar untuk bangsawan, dari niagawan bermulanya ia dari kuasawan. Kuasawan untuk nilai kebendaan" Apabila dibantah dan ditentang oleh para cendikawan, sasterawan, ahli akademik dan mahasiswa tidak pula diambil berat. Ada cakap "kita akan menjalankan perbincangan". Perbincangan apa? Sampai bila? Sampai semua bangsawan kaya raya? Bagaimana nasib murid-murid yang menjadi mangsa sistem "kelam kabut" ini? Bantahan bukan dari bangsa Melayu sahaja tetapi pelbagai pihak dan pertubuhan NGO dari kaum Cina dan India turut tidak bersetuju.

Pak Samad cakap 6.4 bilion ringgit dihabiskan untuk PPSMI. Sangat banyak dan membazir, mungkin banyak kebocoran di marata-rata tempat. Kenapa nilai wang sebanyak itu tidak digunakan untuk memartabatkan pendidikan melalui Bahasa Melayu. Bahasa yang menjadi Lingua Franca di zaman keagungan tamadun silam Melayu Melaka. Rujukan ilmu dari negara maju atau membangun boleh diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Mungkin kos tidak menelan belanja sekian bilion. Sumber rujukan buku-buku ilmiah dalam bahasa kebangsaan dapat ditingkatkan lagi. Mungkin ada yang malu bertutur Bahasa Melayu, dianggap kolot, ketinggalan zaman. Sejarah bahasa kita akan soroti bersama kelak. InsyaAllah jika berkesempatan saya akan selitkan artikel tentang tamadun Eropah dan Tamadun Islam. Dalam pembikinan. Bahasa melambangkan BANGSA. "Mana p pejuang bangsa ni, kalut sangat berjuang, bahasa pun ditolak tepi.? lebih hebat pejuang bangsa sekarang dari zaman Tunku dulu."


Isu baharu
Promosikan pula dasar baharu iaitu menghadkan subjek pelajaran kepada 10 sahaja. Seperti menghadkan potensi pelajar? Saya fikir mungkin setelah pelajar cemerlang SPM dari Ma'had Muhammadi (P) yang letaknya di negeri Kelantan mendapat 20 A dalam SPM. Pelajar tersebut popular dengan mendadak, secara tidak lansung sekian ramai akan menilai sistem pendidikan di sekolah agama atau pondok sangat memberi kesan, melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan akhlaknya. Berkat ilmu dan guru.

Tiba-tiba wujudnya dasar baharu ini. Mungkin juga ada hubung kait atas dasar politik atau sebaliknya? Masih dalam perbincangan, semoga dapat penyelesaian terbaik kelak. Sekalung tahniah untuk pelajar cemerlang SPM 2008 kerana berjaya mengharumkan nama sekolah agama, sekolah agama "dulu-dulu" kena pinggir. Dipinggir bukan terpinggir. Orang tak nampak "dulu-dulu".
"lepas ni ramai-ramai hantar anak mengaji sekolah agama, insyaAllah berjaya dunia dan akhirat. ilmu pun berkat."

Monday, June 15, 2009

Sepatutnya Mata Pelajaran Agama Wajib Lulus SPM


http://addin77.blogspot.com
Semasa perjalanan ke tempat kerja tadi, saya mendengar radio IKIM. Dalam bual bicara itu mereka membincangkan berkenaan saranan kerajaan untuk mewajibkan lulus bahasa Inggeris dalam SPM.Pelbagai pandangan dan pendapat di lontarkan oleh pendengar, namun ramai yang membantah.

Saya secara peribadi juga membantah cadangan kerajaan tersebut.Sepatutnya kerajaan mewajibkan mata pelajaran agama berbanding bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM. Di tengah keadaan masyarakat yang kronik dengan pelbagai masalah sosial dan keruntuhan moral, mata pelajaran agama lebih penting kerana ia dapat mengisi jiwa yang kosong dengan ilmu-ilmu kerohanian. Sekiranya kerajaan mewajibkan pelajar SPM lulus bahasa Inggeris bermakna mereka wajib belajar bahasa Inggeris.

Dalam soal ini sepatutnya mata pelajaran Agama diwajibkan untuk belajar dan lulus dalam SPM.Sebenarnya tiada gunanya jika ramai pelajar yang mahir berbahasa Inggeris atau memperolehi kecemerlangan tetapi akhlak dan moral mereka amat rendah serta tandus ilmu-ilmu agama. Bahasa Inggeris bukanlah tiket untuk mencapai kemajuan, negara-negara lain seperti Jepun, Korea dan Jerman boleh maju dalam semua bidang tanpa mewajibkan pelajar-pelajar mereka lulus dalam bahasa Inggeris dan pencapaian mereka jauh lebih baik.Sewajarnya pihak Kementerian Pelajaran menyelesaikan terlebih dahulu isu PPSMI yang ditentang oleh banyak pihak dan rakyat di negara ini sebelum mencadangkan pelbagai lagi dasar-dasar yang membebankan rakyat.

Sepatutnya kerajaan lebih prihatin dengan tuntutan rakyat, mewajibkan kelulusan bahasa Inggeris dalam SPM akan memberikan tekanan kepada pelajar-pelajar terutama pelajar di luar bandar. Dan sudah pastinya keciciran akan berlaku pada anak-anak melayu di luar bandar yang menjadi mangsa kepada dasar-dasar kerajaan yang sedia ada seperti PPSMI.Namun begitu, ini bukan bermakna penentangan secara total atas usaha-usaha ini. Bahasa Inggeris perlu diperkasakan dengan tidak meminggirkan bahasa ibunda. Di samping itu, pihak kerajaan sebenarnya perlu melihat tenaga-tenaga pengajar untuk memastikan mereka betul-betul mahir dalam Bahasa Inggeris.

Lima minit angkat sumpah, Speaker arah Nizar keluar dewan


KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diarah keluar Dewan Rakyat tidak sampai lima minit selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Arahan itu dikeluarkan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran tindakan Nizar melaungkan slogan "bubar Dewan Undangan Negeri" sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Sebelum itu, Nizar mengenakan lilitan di kepalanya sejurus mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Bukit Gantang.

Tindakannya mencetuskan kekecohan apabila Speaker mengeluarkan arahan itu dan turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Nizar yang kembali semula ke tempat duduknya di Blok F setelah menanggalkan lilitan kain di kepalanya terus didesak meninggalkan Dewan oleh Speaker.
Bagaimanapun Nizar terus diminta keluar Dewan Rakyat ketika beberapa wakil rakyat pembangkang turut mengenakan lilitan tersebut.

Turut diarah keluar ialah beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat yang memakai lilitan itu antaranya Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham; Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Pengawal Keselamatan turut mengarahkan tetamu yang hadir supaya menanggalkan lilitan yang tertulis, 'BUBAR DUN'.
Difahamkan peraturan Dewan Rakyat menetapkan mana-mana anggota yang diarah keluar Dewan oleh Speaker tanpa diberitahu tempohnya secara spesifik, tidak boleh memasuki Dewan dalam masa dua hari.