Wednesday, January 6, 2010

YB Nizar Jamaluddin: Semoga Cepat Sembuh


Jam 10 pagi :

Berita muktahir akan menyusul. Difahamkan beliau ( DS Nizar) kini sedang berada di Hospital Besar(Unit Pesakit Luar) Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sekarang. (diterima dari sms 019-57132XX).

Jam 10.34 pagi :
Dimaklumkan kenderaan beliau terbalik di depan Hotel Casuarina, Ipoh. DS Nizar mengalami kecederaan di bahu dan kaki. Kerosakan kenderaan tidak dapat dipasti lagi. (sumber SMS : anak-sengat)

Jam 11.15 pagi :
Alhamdulillah, beliau hanya mengalami kecederaan ringan sahaja di bahagian kaki dan bahu. Beliau memandu sendiri kereta tersebut, dalam perjalanan ke klinik gigi pagi tadi. Kereta beliau terbalik dan rosak teruk, difahamkan situasi itu berlaku ketika beliau cuba mengelak sebuah kenderaan lain jenis Volvo di jalan tersebut. TAKBIR ! ALLAHUAKBAR !! (sumber SMS : anak-sengat)

11.30 pagi
Muktahir dari blogger Ajijoi :
DS Nizar hanya mengalami kecederaan ringan dan luka kecil di bahagian siku kanannya dengan hanya satu jahitan. Saya masih berada bersamanya di wad pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh. Beliau kelihatan ceria menyambut ketibaan kami. Berita yang mengatakan bahawa beliau dimasukkan ke wad ICU adalah tidak benar sama sekali. Gambar-gambar DS Nizar akan diuploadkan kemudian.

Albanjari.blogspot.com

Fitnah Untuk Tuan Guru Nik Aziz

Seorang lelaki, yang menggelarkan dirinya "aktivis kebudayaan", membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah melibatkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan exco kerajaan negeri itu serta beberapa individu.

Zaidi Yaacob, 47, yang berkata beliau seorang rakyat Kelantan, memberitahu pemberita bahawa laporan itu dibuat berdasarkan salinan sepucuk surat yang diterimanya melalui pos dua hari lepas.

Beliau telah menyerahkan surat berkenaan kepada seorang pegawai SPRM tengah hari tadi.

- Bernama

"Jerung Besar" Sentiasa Terselamat, "Ikan Bilis" Jadi Mangsa...

kemaskini 2.38pm Seorang sarjan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

N Tharmendran, 42, (foto) daripada Pangkalan Udara TUDM Subang yang berpakaian kemeja berwarna putih hanya mengangguk memahami dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.

Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan kes itu.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya adakah Mohamad Shukri akan didakwa, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan.

Mengenai kemungkinan lebih ramai dituduh berkaitan dengan skandal itu, Raja Rozela berkata beliau hanya menerima arahan untuk mendakwa kedua-dua tertuduh sahaja.

Terdahulu, Raja Rozela memohon mahkamah memandang serius kerana barang yang dicuri bukan enjin motosikal tetapi ia adalah enjin pesawat pejuang.

Peguam bela V. Ravichandran yang mewakili Tharmendran dan peguam bela Pritam Singh Deol yang mewakili Rajandran memohon kepada mahkamah agar anak guam mereka itu diberi jaminan yang rendah berikutan kesemua akaun telah dibekukan dan tidak
mempunyai wang yang banyak.

Bagaimanapun, Raja Rozela membantah kerana ia bukanlah faktor utama dalam memohon jaminan.

Rajandran dijamin oleh abangnya sementara Tharmendran gagal membayar jaminan.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata semua usaha sedang dilakukan oleh kerajaan untuk mendapatkan semula dua enjin yang hilang itu dengan secepat mungkin yang kali terakhir dikesan di Uruguay.

- Bernama

Tuesday, January 5, 2010

Mesir Tali Barut Yahudi Laknattullah!

PELABUHAN EL-ARISH (Mesir) 6 Jan. - Lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah dan tujuh ditahan polis Mesir dalam kejadian tunjuk perasaan di sini pada pukul 11.40 malam Selasa waktu tempatan.

Yang ditahan termasuk seorang warga Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, pelajar Perubatan Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi itu sebagai sukarelawan konvoi dari London 6 Disember lepas.

Tujuk perasaan oleh anggota Viva Palestina sebagai membantah keputusan Kerajaan Mesir melarang 59 buah kenderaan konvoi dibawa keluar dari pelabuhan Al-Arish untuk dibawa ke Gaza.

Polis Mesir bertindak ganas terhadap mereka selepas tiga jam anggota konvoi itu menunjuk perasaan di hadapan pintu masuk dan keluar keselamatan di pelabuhan El Arish.

Empat anggota konvoi yang parah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. - BERNAMA

Ni Jadinya Kalau Bukan Islam Bicara Soal Islam...

wargamarhaen.blogspot.com

PUTRAJAYA, Jan 5 — Tan Sri Bernard Dompok, anggota Kabinet persekutuan kanan dari kalangan masyarakat Kristian berkata, rakyat Sabah menggunakan perkataan Tuhan “Allah” kerana generasi muda lebih selesa dengan penggunaan istilah dalam Bahasa Malaysia, malah ia juga telah lama digunakan.

Mengulas polemik semasa ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Khamis lalu, Dompok menjelaskan istilah itu telah lama digunakan sebelum Sabah menyertai Tanah Melayu bersama Sarawak dan Singapura pada 1963.

“Komuniti Sabah sentiasa menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa serantau dan agama Kristian telah dianuti di Sabah sejak 1881 di mana ia telah berkembang kemudiannya,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan esok untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan akhbar minggu Katolik, Herald menggunakaan perkataan Allah.

Hakim Datuk Lau Bee Lan akan mendengar permohonan itu kira-kira 2.30 petang.

Semalam kementerian itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada 31 Dis lepas, Hakim Lau memutuskan berdasarkan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan “Allah” sebagai terjemahan bagi ‘God’ dalam bahagian bahasa Malaysia.

Ia digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Keputusan Khamis lalu telah mencetuskan pandangan campur aduk termasuk sokongan bersyarat daripada PAS semalam selain perasaan marah dan protes di kalangan ahli Umno.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak bertenang sementara menanti keputusan rayuan kelak.

Dompok yang juga Presiden Upko berkata keputusan Khamis lalu menyebabkan pelbagai komen dengan separuh daripadanya “tidak bersifat boleh membantu usaha-usaha untuk memperkukuhkan perpaduan dan hubugan kaum di negara ini.”

“Saya percaya bahawa Hakim Datuk Lau Bee Lan telah meneliti aspek sejarah dan hak berperlembagaan sebelum membuat keputusan,” kata Ahli Parlimen Penampang ini.

Kata beliau, komuniti Kristian di Sabah seperti juga Murut dan Kadazandusun mengadakan upacara keagamaan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda mereka.

“Dalam upacara yang dikendalikan dalam Bahasa Inggeris, perkataan Tuhan (God) digunakan, jika dalam Bahasa Malaysia istilah Allah digunakan, dan sekiranya dalam bahasa ibunda seperti Kadazandusun, ‘Kinoingan’ digunakan,” kata Dompok.

Kata beliau, kebanyakan gereja di bandar menggunakan Bahasa Inggeris manakala Bahasa Malaysia digunakan di gereja-gereja di kawasan pedalaman di Sabah.

“Langkah menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan dalam sistem pendidikan telah mengembangkan pengaruh bahasa di kalangan masyarakat Sabah,” katanya.

“Generasi yang lahir selepas dasar ini dilaksanakan lebih selesa menggunakan Bahasa Malaysia. Mereka lebih selesa untuk menghadiri upacara beribadah dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau setiap agama harus mempunyai kebebasan untuk mengamalkan agama mereka secara aman dan menggunakan istilah yang selesa bagi mereka dalam upacara masing-masing.

Pada 24 Jan 2009, Dompok telah merayu Kementerian Dalam Negeri membenarkan Herald menggunakan tulisan “Allah” dalam edisi terbitan Bahasa Malaysia sehingga mahkamah membuat keputusan.

Ketika itu Dompok juga berkata, perkara itu telah dibawa ke mahkamah dan semua pihak harus membiarkan sistem keadilan negara menentukan sama ada Herald harus berhenti menggunakan perkataan “Allah” atau sebaliknya.

Monday, January 4, 2010

Isu Nama Allah :Apa Kata Mahathir?

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kontroversi penggunaan kalimah 'Allah' adalah sesuatu yang sensitif yang tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang.

“Penyelesaian kontroversi berkenaan kalimah "Allah" juga tidak boleh dicapai dengan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan,” tulis Dr Mahathir dalam blognya hari ini.

“Undang-undang tidak mengambilkira soal sensitif atau tidaknya sesuatu, soal mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara penganut agama yang berlainan. Undang-undang mengutamakan maksud undang-undang sahaja,” tegasnya.

Menurut Dr Mahathir, kontroversi tersebut bermula pada waktu beliau masih menjadi perdana menteri.

“Pendapat Kabinet pada masa itu ialah kegunaannya dalam kitab Injil adalah perkara yang sensitif. Perkara yang sensitif seperti ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya merujuk kepada undang-undang.

“Sebagai perbandingan agak mudah dirujukkan perkataan "kaum pendatang" kepada mahkamah, Tetapi ia adalah sesuatu yang sensitif yang tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang,” tambahnya.

Menurut Dr Mahathir, sebenarnya kalimah "Allah" tidak terdapat dalam kitab Taurat atau Talmud Hebrew atau kitab Injil Kristian dalam bahasa Latin, Greek atau bahasa-bahasa Eropah.

Tambahnya, nama bagi Tuhan dalam bahasa yahudi ialah "Yahweh", yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai "Jehovah".

“Dalam kitab Injil, Jesus (Isa) dan God adalah sama. Tidak ada kalimah Allah dalam kitab Injil dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas.

“Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada "Allah" supaya mudah difaham oleh pendengar.

“Mungkin juga kalimah "Allah" dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan "Tuhan" digunakan untuk God.

“Tetapi dalam agama Kristian terdapat konsep "Trinity" yang mana terdapat "God the Father, God the Son and the Holy Ghost". Jika dalam bahasa Melayu terdapat dalam kitab Injil atau syarahan berkenaan "Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci".

“Maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam. Dalam Islam Allah tidak ada bapak, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa,” katanya.

Di Amerika Syarikat, kata Dr Mahathir, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman, biasa berkata dan menulis, "God is dead".

“Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti dengan "Allah is dead"?

“Di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?

“Saya harap pihak kerajaan berhati-hati dalam perkara ini supaya negara berbilang agama yang aman ini tidak menjadi tegang dan tidak stabil secara berterusan,” tambahnya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.

The Herald yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah penggunaan kalimah "Allah" dalam seksyen Bahasa Malaysia, sebagai terjemahan kepada perkataan God.Perkataan "Allah" digunakan secara meluas di kalangan suku kaum beragama Kristian di Sabah dan Sarawak, yang sebahagian besarnya bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Sebelum ini, KDN melarang penggunaan perkataan 'Allah' oleh bukan Islam bagi mengelak wujud salahfaham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.msiakini


Umat Islam Semakin Sedar....


KUALA LUMPUR, 5 Jan: PAS memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan perkataan Allah bertujuan untuk mengelirukan atau menjadikan isu tersebut sebagai politik murahan mendapat sokongan rakyat.

Pendirian PAS itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan yang dibaca Ketua Penerangan, Idris Ahmad selepas mesyuarat khas Lajnah Politik bersama Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Bagaimanapun PAS ujar Abdul Hadi, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakanpilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama juga katanya, telah termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Walau demikian, dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama,"kata kenyataan itu.

PAS turut menjelaskan bahawa berdasarkan kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkanuntuk digunakan oleh agama Samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Namun, penggunaannya secara salah dan tidak bertanggungjawab harus dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, PAS dengan tegas menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat di negara ini.

"PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan di jamin oleh Islam," katanya lagi..

Turut hadir dalam mesyuarat sebelum itu Presiden PAS,Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh.

Pendirian tersebut juga dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk melihat kepada pandangan semua pihak sebelum ini.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

(Gambar: Antara pemimpin PAS yang menyertai sidang media isu penggunaan kalimah Allah di pejabat Agung PAS malam tadi)

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut.

Keputusan ini menimbulkan reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis sebagai membantah tindakan majalah milik aktivis Kristian itu.

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hari ini, KDN akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Disember.

KENYATAAN PENUH

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi dan dibacakan oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad :

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.-4/1/2010