Sunday, May 24, 2009

Kepincangan Mentaliti Azhari


Oleh: Hairul Nizam Mat Husain

Usul Fiqh Universiti Al-Azhar Al-Syarif

Ilmu adalah aset yang akan terus kekal selama-lamanya. Dengan ilmu, nyawa seseorang itu akan terus hidup walaupun dirinya terkujur kaku di bawah bumi. Islam adalah agama yang sangat menerapkan kepentingan menguasai ilmu di dalam sukma setiap muslim hinggakan seawal-awal bicara tuhan yang dihadiahkan kepada Rasulullah adalah mutiara firman yang membicarakan perihal salah satu cabang ilmu.

Semenjak terbitnya fajar Islam di bumi Bakkah, kebangkitan masyarakat yang mendambakan ilmu pengetahuan terus wujud dan subur di dalam komuniti muslim hinggakan generasi hari ini dapat melihat khazanah ilmu Islam yang terlalu menakjubkan sebagai hasil tinggalan generasi terdahulu. Mereka telah berjaya menginterpretasikan keunggulan Islam dengan budaya ilmu yang terlalu agung melalui keazaman mereka yang terlalu menghairankan.

Itu adalah sejarah orang dahulu. Bagaimana pula dengan kita, generasi terkemudian di gerbang Al-Azhar? Adakah budaya orang terdahulu dari sudut keseriusan menguasai ilmu adalah budaya kita selaku orang terkemudian?

Saya akan cuba untuk mengajak minda pembaca kepada perbincangan yang berkaitan dengan mentaliti Azhari.

Merujuk kepada kamus Dewan, kepincangan membawa erti kecacatan dan tidak sempurna manakala mentaliti pula bermaksud keadaan atau kualiti kebolehan akal.

Persoalannya sekarang, benarkah mentaliti pelajar Al-Azhar pincang?

Tidak adil seandainya kita mendakwa wujudnya kepincangan mentaliti Azhari secara pukul rata tanpa ada sebarang kajian yang terperinci. Namun tidak menjadi kesalahan untuk kita nyatakan secara hipotesis bahawa sebahagian besar di kalangan muda-mudi Azhari bermasalah dari segi mentaliti seorang ilmuan Islam.

Sudut kepincangan mentaliti sebahagian pelajar Al-Azhar.

Saya cuba menyusun beberapa aspek yang saya melihat berlaku di sana kepincangan yang ketara pada mentaliti seorang mahasiswa Al-Azhar. Berikut adalah beberapa kesimpulan yang saya cuba untuk utarakan kepada sidang pembaca:

a) Tidak menjiwai konsep العلماء ورثة الأنبياء

Para nabi dan rasul adalah insan yang ditugaskan untuk menjadi khalifah Allah di dunia ini. Konsep khilafah di sisi kaca mata Islam adalah pelaksanaan syariat Allah dan memahkotakan Islam di dalam perundangan negara. Al-Imam Ibnu Khaldun dengan jelas telah mendefinasikan sistem khilafah dengan:

حَمْلُ الْكافََةِ على مُقْتَضَى النَّظر الشَّرْعِيِّ فِيْ مَصالِحِهِمِ الْأُخْرَوِيَّةِ والدُّنْيَوِيَّةِ

yang bermaksud:

Menundukkan kesemua individu di bawah kehendak pandangan syarak untuk menjamin kebahagiaan ukhrawi dan kebahagiaan duniawi.

Jiwa besar yang ada di sisi para anbia dan ulama seakan-akan telah terhakis dalam pemikiran dan jati diri sebahagian masyarakat Azhari belakangan ini. Mereka seakan-akan tidak menyedari bahawa mereka adalah petrol kepada keadaan umat Islam yang akan menggerakkan dan membawa mereka kepada pendaulatan syariat Allah Taala. Seandainya mereka meletakkan diri mereka seolah-olah sebagai seorang nabi dan rasul untuk umat bertuah ini, sudah pasti mereka akan mempunyai satu keazaman yang begitu padu untuk menerjah blok primitif kemanusiaan (jahiliyyah) moden yang ingin menghingusi sebaik-baik ummah ini. Para ulama adalah ubat kepada masyarakat yang sakit. Seandainya ubat itu sendiri berpenyakit, bagaimana ubat tersebut mampu untuk menjadi penawar kepada insan yang tenat dan gering. Kesimpulan mudah yang boleh saya simpulkan di sini ialah tugas penuntut ilmu ialah menguasai ilmu islam sedalam-dalamnya untuk diterjemahkan ke dalam alam masyarakat dan negara.

b) Mentaliti belajar semata-mata untuk peperiksaan.

Faktor ini memberi kesan kepada sikap pelaku tersebut. Apabila seseorang pelajar sudah menerapkan matlamat pengajiannya adalah untuk meraih kemewahan dunia dan pengajian yang selesa maka kesan buruk kepada sikap si pelaku ini dari sudut ilmu pasti akan teserlah. Dia akan malas untuk mengkaji ilmu. Cukup baginya sijil yang bakal melayakkan dirinya untuk menjawat jawatan dalam agensi-agensi kerajaan atau swasta. Ini kerana individu yang betul-betul inginkan kembalinya masyarakat muslim kepada panduan Islam yang sebenarnya sahaja yang akan bermati-matian menguasai ilmu pengetahuan Islam semata-mata untuk menjelmakan ilmu yang dikutip di dalam kehidupan seharian.

Saya masih teringat kalam lucu teman saya, Tarmizi Ismail semasa kami sama-sama belajar di Tanta sekitar tahun 1999 hingga 2003 yang berbunyi:

“kalaulah Al-Azhar tidak mempunyai sistem peperiksaan, sudah tentu pelajar Al-Azhar tidak akan membelek buku”

Atas sebab itu saya cukup tidak gemar ucapan-ucapan yang meminta pelajar agama bersungguh-sungguh di dalam pembelajaran kerana peluang pekerjaan seperti JQAF dan sebagainya akan menunggu graduan Al-Azhar di tanah air. Sepatutnya kita menggalakkan para pelajar melarutkan dirinya di dalam mayapada ilmu agar masyarakat yang sudah cukup parah dengan wabak menyingkirkan perundangan berteraskan wahyu mampu untuk dipanggil pulang kepada sistem hidup yang telah digariskan oleh Islam yang pastinya usaha ini tidak akan mampu untuk meraih sagunya melainkan apabila generasi perubah adalah generasi ilmu yang bergerak di dalam suluhan cahaya Al-Quran dan Al-Hadis.

Namun saya tidak bermaksud agar kita meninggalkan kehidupan dunia dan menolak segala ruang pekerjaan. Saya cuma ingin menyeru minda pembaca dan pelajar yang budiman agar tidak meletakkan keduniaan sebagai matlamat pembelajaran kita. Seandainya sikap positif ini mampu untuk dijelmakan di dalam minda pelajar, saya yakin para pelajar akan tetap mendaulatkan ilmu Islam sekalipun kita dicabar dengan tekanan hidup dan ugutan yang menghenyak dan menyesakkan dada para pelajar sekalian.

c) Tidak mempunyai matlamat jitu untuk memperbaiki kefahaman masyarakat terhadap Islam.

Masyarakat pelajar agama hari ini seakan-akan tidak mempunyai satu semangat yang kuat untuk mengubah masyarakat yang terlalu mabuk dengan keduniaan masa ini yang membarahkan pelbagai penyakit kritikal sebagai satu perlambang kepada kejayaan barat mentarbiah penduduk Islam dengan norma-norma negatif.

Kes bunuh, rogol, sumbang mahram, murtad daripada agama Islam, zina, liwat dan seribu satu penyakit adalah sebata dengan bangsa Melayu hari ini. Mungkin sidang pembaca seakan-akan sudah biasa dan tidak merasakan sesuatu yang mengejutkan apabila saya menghidangi kalian dengan keruntuhan den kebejatan akhlak muda-mudi Malaysia hari ini. Perasaan ini adalah berpunca kerana saban hari kita dikhabarkan dengan satu demi satu kebobrokan nilai diri di dalam bangsa yang bergelar Melayu.

Siapakah yang akan membangkitkan kembali rasa ketuanan Islam di dalam sanubari masyarakat muslim hari ini? Adakah kita tega melihat umat Islam di Malaysia khususnya semakin gering yang akan membawa kepada kemusnahan umat Islam dek maksiat yang bermaharajalela?

Masyarakat pelajar agama perlu bangkit dan memakukan azam di dalam hati masing-masing untuk mengubah umat Islam hari ini. Kalau kita selaku generasi yang sering dilaung-laungkan sebagai pewaris pusaka anbia terus alpa dengan kemewahan, keduniaan, pangkat dan kedudukan sedangkan suara kita sunyi daripada jeritan untuk memohon agar masyarakat Islam kembali menjadi gantian Allah di mayapada ini, kita sememangnya pengkhianat kepada amanah yang dipundakkan oleh Allah ke atas bahu-bahu kita.

Kenapa pelajar agama lebih gemar untuk santai dan relaks dalam kesenangan hidup sedangkan muda-mudi Islam sudah dibogelkan daripada akhlak Islam yang menjadi teras di dalam akhlak dan peribadi muslim? Di mana kesedaran kita selaku pemimpin kepada masyarakat Islam?

Masyarakat yang tenat dalam kelemasan mereka di dalam lautan nafsu diumpamakan seperti seorang insan yang berada di jurang api neraka Allah. Seorang individu yang menyayangi orang tadi semestinya akan menariknya menjauhi jurang neraka Allah Taala sedangkan individu yang tidak menyayanginya pasti akan membiarkan lelaki tersebut di sana bahkan berkemungkinan dia akan menolak lelaki itu untuk dibaham oleh marakan api neraka.

Begitulah perumpamaan seorang ulama yang berhadapan dengan bangsa yang hilang seri imannya. Seandainya dia menyayangi umat Islam yang terlalu rapuh aqidah jua sahsiahnya[1], pasti dia akan berusaha bermati-matian bagi menyelamatkan ummah daripada sambaran azab Allah namun seandainya sang ulama rela untuk berpeluk tubuh dan menjadi penonton yang setia di hadapan drama kematian jati diri ummah Islam ini, ini adalah satu alamat yang terlalu jelas betapa dia tidak punya sama sekali jiwa besar yang ada di dalam jiwa para anbia terdahulu dalam memastikan Islam yang Maha Kudus[2] ini mampu untuk dikecapi oleh makhluk yang bernama insan.

Sudah sampai masanya pelajar agama perlu serius dalam usaha untuk menguasai ilmu Islam semata-mata kerana ingin merubah suasana hanyir masyarakat Islam pada hari ini dengan membina ketamadunan ilmu di dalam kota diri masing-masing kerana satu-satunya jalan untuk menjulang kembali maruah umat Islam adalah dengan cara kesedaran dan kefahaman yang merupakan buah kepada nilai ilmu yang berpandukan wahyu.

d) Tidak mempunyai kesungguhan dalam menguasai ilmu.

Ini adalah satu sindrom[3] yang merebak dalam lingkungan warga Al-Azhar. Kita jarang melihat situasi di mana warga Al-Azhar begitu tekun dalam menguasai ilmu. Saya boleh simpulkan bahawa sistem ilmu di bumi Al-Azhar terbahagi kepada dua kategori:

1. Sistem perkuliahan
2. Sistem pengajian tradisional

Sistem yang pertama adalah sistem rasmi Al-Azhar yang wajib diikuti oleh mahasiswa Al-Azhar. Pengajian-pengajian akan diadakan di ruang kuliah Al-Azhar yang akan ditutupi dengan sistem peperiksaan yang akan menghadiahkan segulung ijazah kepada mereka yang berjaya.

Walaupun sistem ini adalah sistem yang rasmi bagi universiti Al-Azhar namun sistem ini mempunyai kelemahan-kelemahan yang mesti diakui oleh warga Al-Azhar. Antara kelemahan yang paling ketara adalah pelajar-pelajar Al-Azhar tidak akan mampu untuk menghalusi ilmu pengetahuan Islam yang mereka timba di universiti Al-Azhar melalui sistem ini. Ini kerana sistem perkuliahan adalah terhad dari segi sukatan mata pelajaran dan waktu pengajian ditambah pula dengan ketidakwajipan bagi para pelajar untuk mengikuti kuliah yang membarahkan lagi penyakit malas dalam diri seorang Azhari.

Saya teringat rintihan rektor Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Tayyib dalam ucapan selingan beliau ketika beliau mengajar mantik di masjid Al-Azhar dalam sekitar tahun 2005 yang lalu yang menyatakan bahawa sistem universiti Al-Azhar yang ada pada hari ini menyebabkan ramai di kalangan keluaran Al-Azhar tidak mampu untuk mendalami ilmu-ilmu Islam secara masak yang mengakibatkan kelahiran graduan Al-Azhar yang memiliki sijil Al-Azhar namun tidak mampu sama sekali menggendong kemantapan ilmu secara pakar.

Cara pengajian Al-Azhar hari ini yang kurang menekankan penguasaan kitab-kitab turath, perkuliahan yang tidak diwajibkan melainkan pengajian di peringkat M.A (Sarjana Sastera), membahaskan sesuatu permasalahan ilmu secara rambang adalah antara faktor yang akan menyebabkan keluaran Al-Azhar tidak mapan dari sudut ilmunya.

Sememangnya kita terpaksa menyedari bahawa Universiti Al-Azhar terpaksa menyediakan satu sistem yang tidak mampu memberikan kesemua kepakaran ilmu di ruang lingkup bilik-bik perkuliahan. Ini adalah kerana hakikat ilmu Islam yang begitu luas yang tidak akan mampu untuk dikuasai secara pakar dan masak melainkan hanya dengan ketekunan dan masa yang lama. Seandainya Al-Azhar betul-betul berhasrat untuk melahirkan generasi ilmu yang hebat dari sisi ilmunya maka pelajar Al-Azhar terpaksa meredai kelamaan waktu untuk meraih sijil Al-Azhar.

Contohnya seandainya pelajar jurusan Syariah Islamiah hari ini akan mempelajari seluruh bab yang membincangkan permasalahan ibadat seperti taharah, solat, puasa, zakat dan haji hanya dalam tempoh setahun maka pengajian yang sepatutnya dilaksanakan oleh Al-Azhar bagi membahaskan kelima-lima topik ini seandainya para mahasiswa hanya mahu menyerahkan tugas menyediakan ilmu Islam kepada pihak Al-Azhar adalah selama lima tahun. Tahun pertama adalah untuk menguasai cabang-cabang ilmu fikah yang berkaitan dengan taharah, tahun kedua adalah untuk pengkajian yang berkaitan dengan salat dan seterusnya.

Ini baru dalam bidang fikah yang berkaitan dengan ibadah. Bagaimana pula dengan bahagian-bahagian fikah yang lain seperti persoalan nikah kahwin, jual beli, undang-undang jenayah Islam, hubungan kenegaraan yang melibatkan persoalan perang, jizyah, perjanjian antara dua negara, perlantikan khalifah dan lain-lain yang terlalu banyak?

Kita baru membincangkan berkaitan dengan perbahasan yang bercirikan fikah. Bagaimana pula dengan disiplin-disiplin ilmu yang lain seperti usul fikah, ilmu usul hadith (hadith dirayah), ilmu hadith riwayah, mantik, bahasa arab dari sudut nahu, saraf dan balaghah, tafsir Al-Quran termasuk kajian yang berkaitan dengan ayat-ayat hukum, kajian berkaitan dengan akidah Islam, agama-agama lain daan sebagainya yang mampu untuk menggilakan seorang yang mahu untuk menguasai kesemua ilmu tersebut secara pakar dan halus?

Dalam keadaan kita menyedari hakikat betapa susahnya bagi seorang pelajar Islam untuk menguasai kesemua ilmu di atas, tiba-tiba kita boleh bertemu dengan kelompok pelajar yang begitu istirehat, santai dan relaks dalam membuang masa dan menjadikan agenda penguasaan ilmu sebagai agenda “jarang-jarang” atau “kadang-kadang”? Masa mereka di ciber kafe dengan program chat, melayari laman-laman web yang bersifat hedonisme,[4] menyalin filem-filem terbaru dan seribu satu aktiviti yang tidak bermanfaat malah merudumkan lagi keperibadian seorang pelajar ilmu Islam yang punya satu peluang untuk mewarisi tinggalan serta khazanah para nabi.

Atas sebab itu, kita tidak hairan apabila kita menemui individu-individu yang mungkin berusaha bersungguh untuk berjaya dalam peperiksaan di universiti Al-Azhar lantas mereka berjaya merangkul keputusan akademik yang cemerlang namun mereka tetap tidak mampu menguasai ilmu Islam secara umum dengan baik.

Ini kerana bagi mencipta satu watak yang hebat dari sudut ilmu secara luas adalah memerlukan sikap kesungguhan seseorang pelajar yang minat membaca, minat mengkaji dan minat bertalaqqi yang kesemuanya ini dengan taufiq daripada Allah bakal melahirkan seorang cendekiawam Muslim yang begitu hebat keilmuannya. Pastinya usaha sesusah ini tidak akan mampu untuk dijelmakan seandainya seorang pelajar itu hanya menjadikan ruang lingkup ilmunya hanya berkaitan dengan subjek-subjek[5] yang akan disoal di dalam kertas soalan peperiksaan.

Sistem yang kedua ialah system belajar secara tradisional. Sistem ini adalah merujuk kepada proses mempelajari ilmu secara halus dan teliti. Melalui sistem ini seorang guru akan membaca kitab-kitab karangan ulama silam (kadang-kadang kitab karangan ulama semasa juga digunakan) manakala pelajar-pelajar pula akan melingkungi sang guru dan mengambil serta menulis segala butiran syarahan dan ilmu yang diutarakan oleh sang guru.

Melalui sistem ini, guru akan mensyarahkan setiap kalimat yang tertulis di dalam buku dan ruang persoalan dan perbincangan serta perdebatan antara guru dan murid adalah terbuka. Para pelajar diberikan ruang yang luas untuk menyatakan pandangan dan pembacaan lain sekalipun pandangan si murid berkemungkinan akan bercanggah sama sekali dengan apa yang diterangkan oleh si guru.

Sang guru akan meneliti setiap apa yang disebut oleh para pelajar dan akan menjelaskan sebarang kekusutan dari sudut kefahaman aaupun menarik kembali penerangan yang telah diberikan kepada para pelajar seandainya apa yang diterangnya sebelum tadi adalah tersilap.

Kelebihan sistem ini adalah terbukti kerana para pelajar berhak untuk bertanya apa sahaja yang ingin dipersoalkan tanpa ada sebarang sekatan waktu di samping mampu untuk melahirkan para pelajar yang boleh menguasai ilmu-ilmu Islam secara teratur, pakar masak dan teliti. Sistem inilah yang digunakan di pondok-pondok pengajian Islam di tanah air seperti Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan.

Namun sistem ini tidak akan menghadkan tempoh belajar. Sebagai contoh saya mempelajari kitab Ghayatul Makmuk Syarhu Waraqat Al Usul[6] dengan Al Syeikh Sayyid Syaltut, salah seorang murid kanan Prof. Dr. Ali Jum`ah, mufti kerajaan Mesir yang bermuka surat sekitar 411 helaian dalam tempoh masa setahun tiga bulan. Kami mempelajari kitab ini sebanyak 3 kali seminggu yang mana setiap pengajian mengambil masa sekitar 4 jam.

Dari sudut penyertaan para pelajar Malaysia dalam mengikuti sistem pengajian tradisional ini, hanya segelintir kecil mahasiswa Malaysia sahaja yang mengikuti sistem yang bersifat percuma ini. Antara faktor yang membawa kepada ketidakhadiran para mahasiswa ke kelas-kelas talaqqi ini adalah seperti berikut:

a) Sistem pengajian yang memakan tempoh waktu yang sangat panjang.


b) Sistem ini tidak mempunyai sebarang pengiktirafan sijil.


c) Sikap malas yang ada di kalangan pelajar.


d) Para pelajar tidak menyedari kepentingan mereka menguasai ilmu-ilmu turath Islam yang merupakan asas penting kepada ilmu Islam yang sangat diperlukan dalam memimpin perubahan umat Islam ke arah pendaulatan syariat Islam.
e) Masalah tidak memahami bahasa Arab yang baik. Ini menyebabkan pelajar Melayu lebih gemar mempelajari ilmu Islam dengan guru-guru berbangsa Melayu yang turut belajar di Al-Azhar.

f) Faktor sebahagian tempat pengajian yang agak jauh daripada penempatan para pelajar. Sebagai contoh, Masjid Al-Azhar yang merupakan lokasi utama kepada kelas-kelas talaqqi ilmu Islam agak jauh dengan penempatan pelajar Malaysia yang tinggal sekitar Madinah Nasr, Kaherah yang mengabil masa sekitar 40 minit seandainya pelajar menggunakan perkhidmatan bas.

Kesimpulan yang boleh saya jelaskan di sini ialah kesemua faktor-faktor yang membawa kepada ketidakhadiran para pelajar ke kelas-kelas rasmi di universiti Al-Azhar adalah merujuk kepada satu sebab yang paling utama iaitu masalah sikap para pelajar yang memandang enteng terhadap kepentingan ilmu dari sudut memimpin perubahan masyarakat ke arah cara hidup Islam malahan ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai kesedaran bahawa golongan pelajar agama adalah aset terpenting kepada masyarakat kerana hanya dengan panduan agama Islam sahaja kita akan mampu untuk menjamin kesejahteraan ummat yang sememangnya tidak ada jalan lain untuk menjamin ketamadunan sesuatu bangsa melainkan hanya dengan perlindungan sistem Islam.

Taubat Seorang Hamba

Taubat


Firman Allah swt : “Wahai Orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha” (At-Tahrim: 8).

Di dalam ayat ini Allah swt menyeru hamba-hambaNya supaya bertaubat di atas dosa-dosa yang telah dilakukan dengan sebenar-benar taubat. Bukan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah golongan manusia yang hanya lisannya sahaja melafazkan kalimah taubat sedangkan ia masih lagi bergelumang dengan dosa dan maksiat.

Ulama’ telah menyebutkan syarat-syarat yang mesti ada bagi seseorang yang benar-benar ingin bertaubat sepertimana yang telah diambil dari Al-Quran dan hadis, antaranya:

1) Bersegera meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat tersebut.
2) Menyesal atas dosa-dosa yang telah dilakukan.
3) Berazam untuk tidak kembali bergelumang dalam dosa dan kemaksiatan.
4) Mengembalikan hak-hak orang yang dizalimi atau memohon kemaafan darinya.

Terdapat juga sebahagian ulama’ yang menggariskan syarat-syarat lain bagi mereka yang ingin bertaubat dengan taubat nasuha, antaranya:

1) Meninggalkan dosa-dosa tersebut (taubat nasuha) ikhlas kerana Allah swt dan bukan
kerana perkara-pekara lain.
2) Merasa jijik dan benci dengan dosa yang yang dilakukan dan mengakui akan
kemudharatannya.
3) Bersegera melakukan taubat nasuha.
4) Berasa takut dan risau ia akan kembali kepada dosa dan kemaksiatan.
5) Cuba Mendapatkan kembali hak-hak Allah swt (cth: zakat, solat, dsb.) yang telah di
tingalkan sebelumnya (sekiranya boleh).
6) Mencari sahabat-sahabat yang soleh yang mampu membimbing dan membantu supaya
dia sentiasa mengingati Allah dan tidak kembali kepada kemaksiatan.


Adakah Allah Menerima Taubatku???

“Aku ingin bertaubat tetapi dosaku terlalu banyak. Aku masih belum meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dan maksiat yang aku lakukan. Aku telah melakukan maksiat ini sejak aku masih kecil sehinggalah sekarang. Aku mencuri. Aku berbohong. Aku meninggalkan solat. Aku tidak membayar zakat. Dosaku terlalu banyak sehingga aku tidak yakin bahawa Allah swt akan mengampunkan dosa-dosa yang telah aku lakukan sekian lama. Kini aku bertahajjud disepertiga malam, aku berpuasa isnin dan khamis, dan aku membaca Al-Quran. Adakah Allah akan mengampunkan aku dan menerima taubatku???”

Firman Allah swt: “ Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah swt. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada tuhanmu, dan patuhlah kamu kepadaNya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan” (Az-Zumar: 53,54).

Marilah sama-sama kita renungi dan hayati maksud Firman Allah di atas yang secara langsung menjadi jawapan bagi persoalan hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu untuk bertaubat.

Seorang hamba yang merasakan bahawa dosanya terlalu banyak dan merasakan ianya tidak mungin mendapat keampunan daripada Allah swt akan menjerumuskan dia kepada perkara-perkara berikut :

Pertama: Tidak yakin pada luasnya rahmat dan magfirah Allah swt.
Firman Allah swt: “Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu (Al-A’raf: 156).

Kedua: Berkurangnya keimanan dan keyakinan terhadap qudrah Allah swt mengampunkan dosa hamba-hambanya.
Firman Allah swt dalam sebuah hadis qudsi: “Barangsiapa yang megetahui dan meyakini bahawa hanya Aku yang mampu mengampunkan segala dosa maka akan aku ampunkan dosa-dosanya selama mana dia tidak mensyirikkan aku dengan sesuatu”.

Ketiga: Lemahnya salah satu perasaan yang patut ada pada diri seorang hamba iaitu Ar-raja’ (berharap).

Allah swt telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi : “ Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan memohon keampunan dariKu, maka akan Aku ampunkan segala dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosa yang telah engkau lakukan menggunung setinggi langit kemudian kau memohon keampunan dariku, maka akan Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya kau datang kepadaku dengan dosa sebanyak seisi dunia dan kau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, maka akan Aku datangkan padamu maghfirahku sebanyak seisi dunia”.


Keempat: Tidak berusaha untuk bertaubat dan memohon keampunan bagi menghapuskan dosa-dosanya.
Rasulullah saw bersabda: “Orang yang bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukannya seumpama tidak ada dosa bagi dirinya.”

Semoga kita semua tergolong dikalangan orang-orang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha) dan ikhlas kerana Allah swt. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.


Janganlah melambat-lambatkan taubat kerana ajal kita tidak memandang usia dan tempat. Firman Allah swt: “Bagi tiap-tiap ummat itu ada ajalnya, apabila datang ajal mereka itu, mereka tidak akan dapat melambatkannya dan tidak pula dapat mempercepatkannya walau sesaat jua pun” (Al-A’raf: 34). “Dan mohon ampunlah (beristighfar) kamu kepada tuhanmu kemudian bertaubatlah kamu kepadaNya, nescaya Dia akan memberi kamu kesenangan yang baik sehingga sampai ajalmu” (Hud: 3).


Rujukan:

1) (أريد أن أتوب ..ولكن (محمد صالح المنجد
2) المعجم المفهرس لألفاظ القرآن الكريم
3) Tafsir Quran Karim

Saturday, May 23, 2009

Kerajaan, OIC digesa selamatkan Masjid al-Aqsa


HARAKAHDAILY.COM
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) -
Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK) merasakan keprihatinan dan kebimbangan yang tinggi kepada nasib Masjid Al-Aqsa yang kini semakin terancam dan diambang kemusnahan akibat aktiviti bawah tanah oleh Zionis Israel.

Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor,Mohd Ezli Mashut, berita-berita terbaru yang terpampang di media-media utama negara ini dan antarabangsa memberikan satu gambaran tragis bakal berlaku kepada Masjid Al-Aqsa jika tiada usaha pantas dan bersepadu digerakkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

"AMK Selangor menggesa agar Kerajaan Malaysia dapat memainkan peranan yang aktif dan berani untuk mengusulkan isu ini di peringkat dunia Islam dan antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia juga disaran menggerakkan usaha bersepadu di peringkat antarabangsa bagi memastikan Zionis Israel tidak meneruskan aktiviti-aktiviti penggalian terowong bawah tanah yang merancang untuk memusnahkan terus Masjid Al-Aqsa tersebut secara semulajadi jika berlaku gegaran gempa bumi atau seumpamanya,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya,AMK Selangor berharap agar desakan untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam ini mendapat sokongan dan dokongan kuat semua pihak di negara ini daripada semua parti politik, NGO, kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

"Isu ini diketengahkan kerana ianya adalah satu isu antarabangsa dan kemanusiaan yang melangkau batas sempadan bangsa, agama dan negara. Tindakan biadap Zionist Israel adalah satu ancaman yang berbahaya kepada seluruh umat manusia di dunia ini,"katanya.

Selain itu beliau berharap,Perdana Menteri Malaysia akan memanjangkan isu keselamatan dan nasib Masjid Al-Aqsa di peringkat antarabangsa semasa kunjungan beliau ke luar negara.

"Kita juga berharap semasa lawatannya ke China kelak, Perdana Menteri dapat mengemukakan isu ini agar China selaku salah satu kuasa besar dunia baru juga dapat memberikan tekanan kepada pihak Israel agar serius dan serta merta menghentikan apa jua aktiviti yang boleh mengancam dan menjejaskan struktur Masjid Al-Aqsa ini,"jelasnya lagi.

Di samping itu,katanya,"AMK Selangor juga berharap semua pertubuhan politik di negara ini juga dapat menjadikan isu ini sebagai satu isu serius antarabangsa yang utama ketika ini."

Menurutnya, perbezaan fahaman dan politik yang berlaku di negara ini tidak wajar dijadikan penghalang dan tembok untuk bersama-sama bergerak dalam satu suara rakyat Malaysia untuk menghentikan rancangan jahat pihak Zionis Israel yang memang jelas merancang untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa ini bila-bila masa sahaja ketika umat Islam dan masyarakat dunia difokuskan kepada masalah ekonomi dan kewangan dunia.

"AMK Selangor berkeyakinan bahawa semua rakyat Malaysia boleh bersama-sama dalam mendesak kerajaan Malaysia agar aktif dan berperanan besar dalam menggerakkan kesedaran global kepada nasib Masjid Al-Aqsa ini,"katanya lagi.

Ujarnya, dunia pastinya tidak mahu melihat peristiwa tragis kemusnahan Masjid Al-Aqsa angkara konspirasi jahat Zionis Israel ini daripada berlaku.

Tambahnya, resolusi PBB tidak akan lagi mempunyai erti dan makna lagi jika perancangan konspirasi Zionis Israel ini mencapai kejayaan.

"AMK Selangor mengajak semua pimpinan parti politik, NGO dan pihak kerajaan menjadikan isu antarabangsa nasib kemusnahan Masjid Al-Aqsa mendapat liputan dan perhatian dunia antarabanga.

"Sudah tiba masa dan ketikanya sekali lagi di waktu kita berbeza pandangan dan pendapat di negara ini, kita seiringan dan senada satu suara menggerakkan dan menyedarkan dunia mengenai satu lagi kezaliman dan perancangan konspirasi jahat Zionis Israel,"tegasnya.


Kerajaan, OIC digesa selamatkan Masjid al-Aqsa


HARAKAHDAILY.COM
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) -
Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK) merasakan keprihatinan dan kebimbangan yang tinggi kepada nasib Masjid Al-Aqsa yang kini semakin terancam dan diambang kemusnahan akibat aktiviti bawah tanah oleh Zionis Israel.

Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor,Mohd Ezli Mashut, berita-berita terbaru yang terpampang di media-media utama negara ini dan antarabangsa memberikan satu gambaran tragis bakal berlaku kepada Masjid Al-Aqsa jika tiada usaha pantas dan bersepadu digerakkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

"AMK Selangor menggesa agar Kerajaan Malaysia dapat memainkan peranan yang aktif dan berani untuk mengusulkan isu ini di peringkat dunia Islam dan antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia juga disaran menggerakkan usaha bersepadu di peringkat antarabangsa bagi memastikan Zionis Israel tidak meneruskan aktiviti-aktiviti penggalian terowong bawah tanah yang merancang untuk memusnahkan terus Masjid Al-Aqsa tersebut secara semulajadi jika berlaku gegaran gempa bumi atau seumpamanya,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya,AMK Selangor berharap agar desakan untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam ini mendapat sokongan dan dokongan kuat semua pihak di negara ini daripada semua parti politik, NGO, kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

"Isu ini diketengahkan kerana ianya adalah satu isu antarabangsa dan kemanusiaan yang melangkau batas sempadan bangsa, agama dan negara. Tindakan biadap Zionist Israel adalah satu ancaman yang berbahaya kepada seluruh umat manusia di dunia ini,"katanya.

Selain itu beliau berharap,Perdana Menteri Malaysia akan memanjangkan isu keselamatan dan nasib Masjid Al-Aqsa di peringkat antarabangsa semasa kunjungan beliau ke luar negara.

"Kita juga berharap semasa lawatannya ke China kelak, Perdana Menteri dapat mengemukakan isu ini agar China selaku salah satu kuasa besar dunia baru juga dapat memberikan tekanan kepada pihak Israel agar serius dan serta merta menghentikan apa jua aktiviti yang boleh mengancam dan menjejaskan struktur Masjid Al-Aqsa ini,"jelasnya lagi.

Di samping itu,katanya,"AMK Selangor juga berharap semua pertubuhan politik di negara ini juga dapat menjadikan isu ini sebagai satu isu serius antarabangsa yang utama ketika ini."

Menurutnya, perbezaan fahaman dan politik yang berlaku di negara ini tidak wajar dijadikan penghalang dan tembok untuk bersama-sama bergerak dalam satu suara rakyat Malaysia untuk menghentikan rancangan jahat pihak Zionis Israel yang memang jelas merancang untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa ini bila-bila masa sahaja ketika umat Islam dan masyarakat dunia difokuskan kepada masalah ekonomi dan kewangan dunia.

"AMK Selangor berkeyakinan bahawa semua rakyat Malaysia boleh bersama-sama dalam mendesak kerajaan Malaysia agar aktif dan berperanan besar dalam menggerakkan kesedaran global kepada nasib Masjid Al-Aqsa ini,"katanya lagi.

Ujarnya, dunia pastinya tidak mahu melihat peristiwa tragis kemusnahan Masjid Al-Aqsa angkara konspirasi jahat Zionis Israel ini daripada berlaku.

Tambahnya, resolusi PBB tidak akan lagi mempunyai erti dan makna lagi jika perancangan konspirasi Zionis Israel ini mencapai kejayaan.

"AMK Selangor mengajak semua pimpinan parti politik, NGO dan pihak kerajaan menjadikan isu antarabangsa nasib kemusnahan Masjid Al-Aqsa mendapat liputan dan perhatian dunia antarabanga.

"Sudah tiba masa dan ketikanya sekali lagi di waktu kita berbeza pandangan dan pendapat di negara ini, kita seiringan dan senada satu suara menggerakkan dan menyedarkan dunia mengenai satu lagi kezaliman dan perancangan konspirasi jahat Zionis Israel,"tegasnya.


Friday, May 22, 2009

Saingan empat penjuru di Penanti


MALAYSIAKINI.COM
Selepas tempoh bantahan tamat jam 11 pagi ini, empat orang termasuk calon PKR Mansor Othman kini layak bertanding, demikian diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya Roslan Yahaya.

Mohd Saberi Othman, seorang bekas pembantu Tun Abdullah Ahmad Badawi di kawasan parlimennya di Kepala Batas, dibatalkan borang pencalonannya.

Sebab penolakan tersebut belum dapat dipastikan, setakat ini.

Keempat-empatnya akan bertarung menghadapi pilihanraya kecil DUN Penanti pada 31 Mei - kali ini tanpa persaingan sengit BN yang memutuskan untuk memulaukannya.

Proses penamaan calon sejak 9 pagi mencipta kejutan apabila Kamarul Ramizu Idris - calon bebas yang hilang pertaruhan di Bukit Gantang, Perak - turut mencuba nasib sekali lagi di kerusi DUN Pulau Pinang itu.

Dua lagi calon bebas, bekas pemimpin Wanita PKR negeri Aminah Abdullah dan bekas pemimpin Gerakan, Nai Khan Ari dijangka akan memberi saingan kepada Mansor.

Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang turut mengiringi calon PKR mendapat sambutan meriah dengan jeritan "bubar (DUN) Perak" para penyokong.

Tokoh-tokoh kanan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan sokongan kepada Mansor yang mempertahankan kerusi parti itu - satu daripada tiga DUN bawah parlimen Permatang Pauh.

Kerusi tersebut kosong selepas wakil rakyat PKR Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatan ADUN 16 April lalu di tengah-tengah kehangatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang bagaimanapun tidak didakwa di mahkamah selepas suruhanjaya itu mendapati tiada bukti kukuh untuk berbuat demikian.

Dun Manek Urai kosong diberitahu SPR Isnin ini - Speaker


HARAKAHDAILY.COM
KOTA BHARU, 22 Mei (Hrkh) -
Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud akan memaklumkan secara rasmi kekosongan kerusi di Dun Manek Urai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Isnin ini.

Beliau berkata, pemakluman secara rasmi akan dihantar pada tarikh terbabit disebabkan hari ini dan esok cuti mingguan di Kelantan. Manakala Ahad pula cuti mingguan di Kuala Lumpur.

Perkara 46 (5) Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan menyatakan sesuatu kekosongan luar jangka kerusi di Dun perlu diisi dalam tempoh 60 hari selepas tarikh dipastikan kekosongan oleh SPR.

"Saya akan kempilkan bersama surat kematian Adun terbabit bagi memaklumkan kekosongan tersebut. Surat rasmi akan dihantar kepada Pengarah SPR Kelantan dan ibu pejabat SPR," katanya di sini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Ismail mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi. Ismail mendapat 5,746 undi, manakala Zulkifli (4,394 undi).

Pada pilihan raya ke-11 tahun 2004, Zulkifli menang dengan majoriti tipis sebanyak 53 undi mengatasi calon PAS ketika itu, Ustaz Zamzuri Mat Lazim.