Friday, December 18, 2009

Dr Yusuf Qaradawi : Tokoh Maal Hijrah 1431

Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradawi dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009M, anugerah itu bagi menghargai ilmu, jasa dan kesungguhannya memberi khidmat kepada agama Islam dan ummah selain berdakwah dan membangkitkan kesedaran Islam.

Sebelum ini, antara tokoh yang menerima anugerah itu ialah Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi Rahimahullah dan Dr. Wahbah Az-Zuhaili.

Yusuf adalah ulama, pemikir, sarjana dan merupakan golongan intelek kontemporari pada abad ini. Beliau dilahirkan di Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir pada 1926. Pemikir ini menunjukkan ciri ulama apabila menghafal al-Quran sejak kecil dan sering dipanggil menjadi imam dan menyampaikan syarahan agama di masjid kampungnya.

Yusuf melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam fiqh al-Zakat pada 1973. Beliau terpengaruh dengan pemikiran Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Dalam kebanyakan penulisannya, Yusuf sering mengambil pendapat tiga tokoh berkenaan.

Thursday, December 17, 2009

Kelebihan Puasa Muharam dan Istimewanya 10 Muharam


http://newszune.blogspot.com/
Dari Aisyah r.a. katanya"Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (SahihMuslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura.(Sahih Bukhari)

Rasulullah S.A.W juga bersabda;
"Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi." - (Riwayat Al Baihaqi)

Pada hari ini juga Allah SWT telah membentangkan segala nikmat dan kelebihan kepada rasul-rasul-Nya Antara peristiwa yang berlaku pada hari ini ialah:

Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah ! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya :
  • ALLAH menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharram
  • ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
  • Diciptakan lautan pada 10 Muharram
  • Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
  • Diciptakan papan tulis (Luh Mahfuz) pada 10 Muharram
  • Diciptakan Adam a.s. pada 10 Muharram
  • Dimasukkan Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
  • Diselamatkan Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
  • Diselamatkan anaknya Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
  • Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
  • Diampunkan dosa Daud a.s. pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Isa a.s. pada 10 Muharram
  • Dikeluarkan Idris a.s. daripada perut ikan Nun pada 10 Muharram
  • Disembuhkan penyakit Ayub a.s. pada 10 Muharram
  • Diangkat Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
  • Diterima taubat Adam a.s. pada 10 Muharram
  • Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Sulaiman a.s. pada 10 Muharram
  • Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
  • Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
  • Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
  • Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam pada 10 Muharram
Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : ” Sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka ﷲﺃ S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka ﷲﺃ S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat.

Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka.”

Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : ” Ya Rasulullah S.A.W, adakah ﷲﺃ telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?”. Maka berkata Rasulullah S.A.W : ” Ya, memang benar, ﷲﺃ Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Aasyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Aasyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan ﷲﺃ S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura, ﷲﺃ S.W.T menenggelamkan Fir’aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, ﷲﺃ S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura, ﷲﺃ S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, ﷲﺃ S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Aasyura !”.

Wednesday, December 16, 2009

Wabak Hendonisme & Seks Menghancurkan Remaja , Kajian Kes

Zaman remaja adalah merupakan cabaran yang getir dan cukup menguji dalam pembinaan peribadi dan sahsiah. Usaha institusi sekolah sebagai gedung perubahan sosial dalam kehidupan pelajar juga semakin sukar dan gawat kerana cabaran institusi ini sudah tidak sekuat dahulu. Institusi sekolah semakin kurang sokongan dari suasana persekitaran yang kian mencabar. Sokongan yang rapuh dari waris pelajar dan masyarakat amat ketara dan melemahkan lagi kawalan terhadap budaya hendonisme yang semakin berakar umbi dalam kehidupan remaja kita hari ini.

Laporan statistik Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah mengenai jenayah rogol yang meningkat di negeri Kedah mengundang persoalan yang amat serius dan membimbangkan. Malahan kes yang tidak dilaporkan juga sebenarnya amat tinggi jika kita ingin mencari ke akar umbi. Statistik tahun 2008 tersebut menunjukkan dari 309 kes jenayah, 226 kes adalah jenayah rogol di mana 210 adalah kes yang melibatkan pelajar berusia 12 hingga 18 tahun. Malah dari sumber PDRM tersebut, hanya 4 kes sahaja dari 226 kes dilaporkan sebagai paksaan selebihnya adalah secara sukerela. Gejala ini sudah tentu berlaku dan akan terus berlaku kepada para remaja yang sudah terdedah kepada unsur pornografi. Trend penggunaan telefon bimbit juga membawa kepada banyak masalah sosial yang kian berleluasa. Era multimedia dan teknologi maklumat sedang menguji asas agama dan keimanan yang menjadikan remaja kita sebagai bahan kajian. Malahan golongan dewasa juga turut diuji dengan cabaran yang bukan kepalang ini. Bayangkan pula kesannya kepada golongan muda yang sedang bergelora arus kehidupannya.

Melalui satu kajian yang telah penulis jalankan baru-baru ini terhadap 127 orang pelajar remaja perempuan Melayu tingkatan 2 berusia 14 tahun di sebuah sekolah luar bandar, 30 % telah terdedah kepada unsur seks melalui telefon bimbit dan juga VCD yang mudah diperolehi. 5% dari remaja luar bandar ini juga telah melakukan hubungan seks secara sukarela. Kajian penulis terhadap 56 pelajar lelaki tingkatan 1 berusia 13 tahun mendapati 43% telah terdedah kepada filem lucah. Manakala kajian terhadap 67 remaja lelaki di tingkatan 2 mendapati 61% telah menonton dan terdedah kepada gejala ini. Bagaimanakah pula jika kajian ini dijalankan di bandaraya khususnya di sekitar Alor Setar atau Sungai Petani. Saya yakin dapatan kajian akan lebih mengerunkan jika ianya dijalankan terhadap remaja perempuan atau lelaki berusia 16 tahun ke ata. Malah dalam satu ceramah yang penulis kendalikan untuk pelajar sekolah rendah tahun 1 hingga 6 di Kuala Kedah, hampir 40% pelajar lelaki terlibat meminum air ketum kerana ianya adalah minuman bapa mereka di rumah. Jawapan mereka, minuman tersebut adalah dianggap ubat cacing dan disediakan oleh ibu di rumah. Bagi penulis perkara yang menjadi asas kepada segala punca permasalahan ini ialah apabila rukun Islam diremehkan dan ibadah solat yang menjadi kewajipan sudah tidak dititikberatkan oleh ibu bapa. Asas pendidikan agama dan sistem kekeluargaan sudah semakin pincang dan mengundang pelbagai masalah di luar jangkaan.

KAJIAN TERHADAP 127 REMAJA PEREMPUAN TINGKATAN 2 DI KEDAH

1. Pernahkah anda ponteng sekolah ?
YA 40%
TIDAK 60%

2 Anda seorang perokok atau pernah merokok ?
YA 16%
TIDAK 84%

3 Adakah anda solat lima waktu ?
YA 7%
TIDAK 93%

4 Adakah ibu anda solat lima waktu ?
YA 72%
TIDAK 28%

5 Adakah bapa anda solat lima waktu ?
YA 65%
TIDAK 35%

6 Adakah anda mempunyai telefon bimbit ?
YA 77%
TIDAK 23%

7 Pernah menonton vcd dan gambar lucah ?
YA 30%
TIDAK 70%

8 Pernahkah anda keluar (dating) dengan pasangan ?
YA 35%
TIDAK 65%

9 Pernah bercumbu atau berpeluk dengan pasangan ?
YA 18%
TIDAK 82%

10 Pernah melakukan hubungan seks ?
YA 5%
TIDAK 95%

11 Pernah minum air ketum, arak atau mengambil pil khayal ?
YA 3%
TIDAK 97%

Kajian penulis terhadap 127 Remaja Perempuan berusia 14 tahun di sebuah sekolah di luar bandar

Bolehkah kita mengklasfiksikan gejala ini sebagai wabak yang lebih bahaya dari H1N1 ? Siapakah yang mahu bertanggungjawab untuk mengekang wabak ini dari terus bermaharajalela dalam arus kedewasaan anak remaja kita. Bagi penulis ianya adalah bencana kepada masa depan remaja Islam kerana tanpa disedari, kita sebenarnya membiarkan masalah ini terus berlarutan dan merosakkan nilai agama Islam yang suci. Apakah nasib remaja Islam pada masa akan datang dan bagaimana pula masa depan negara jika moral dan akhlak remajanya semakin terhakis.

Jenayah seks bebas sebenarnya berada di tahap amat meruncing dan kritikal. Tiada usaha kongkrit yang dilakukan banyak pihak dalam masyarakat untuk mengekang dan mengawal penularan pengaruh bahan-bahan lucah dan pornografi. Kelompok masyarakat kita seperti NGO Melayu hanya bertaring dan bising dalam hal-hal politik dan sibuk melihat kuman di seberang laut tetapi masalah anak bangsa yang sudah dihujung tanduk dibiarkan sepi, seolah-olah ianya adalah peranan dan tanggungjawab pihak berkuasa sahaja. Sedar atau tidak bahawa bahaya jenayah seks ini juga akan sampai kepada anak cucu kita yang sentiasa terdedah kepada unsur pornografi yang berleluasa. Dari bandar dan pekan kecil hingga ke Bandaraya Alor Setar, cukup mudah untuk remaja belasan tahun membeli atau mengekses bahan-bahan yang dinyatakan. Malahan sejak sekian lama sebuah kedai VCD tingkat 3 di City Point menjual secara terbuka video lucah kepada sesiapa sahaja. Suatu persoalan yang berlegar ialah apabila melihat pembantu kedai di kebanyakkan premis-permis menjual VDC tersebut adalah anak gadis Melayu. Dalam keadaan ini apakah sebenarnya peranan ibu bapa gadis berkenaan sehingga boleh membenarkan anak mereka mencari rezeki di tempat yang terdedah dengan seks bebas. Saya percaya pihak KPDNHEP telah membuat serbuan tetapi anehnya mereka masih mampu terus menjual secara terbuka. Apakah ketidakcekapan penguatkuasaan kita yang memang lemah sejak dahulu dan kini menjadi asas kepada keberanian banyak pihak dalam tindak tanduk mereka. Itu belum termasuk pusat-pusat internet yang boleh diakses oleh pelajar dari tahap rendah hingga ke peringkat menengah tanpa kawalan. Mereka menyediakan premis mereka dengan tujuan pelajar berasa selesa dan terlindung untuk melihat segala gambar dan video lucah dari internet. Melalui risikan dan pemerhatian, jika seorang remaja ingin membeli sebuah telefon bimbit , mereka akan menerima secara percuma berpuluh-puluh video seks untuk dinikmati dalam telefon bimbit. Kebanyakkan video bekenaan pula adalah rakaman adengan oleh anak-anak Melayu yang hanyut dalam arus hendonisme kesan penularan wabak seks bebas ini.

Dalam konteks ini punca utama untuk mengenal pasti punca ialah kelemahan institusi kekeluargaan dan masyakarat kita. Sikap tidak ambil peduli terhadap kegiatan anak-anak menyebabkan berlakunya gejala yang dinyatakan. Malah apakah kewajaran memberikan telefon bimbit kepada remaja sebagai alat yang begitu diperlukan oleh mereka. Lebih mendukacitakan apabila tiada kawalan ibu bapa terhadap penggunaan telefon bimbit oleh anak-anak mereka. Dalam konteks ekonomi masyarakat Melayu yang masih lemah, budaya menabung yang tidak diambil peduli sebaliknya mereka rela membazirkan pendapatan yang tidak seberapa untuk membekalkan alat komunikasi tersebut yang sebenarnya merosakkan fokus dan masa berharga remaja kita. Saya memohon peranan PIBG agar memberikan kesedaran kepada ibu bapa agar mengelakkan anak-anak mereka dibekalkan telefon bimbit di peringkat sekolah rendah atau menengah kerana kesan buruk dan negatif penggunaan alat telekomunikasi tersebut adalah amat banyak berbanding kebaikannya kepada remaja kita.

Penulis juga mengenalpasti kedai bangsa lain yang menjual rokok kepada pelajar perempuan, membekalkan gam untuk dihidu dan minuman samsu kepada anak bangsa kita. Sedihnya peniaga bangsa lain mengaut keuntungan dari bidang yang merosakkan anak Melayu Islam dan yang pasti tidak akan ada pembeli atau remaja bangsa asing yang datang mencari bahan yang dinyatakan di kedai bangsa mereka sendiri. Lihatlah bertapa bijaknya mereka dalam segala bidang sebaliknya bangsa Melayu terus dijadikan kuda tunggangan dalam segala tindakan. Keadaan dan masalah seperti ini akan terus menjadi barah selagi orang Melayu tidak mahu sedar atau sengaja tidak ambil peduli.

Dari segi penguatkuasaan lain seperti pengawalan terhadap unsur seks bebas dan pornografi yang semakin berleluasa kita sebenarnya sudah agak terlewat untuk bertindak. Siapa sebenarnya yang mahu bertanggungjawab untuk membenteras gejala ini. Peranan ibu bapa dan masyarakat sudah semakin longgar , mahu atau tidak kita mengharapkan penguatkuasaan yang sangat tegas dan konsisten dalam pelbagai aspek di negara kita perlu diberikan perhatian demi masa depan remaja Islam khususnya dan masyarakat kita yang semakin alpa dan semakin mementingkan diri sendiri.

Penguatkuasaan yang sangat lemah telah membuka jalan seluasnya kepada kaum lain ‘merosakkan ’ minda dan jiwa keIslaman anak bangsa kita. Selagi tiada ketegasan dan kawalan berterusan dalam hal-hal yang mencemarkan kesucian agama Islam maka kita akan terus menghadapi pelbagai masalah. Malah penulis mahu mencadangkan agar anggota pengautkuasa ini diswastakan secara tender agar tugas ini boleh dijalankan dengan lebih cekap dan penuh dedikasi dan mencakupi pelbagai bidang supaya boleh membantu tugas pegawai-pegawai agensi kerajaan yang sedia ada.

Adakah kita kini boleh berbangga dengan masyarakat kita yang hanya tahu berkokok berderai-derai dan menjerit di sana sini tetapi perkara yang paling asas iaitu hal kekeluargaan dan anak-anak mereka sudah semakin terabai dan kesalahan itu pula dituding kepada pihak lain. Bagi saya kesemua jawapan dan persoalan ini akan melibatkan kepimpinan dalam insitusi kekeluargaan dan masyarakat kita. Peranan ibu bapa sudah tidak setegas dahulu dan peranan guru juga tidak sehebat dahulu. Siapa pun tidak mahu mengaku salah tetapi siapakah yang ingin mengambil peranan untuk mengatasi masalah yang mengundang wabak yang akan meruntuhkan sistem sosial dalam masyarakat Islam di negara kita. Kita kini sudah menjadi masyarakat yang tidak kisah terhadap apa sahaja yang terjadi di sekeliling kita. Inilah harga yang terpaksa dibayar kerana kecenderungan kita yang berpolitik siang dan malam. Lantaran perpecahan dalam masyarakat disebabkan faktor politik dan hal-hal lain kita sudah lupa dan mengabaikan aspek pembangunan jiwa kita sendiri dan seterusnya melemahkan insitusi keluarga. Disebabkan kita dilekakan oleh perkara yang tidak penting tetapi dijadikan sebagai keutamaan, maka sudah pasti fokus dan penyelesaian untuk mengungkai wabak ini akan terus terabai kerana sikap kita seperti bait-bait lagu ‘Bangau oh Bangau’ mencari salah orang lain untuk menutup kelemahan diri sendiri.

عَنْ عَليِ بْنِ اَبِي طَالِبٍ يَقُوْلُ : اِناَّ لجَلُوُسٌ مَعَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

فِي اْلمَسْجِدِ اِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلِيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوْعَةٌ بِفَرْوٍ فَلَمَّا رَآهُ

رَسُوْلَ اللهِ بَكَى لِلَّذِىْ كَانَ فِيْهِ مِنْ النِّعْمَةِ وَالَّذِىْ هُوَ الْيَوْمَ فِيْهِ ثمَُّ قَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كَيْفَ بِكُمْ إِذَا غَدَا أَحَدُكُمْ فِي حُلَّةٌ وَوُضِعَتْ بَيْنَ يَدَيْهِ صَحْفَةٌ وَرٌفِعُتْ اُخْرَى وَسَتَرْتمُْ بُيُوْتَكُمْ كَمَا تُسْتَرُ اْلَكَعْبَةُ, قاَلُوْا ياَ رَسُوْلَ اللهِ نَحْنُ

يَوْمَئِذٍ خَيْرٌ مِنَّا الْيَوْمَ نَتَفَّرَعُ لِلْعِبَادَةِ وَنُكْفَى اْلمُؤنَةَ فَقَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا أَنْتُمْ الْيَوْمَ خَيْرٌ مِنْكُمْ يَوْمَئِذٍ .

(رواه الترمذي)

Maksud:
Daripada Ali bin Abi Talib Radhiyallahu 'anhu: “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair Radhiyallahu 'anhu dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melihat kepadanya, Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana terharu mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu ( kerana sangat dimanjakan oleh ibunya ) dan kerana melihat nasib Mus’ab sekarang ( ketika berada di madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kemewahan di Mekah. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi ( menghiasi ) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’abah?. Maka jawab sahabat, “ Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki”. Lalu Baginda bersabda : “Tidak, keadaan kamu pada hari ini lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”. (Hadith Riwayat Al-Tirmizi)

Berapa ramai di kalangan kita yang menyedari hakikat bahawa kemewahan, budaya hendonisme yang keterlaluan untuk mencari hiburan dan keseronokan serta tipu daya dunia banyak menghalang seseorang daripada melaksanakan ibadah kepada Allah, sepertimana fenomena yang berlaku pada umat Islam pada hari ini. Sedar atau tidak, betapa ramai umat Islam pada hari ini yang tertipu dengan keseronokan hiburan yang melampau dan tipu daya dunia yang mempersonakan. Kekayaan, kemewahan dan budaya hendonisme yang ada telah menyibukkan kita dan menghalang dari melaksanakan ibadah untuk mencari keredhaan Allah. Umat Islam pada hari ini dikelabukan mata dengan mengejar kemewahan dan mencari keseronokan yang berpanjangan tanpa memikirkan apakah persiapannya dan amalan untuk dibentangkan di hadapan Allah pada hari Kiamat nanti. Aduh, betapa malangnya nasib mereka yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk mendapatkan kesedaran dan kefahaman Islam. Marilah bersama-sama kita saling ingat mengingati antara satu sama lain agar kita tidak tergolong di kalangan mereka yang jauh dari rahmat kasih sayang Allah. Adakah kita juga tergolong di kalangan mereka yang cintakan budaya hendonisme dan mengejar kemewahan dunia??

Kisah yang berlaku di kalangan salah seorang sahabat, iaitu Mus’ab bin Umair Radhiyallahu 'anhu sudah cukup untuk membuatkan kita menitiskan air mata keinsafan dan sedar betapa hebatnya iman seorang sahabat yang sangat menyentuh hati kita. Memadailah apa yang digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam tentang beliau untuk dijadikan sebagai iktibar kepada kita. Hadis di atas menggambarkan kepada kita bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam pernah bersedih dan menangis apabila mengenangkan nasib yang menimpa Mus’ab bin Umair. Beliau merupakan seorang anak bangsawan, yang selalu dimanjakan oleh ibunya, pakaiannya dahulu diperbuat daripada kain yang mahal, sehinggalah apabila kecintaannya kepada Allah dan RasulNya mengatasi segala-galannya, beliau sanggup tinggalkan segala kemewahan tersebut dengan memilih Allah dan RasulNya mengatasi segala-galanya. Banyak kitab sirah yang merakamkan kisah yang menyentuh hati ini, sehinggakan diceritakan apabila jenazahnya hendak ditutupkan di kepalanya, bahagian kain yang menutupi badannya terbuka di kakinya. Apabila ditarik ke bahagian kaki, kain kafan yang menutupi jenazahnya di bahagian kepalanya pula terbuka kerana kain tidak cukup lebar, sedangkan semasa hayatnya beliau merupakan seorang anak bangsawan yang kaya dan terkenal di Mekah.

Dalam hadith ini juga, Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa umatnya pada suatu hari nanti akan memperolehi kekayaan, kemewahan dan kelapangan dalan kehidupan. Pakaian mereka yang cantik akan silih berganti setiap hari, hidangan makanan yang tidak pernah putus-putus, rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihasi dengan bermacam-macam perhiasan. Begitulah gambaran terhadap sifat tamak dan haloba manusia dalam menghimpun harta kekayaan yang tidak pernah cukup dan tidak puas melayan nafsu. Mereka sentiasa ingin mencari dan menambah kekayaan sehinggalah kematian datang menjemput mereka. Maka pada ketika barulah mereka sedarkan diri dengan seribu satu penyesalan, di saat sudah tidak berguna lagi penyesalan. Benarlah sepertimana yang pernah diingatkan oleh Rasululhah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam sebuah hadithnya yang bermaksud : “ Seandainya anak adam itu mempunyai satu jurang emas, nescaya mereka akan berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah mereka dimasukkan ke dalam tanah ( kematian ). Orang yang bijak ialah mereka yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan menjadikan dunia ini tempat untuk bercucuk tanam dan akhirat sebagai tempat untuk memetik hasil tanamannya.

Tahniah! Perak Terus Usaha Memperkasakan PR


HARAKAHDAILY.COM
IPOH, 17 Dis: Selepas berjaya menubuhkan Sekretariat Pemuda 24 Oktober lalu, Pakatan Rakyat (PR) negeri Perak terus memperkasa hubungan ketiga-tiga parti dengan menubuhkan pula Sekretariat Wanita PR negeri itu.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil idham Lim dalam satu kenyataan memberitahu, penubuhan sekretariat itu dibuat malam tadi pada satu majlis berlangsung di pejabat PR Ipoh.

"Penubuhan Sekretariat Wanita Pakatan Rakyat Perak diharapkan dapat meneruskan kesimbungan Pakatan Rakyat untuk memastikan kuasa yang dirampas oleh BN dikembalikan di Perak, Sehubungan dengan itu saya berharap penubuhan Sekretariat Wanita ini dapat menguatkan lagi gagasan Pakatan Rakyat di Negeri Perak," katanya.

Sembilan wakil wanita PR negeri masing-masing tiga dari PAS, PKR dan DAP telah hadir pada majlis penubuhan malam tadi.

Mereka adalah wakil Dewan Muslimat PAS (DMP) iaitu Bariah Alang Sapri ( Ketua DMP Negeri), Mazidah Ghani (Penolong SU DMP Negeri, dan Amizan Baharudin ( Pengarah Pilihanraya DMP Negeri).

DAP pula diwakili Leong Mee Meng (ADUN Jalong), Lim Pek Her (ADUN Mengelembu) dan V. Shasha manakala Wanita PKR pula Zuraidah Zakaria (SU Wanita PKR Negeri), Azlina Adnan (Pen. Ketua Penerangan Wanita PKR Negeri) dan Fatimah bt. Ahmad.

"Selepas ini ketiga parti akan bermesyuarat dengan diwakili oleh 3 orang wakil bagi setiap parti dan siapakah wakilnya diserahkan kepada parti masing-masing menentukannya," beritahu Khalil yang juga ADUN Titi Serong.

Hasrat penubuhan sekretariat ini juga katanya dicetuskan pada Mesyuarat Pakatan Rakyat Negeri minggu lalu.

Sehubungan itu katanya, penubuhan tersebut diharap dapat melahirkan gelombang baru dan dapat menarik lebih ramai pengundi wanita khususnya di Negeri Perak.

Tuesday, December 15, 2009

Tazkirah : Perjalanan Menuntut Pengorbanan


pengorbanan

Ujian suatu sunnatullah

Syurga merupakan suatu yang diimpikan oleh setiap individu. Tetapi ia disediakan oleh Allah s.w.t hanya bagi hamba-hambanya yang beriman. Namun jalan untuk menuju syurga tidak semudah dengan sekadar melafazkan kata-kata aku beriman tetapi ia menuntut suatu yang lebih besar daripada itu. Ia menuntut kita untuk melaksanaakan tuntutan-tuntutan iman yang termaktub di dalam Al-Quran.

Firman Allah s.w.t : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. ” (Surah Al-Ankabut : 2,3)

Firman Allah s.w.t : “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?.” (Surah Ali-Imran : 142)

Jalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan generasi para duat

Para pendakwah yang meniti jalan dakwah ini pasti akan diuji dengan pelbagai jenis ujian. Jalan dakwah ini tidak ditaburi dengan bunga-bunga tetapi ia ditaburi dengan duri-duri yang menyakitkan yang akan menghalang perjalanan para da’i . Inilah jalan yang telah dititi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat dan generasi duat yang terdahulu.

Firman Allah s.w.t : Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah As-Saff :10,11,12)

Mereka yang mendambakan syurga Allah s.w.t dan pengampunan daripada Allah s.w.t hanya boleh memilikinya setelah mereka beriman kepada Allah s.w.t dan RasulNya, dan berjuang serta berjihad di jalanNya dengan mengorbankan harta benda dan jiwa mereka. Mengorbankan jiwa bukan sahaja bermaksud mengerahkan tenaga di jalan Allah s.w.t tetapi juga termasuk di dalamnya mengorbankan segala perkara yang kita sukai dan cintai bagi meraih cinta Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t lagi :Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah Al-Hujurat :15)

Rasulullah s.a.w, para sahabat dan generasi duat yang terdahulu membuktikan keimanan mereka dengan menjual diri kepada Allah s.w.t serta mengorbankan segala yang ada pada diri mereka untuk agama Allah s.w.t. Cuba kita kenang kembali kisah ujian yang dihadapi oleh keluarga Yasir, Sumaiyah (Wanita pertama yang syahid), Khabbab ibn Al-Arat yang dipanggang. Sabda Rasulullah s.a.w kepada keluarga Yasir : Sobran Ya al Yasir, inna mauidakal Jannah (bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya bagimu syurga . Para sahabat berkorban di jalan Allah s.w.t samada dengan memberi segala apa yang ada pada mereka bagi mendapatkan syurga ataupun meninggalkan segala yang mampu menghalangkan mereka bagi mendapatkan syurga. Seperti Abu Ubaidah r.a yang telah membunuh bapanya di dalam peperangan menentang musyrikin.

Firman Allah s.w.t : “ Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah At-Taubah : 24)

Kemenangan hadir dari mereka yang sabar dan thabat

0280

Firman Allah s.w.t : (Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).” (Surah Al-Hasyr : 8

Firman Allah s.w.t lagi : Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu – sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka itu pada hari kiamat), hari tiap-tiap diri datang membela dirinya semata-mata, dan tiap-tiap diri disempurnakan balasan apa yang ia telah kerjakan (sama ada baik atau jahat), sedang mereka tidak akan dianiaya sedikit pun.” (Surah An-Nahl : 110,111)

Golongan muhajirin diberikan pujian oleh Allah s.w.t bukan hanya kerana telah melafazkan keimanan bahkan mereka telah membuktikan dan membenarkan iman mereka dengan berhijrah bagi menyelamatkan iman mereka dan mencari ganjaran dan keredhaan daripada Allah s.w.t . Mereka telah meninggalkan segala harta benda mereka di Mekah dan berhijrah ke Madinah tanpa sebarang harta (fakir) dan bersabar dengannya. Dengan itu mereka telah dipuji oleh Allah s.w.t sebagai orang-orang yang benar.

hasan

As-syahid Imam Hasan Al-banna berkata : Ketidahfahaman rakyat pada hakikat Islam akan menjadi ujian bagi kalian. Ulama rasmi pemerintah akan menjadi musuh kepada kalian. Setiap pemerintah berusaha membatasi amal kalian dan memasang halangan di jalan yang kalian tempuh. Mereka akan meminta bantuan dari mereka-mereka yang berjiwa lemah dan berhati sakit. Sebaliknya akan berlaku kasar kepada kalian. Kerana itu kalian akan dipanjara,disiksa,diusir,rumah-rumah kalian digeledah,harta kalian dirampas, dan tuduhan keji dilontarkan pada kalian dengan harapan dpt mengurangkan wibawa kalian. Kemungkinan ujian ini akan berlangsung dgn lama. Sedarilah, saat itu kalian baru mula menapakkan kaki dijalan yang telah ditempuh oleh para mujahid…”

Setelah kita telah diuji dengan pelbagai ujian yang menuntut pengorbanan jiwa dan harta kita dan kita mampu bersabar serta thabat dengan ujian-ujian tersebut, ketika itu barulah kita mula menapakkan kaki kita di jalan dakwah yang sebenar. Wahai para da’i persiapkanlah dirimu!.

Wallahu’alam

http://abuhamzah.wordpress.com/


Monday, December 14, 2009

Mahathir Kolot Bahasa

Rakyat Malaysia amat perlu menguasai bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka memperoleh ilmu dengan lebih cepat dan memastikan negara ini tidak kembali dijajah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata rakyat negara ini tidak akan dapat menguasai sesuatu ilmu dengan cepat jika mereka tidak menguasai bahasa tersebut.

Kegagalan berbuat demikian akan membuka jalan kepada pihak yang lebih berilmu menguasai dan mempengaruhi mereka sama ada secara langsung atau sebaliknya.

"Bahasa Inggeris adalah bahasa bagi Zaman Pengetahuan ini. Negara yang tidak menguasai bahasa Inggeris bukan saja akan ketinggalan, malah menghadapi risiko dijajah, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Tanpa ilmu, sesebuah negara akan ditekan dan diserang," kata beliau selepas menyampaikan ucaptama bertajuk 'Komponen Kepimpinan dan Dasar bagi Masyarakat Berilmu: Amalan Terbaik Yang Dicadangkan bagi Negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)' pada Persidangan Akademi Sains Dunia Islam ke-17 (IAS).

Persidangan itu dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sebuah hotel dekat Shah Alam.

Persidangan empat hari itu, yang bermula hari ini, anjuran bersama IAS, Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Akademi Sains Kehidupan dan Bioteknologi Islam Antarabangsa.

Dr Mahathir berkata hanya dengan mengusai bahasa Inggeris, rakyat negara ini mampu memperoleh ilmu dengan lebih cepat dan tidak tersisih daripada arus pembangunan.

Beliau berkata rakyat negara ini tidak akan hilang jati diri sekiranya mereka mengejar ilmu pengetahuan dengan menggunakan bahasa Inggeris.

"Bahasa Ingegris bukan untuk orang Inggeris saja, tapi adalah bahasa universal. Saya bukan orang Inggeris, tapi saya juga bertutur dalam bahasa itu," katanya.

Dr Mahathir juga berkata kepimpinan sekarang "mengabaikan kejayaan" apabila memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kembali menggunakan bahasa Malaysia bagi tujuan itu.

"Saya rasa kerajaan tak faham tentang pentingnya bahasa Ingeris sebagai bahasa ilmu pengetahuan apabila mereka membuat keputusan menukar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia (dalam mengajar dan mempelajari sains dan matematik).

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan telah membuat keputusan untuk beralih semula kepada penggunaan bahasa Malaysia bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah kebangsaan serta sekolah Cina dan Tamil mulai 2012.

Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, bermula dengan Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam pada 2003 semasa Dr Mahathir menerajui negara.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata ilmu pengetahuan berkembang dengan pesat, terutama dalam bidang sains, sedangkan buku serta penulisan tentang mata pelajaran ini, menggunakan bahasa Inggeris.

Kata beliau, ada kemungkinan kepercayaan tentang sesuatu perkara dalam bidang sains sebelum ini akan berubah, bukan seperti dalam bidang geografi dan sejarah.

"Ilmu sains tidak statik, berbeza dengan bidang geografi dan sejarah di mana faktanya sudah tersusun sedemikian rupa dan terhad.

"Dalam bidang sains, kita boleh persoal prinsip-prinsip sains dan membuat keputusan sama ada ia betul atau tidak," kata beliau sambil menambah bahawa penemuan baru juga banyak disebarkan dalam bahasa Inggeris. BERNAMA
.................................................

Tak kuasai bahasa Inggeris boleh terjajah? Apa buktinya? Thailand hanya berbangga dengan bahasa Siam, tidak pernah dijajah pun? Jepun dan China, majoriti pemimpin2nya tidak pandai cakap BI boleh kuasai empayar ekonomi dunia, mereka lebih dahulu menjajah segala jenis ekonomi dan perdangangan antarabangsa.

Kesan PPSMI, statistik tidak menunjukkan peningkatan dalam Math dan Sains, malah pelajar terus ketinggalan dalam penguasaan ilmu, khususnya pelajar2 luar bandar. Para pakar rujuk bahasa sudah sebulat suara sejak dari awal menentang dasar Kolot ini tapi tetap dungu melaksanakannya, kata Pak Samad, orang begini ibarat "bertelinga satu, berlidah dua". [link]

Sekiranya dikatakan pemerolehan ilmu terbantut tanpa BI, kenapa tidak menyarankan kepada rakyat terutama umat Islam untuk belajar Bahasa Arab bagi memudahkan penguasaan Al Quran dan Hadis dengan lebih mudah? Sedangkan ilmu yang fardhu itu sendiri belum dikuasai oleh umat manusia sekarang.

Sejarah Ketamadunan manusia telah menceritakan empayar yang gah dahulu kekal dengan bahasa ibunda masing2. Kesultanan Melayu Melaka berbangga dengan bahasa Melayu hingga mendapat gelaranlingua franca. Kerajaan Islam yang suatu ketika dahulu pernah menguasai hampir 2/3 dunia kekal utuh beratus tahun [link] kesan penyebaran ilmu berlandaskan bahasa Arab itu sendiri sebagai bahasa wahyu.

Berpijak lah di bumi yang nyata! jangan kolot dalam menilai bahasa. Setiap bahasa lain pembawakannya, turut memberi kesan berbeza kepada penuturnya. Sejak turun temurun, selain Islam menyantuni bangsa Melayu, bahasa Melayu juga turut tidak terlepas berperanan memberi nilai tambah dalam pembentukan orang Melayu yang lazimnya dipuji lemah lembut dan sopan santunnya. Bahasa bergerak maju seiring dengan kemajuan penuturnya.