Tuesday, March 31, 2009

Kepimpinan Islam


I. Definisi Kepimpinan

Kepimpinan merupakan satu ’seni’ yang mengarah kepada suatu proses untuk menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu tujuan yang telah ditetapkan dengan mendorong mereka bertindak dengan cara yang tidak memaksa yakni kerana mereka mahu melakukannya. Kepimpinan yang baik menggerakkan manusia ke arah jangka panjang, yang betul-betul merupakan kepentingan mereka yang terbaik. Arah tersebut boleh bersifat umum, seperti penyebaran Islam ke seluruh dunia, atau khusus seperti mengadakan conference atau persidangan mengenai isu tertentu. Walaubagaimanapun, cara dan hasilnya haruslah memenuhi kepentingan terbaik orang-orang yang terlibat dalam pengertian jangka panjang yang nyata.
Kepimpinan adalah suatu peranan dan juga merupakan suatu proses untuk mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah anggota dari suatu perkumpulan yang diberi kedudukan tertentu dan diharapkan dapat bertindak sesuai dengan kedudukannya. Seorang pemimpin adalah juga seseorang dalam suatu kumpulan yang diharapkan menggunakan pengaruhnya dalam mewujudkan dan mencapai tujuan kelompok. Pemimpin yang jujur ialah seorang yang memimpin dan bukan seorang yang menggunakan kedudukannya untuk memimpin. Fenomena kepimpinan dapat dijelaskan melalui konsep-konsep dasar berikut:

  • Kepimpinan adalah suatu daya yang mengalir dengan cara yang tidak diketahui antara pemimpin dengan pengikutnya, mendorong para pengikut supaya mengerahkan tenaga secara teratur menuju sasaran yang dirumuskan dan disepakati bersama. Bekerja menuju sasaran dan pencapaiannya memberikan kepuasan bagi pemimpin dan pengikutnya.
  • Kepimpinan juga mewarnai dan diwarnai oleh media, lingkungan, pengaruh dan iklim di mana dia berfungsi. Kepimpinan tidak bekerja dalam ruangan yang hampa, tetapi suasana yang diciptakan oleh pelbagai unsur.
  • Kepimpinan sentiasa aktif, namun boleh berubah-ubah darjatnya, kepentingannya dan keluasan tujuannya. Kepimpinan itu bersifat dinamik.
  • Kepimpinan bekerja menurut prinsip, methodologi dan matlamat yang pasti dan tetap.

II. Kepimpinan yang Efektif

A. Apakah kepimpinan yang efektif?

Kepimpinan yang efektif ialah suatu proses untuk menciptakan wawasan, mengembangkan suatu strategi, membangun kerjasama dan mendorong tindakan. Pemimpin yang efektif:

  • Menciptakan wawasan untuk masa depan dengan mempertimbangkan kepentingan jangka panjang kelompok yang terlibat.
  • Mengembangkan strategi yang rasional untuk menuju ke arah wawasan tersebut.
  • Memperoleh dukungan dari pusat kekuasaan yang bekerjasama, persetujuan, kerelaan atau kelompok kerjanya diperlukan untuk menghasilkan pergerakan itu.
  • Memberi motivasi yang kuat kepada kelompok inti yang tindakannya merupakan penentu untuk melaksanakan strategi.

Suatu kombinasi dari proses biologi, sosial dan psikologi yang kompleks menentukan potensi kepimpinan seorang individu. Potensi ini harus dibina dengan baik supaya efektif. Bukan sesuatu yang pelik sekiranya seseorang itu memiliki sifat kepimpinan namun tidak memanfaatkannya. Dalam kehidupan manusia yang berbeza-beza, sifat ini mungkin diwujudkan dalam suatu situasi yang bervariasi dan muncul pada tahap yang berlainan. Pelaksanaan kepimpinan dipengaruhi oleh lingkungan dan peluang serta keadaan yang terbatas.


B. Pemimpin, Pengurus dan Pengikut

Pemimpin mengendalikan bawahannya untuk mencapai tujuan dengan motivasi dan teladan peribadi. Pengurus memperoleh tingkah laku yang diinginkan dengan menggunakan kedudukan rasmi mereka yang lebih tinggi dalam struktur organisasi. Pemimpin yang baik menyedari bahawa mereka juga harus menjadi pengikut yang baik. Boleh dikatakan, pemimpin juga harus melapor kepada seseorang atau kelompok. Oleh sebab itu mereka juga harus mampu menjadi pengikut yang baik. Pengikut yang baik harus menghindari persaingan dengan pemimpin, bertindak dengan setia dan memahami serta menunjung baik idea, nilai dan tingkah laku pemimpin secara konstruktif. Pengikut atau pemimpin terikat dalam suatu hubungan yang terarah. Oleh itu, pemimpin harus sentiasa memberi perhatian pada kesejahteraan anak buahnya. Pengikut pula harus mendukung pemimpin selagi pemimpin berada di landasan yang benar dan lurus.


III. Ciri-Ciri Pemimpin Islam

Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa pemimpin suatu kelompok adalah pelayan kelompok tersebut. Oleh kerana itu, pemimpin hendaklah melayani dan menolong orang lain untuk maju. Beberapa ciri penting yang menggambarkan kepimpinan Islam adalah seperti berikut:

  • Setia Pemimpin dan orang yang dipimpin terikat kesetiaan kepada Allah. Tujuan Pemimpin melihat tujuan organisasi bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas.
  • Berpegang pada Syariat dan Akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan golongan oposisi atau orang-orang yang tidak sehaluan dengannya.
  • Pembawa Amanah. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Qur’an memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah dan menunjukkan sikap baik kepada pengikutnya sebagaimana Firman Allah SWT:


“iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).

Monday, March 23, 2009

Keberkatan Rezeki

KEKAYAAN tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta dan rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak serta mencukupi. Sebaliknya, tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam satu kisah, diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan pada lengannya. Baginda menepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman: “Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya? Nabi Ayub menjawab, “Ya benar; demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatan-Mu”.

Kisah ini menegaskan pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan Allah. Cara mendapatkan keberkatan daripada Allah, antaranya:
 Bersyukur atas apa yang diberikan Allah.
 Belanjakan harta pada jalan diredhai Allah
 Berusaha cari rezeki halal
 Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan beri sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
 Bersedekah kepada anak yatim, miskin, jika boleh setiap hari. (Cari anak yatim untuk diberikan) kerana dengan izin Allah akan diganti tanpa kita sedari.
 Ikhlaskan pemberian, sedekah hanya kepada Allah bukan mengharap pujian (pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dulu, selepas itu barulah kepada jiran dan orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita kerana sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
 Hulurkan pemberian sunat secara rahsia tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
 Konsep sedekah: Berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam al-Quran (surah al-Imran ayat 92).
 Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat, bukan untuk dunia)
 Amalan diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jual beli (perniagaan). Menurut Nabi SAW, 9/10 (90 peratus) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 saja. Nabi Muhammad SAW sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan jujur, cekap dan amanah.

Peniaga amanah akan dibangkitkan bersama nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan adalah amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan oleh orang Islam. Jika tidak aktiviti ini, seluruh umat Islam akan menanggung dosa.
 Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. Dalam hadis, Nabi SAW menerangkan setiap awal pagi, ketika terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, “Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan harta kepada Allah.” Yang satu lagi menyeru, “Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek).”
Orang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: “Takutilah api neraka walaupun dengan sebiji tamar.” Dan sabdanya lagi: “Sedekah itu penghapus dosa seperti air memadam api.”

Jika dapat diamalkan, rezeki yang dikurniakan Allah akan kekal walaupun sudah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang sudah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta, belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi daripada sumber yang kita tidak ketahui.
Bersedekah itu boleh dilakukan oleh semua orang sekalipun orang itu tidak berharta. Amalan bersedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana bersedekah adalah lambang kesyukuran kepada Allah, pelaksanaan perintah Allah dan mempererat hubungan persaudaraan serta silaturahim sesama Muslim.

Sedekah juga adalah cara mengukuhkan hubungan antara hamba dengan Allah dan di antara hamba sesama hamba. Firman Allah: “Wahai orang beriman, nafkahkanlah sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepadamu, sebelum datang hari yang tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan yang akrab dan tiada lagi syafaat padanya. Dan orang yang kafir itu adalah golongan zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 254)

Nizar calon PAS di Bukit Gantang


Harakahdaily Mon Mar 23, 09 11:07:13 pm MYT
TAIPING, 23 Mac (Hrkh) - Menteri Besar Perak Ir Dato' Seri Nizar Jamaluddin telah diumumkan sebagai calon untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang 7 April depan.
Pengumuman itu dibuat di Padang Kota, Taiping sebentar tadi di hadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat.
Beliau yang juga Adun Pasir Panjang dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.
Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta manakala di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland dan Miano Italy.
Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini).
Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).
Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia awal bulan lalu.


Penggantungan Harakah, tembakan pemedih mata dan pencalonan Nizar


Harakahdaily.com
Ahmad Lutfi Othman Tue Mar 24, 09 5:36:21 am MYT
ISNIN 23 Mac, hari bergelora. Meskipun tiada hujan, namun langit kelabu. Sejak Harakah dilancarkan 22 tahun lalu, tiada detik sukar seperti petang itu.
Tepat jam 4.55 petang, faks dari Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, memancung keheningan pejabat. Saya agak keletihan, baru pulang dari Putrajaya. Fikrah Harakah edisi Isnin menunggu untuk diisi. Bahan belum mencukupi.
Sebaik keluar lif di tingkat dua, rakan wartawan Nyza Ayob menyapa: "Dah tengok surat KDN?' Tanpa menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku, saya hanya menggeleng. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja debar jantung berdegup kencang.
"Harakah kena gantung tiga bulan!" Maklum Nyza, masih tersenyum. Bagi saya, ia bagai petir menyambar. Surat ringkas dua perenggan hanya memaklumkan KDN menggantung permit lidah rasmi PAS yang kini sudah dianggap akhbar alternatif no. 1 itu, selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.
Terdetik di hati, "masakan secepat itu, bukankah baru kelmarin Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar menelefon pegawai KDN menjelaskan isu surat tunjuk sebab dari KDN?"
Segera saya memanggil pembantu, Atriza Umar, mencarikan surat bertarikh 26 Feb lalu, yang ditandatangani Che Din Yusoh. Saya mahu dapatkan nombor telefon bimbitnya -- sambil menahan sabar -- untuk mendapatkan penjelasan. Ya, mengapa KDN harus tergesa-gesa sekali? Dunia belum kiamat. Umno belum terlungkup.
Bukankah selama ini KDN banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan, sehingga terpaksa menarik balik, atau dalam beberapa kes tahanan ISA, antaranya membabitkan seorang wartawan wanita sebuah akhbar Cina, harus membebaskan segera selepas memberikan alasan penahanan yang tidak masuk akal.
Memang KDN tidak belajar dari kesalahan walaupun menterinya bertukar, perdana menteri bergilir.
Perbualan saya dengan Che Din tidak wajar dirakamkan di sini. Nokhtah.
Saya mula berkhidmat di Harakah seawal seminggu sebelum Harakah sulung diterbitkan, April 1987. Walaupun keluar-masuk Harakah lima enam kali, rasa saya tidak pernah sekalipun Harakah gagal diterbitkan atas halangan KDN, waimma satu keluaran.
Apa yang tidak disebut tentang "kediktatoran" Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri? Namun beliau hanya mencantas kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.
Dalam era reformasi yang memuncak itu, ketika edaran Harakah meningkat daripada 60,000 naskhah sehingga mencecah 400,000 naskhah, dan Mahathir cemas menghadapi pilihan paling getir baginya, 1999, tetapi Harakah tidak pernah diganggu seteruk ini.
Memang jualannya dihadkan kepada ahli PAS di premis parti sahaja dan kandungannya ditekankan agar mematuhi skop dan konsep yang diluluskan, iaitu hanya memuatkan berita dan rencana yang berkaitan PAS sahaja, tetapi arahan gantung, apatah lagi selama 3 tahun - satu tempoh yang relatif panjang - tidak pernah dikuat-kuasakan.
Abdulah Ahmad Badawi pula, selepas kalah lebih teruk pada 8 Mac 2008, yakni lebih buruk berbanding prestasi Mahathir pada Nov 1999, namun beliau tetap menerima permohonan PAS untuk mengembalikan kekerapan Harakah kepada dua kali seminggu. Ada tanda jiwa besar di situ.
Lalu, bahana siapakah yang mencetuskan onar sedahsyat ini? Menterinya masih Syed Hamid Albar, Abdullah tetap PM, tapi siapakah yang mahu percaya dengan dakwaaan bahawa tindakan zalim ini bukan didorong oleh kepentingan politik yang cukup sarat? Zaman sudah berubah. Dunia semakin telus. Media baru membentuk realiti.
Tanpa perlu berpakat, semua mata tertumpu kepada Najib Razak. Tuduhan ditujukan kepadanya. Beberapa hari lepas saya menelefon Zunar, Ketua Pengarang Suara Keadilan, memberitahu Harakah kena surat tunjuk sebab, atas alasan teknikal yang lazim digunakan.
Zunar menyanggah tanggapan bahawa Najib akan secepat itu "main kasar" dengan akhbar alternatif. Saya boleh bersetuju dengan Zunar. Kami langsung tidak terlintas Najib akan melakukan perbuatan sehodoh ini.
Malamnya, selepas makan di Restpran Haslam, saya mendapat SMS daripada Azizi Hj Abdullah: "Belum apa-apa gas dan water canon dah disembur di Padang Awam Cinta Sayang, Sungai Petani malam ini. Dajai. Habis cempera."
Saya terus hubungi wartawan Kedah, Izwan Abdul Halim. Dari jauh, suara Izwan serak, macam menanggung pedih disembur gas pemedih. Segera saya putuskan talian. Darah menyirap lagi. Nampak jelas penggantungan Harakah, Suara Keadilan memang dirancang untuk menghadapi situasi sulit BN terutama pilihan raya kecil dan perhimpunan Umno yang penuh rasuah itu.
Mujur ada berita menyejukkan hati. Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih calon PAS Bukit Gantang. Peluang Nizar terbuka, tapi tidak boleh diremehkan potensi menang BN. Ini pilihan raya paling kritikal buat Umno. Banyak peluru yang disimpannya. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu bukan indikator segalanya cerah di sini.
Memang Nizar aset terbaik bagi menguji penerimaan rakyat Perak atas kemelut yang berkecamuk di negeri itu.
Sama-samalah kita bergelut dalam pesta demokrasi yang serba pincang ini, ya ... walaupun mungkin tanpa Harakah, berdepan tembakan gas pemedih mata, dan 'kesamsengan' jentera BN di bawah pengarah barunya ini, sambil mengharapkan ada kewarasan bagi membetulkan keadaan.

Laman Blog Yang Dinanti-nantikan


Sebuah laman blog yang paling dinanti-nantikan ramai akan mula dilancarkan pada minggu hadapan.
Blog ini juga dijangka dapat menandingi blog terkenal kepunyaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah berjaya meraih kunjungan yang tertinggi.
MB beralih ke blog setelah pusat enggan lulus lesen radio


KOTA BHARU, 23 Mac (Hrkh) - Kecewa kerana Kementerian Penerangan enggan membenarkan kerajaan Kelantan mengendalikan radio sendiri menyebabkan Menteri Besar beralih kepada blog bagi menyebarkan dakwah.
“Sebelum ini kerajaan negeri pernah memohon lesen radio tetapi kerajaan pusat tak benarkan, jadi kalau ada blog saya boleh sampaikan segala-galanya kepada rakyat,” kata Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya beliau akan menggunakan sebaik mungkin kemudahan blog bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat.


Menurutnya perkembangan teknologi maklumat sekarang perlu direbut termasuk membangunkan blog sendiri sebagai tatapan umum.
“Saya akan melangkah masuk ke era siber dengan menulis dan menyampaikan maklumat serta berdakwah melalui blog. Saya akan jadi blogger jugalah,” ujar beliau ketika ditemui pada satu program di sini, baru-baru ini.
Ditanya mengenai isi kandung blog tersebut, katanya beliau cuba sedaya upaya untuk menulis sendiri terutamanya berkaitan Islam dan akan dibantu pegawai-pegawai di Pejabat Menteri Besar.
Blog Menteri Besar akan dilancar sempena majlis pelancaran Wi-fi A�Ptus.Net sebuah agensi di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK) bertempat di ruang legar KB Mall, Khamis ini.

Di Kelantan beberapa wakil rakyat mempunyai blog sendiri termasuk Adun Bunut Payong, Dato’ Takiyuddin Hassan, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar, Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad dan Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.
Manakala Dato’ Husam Musa mempunyai laman web yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.

Temu Bual Eksklusif bersama Tengku Razaleigh Hamzah

Temu Bual Bahagian Satu

Temu Bual Bahagian Dua

Temu Bual Bahagian 3