MERDEKA. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan 52 tahun kemerdekaan negara ini. Kini negara kita Malaysia telah menjadi sebuah negara maju di mata dunia. Namun disebalik 52 tahun mengecapi dan menikmati kemerdekaan, masih ada masyarakat di negara ini terutama generasi muda (tidak semua) yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan sebenar menurut Islam.
Ya. Apabila kita berbicara tentang erti kemerdekaan, mungkin setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.
Kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Selain itu, menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka.
Walaupun dikatakan negara telah mencapai 52 tahun merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda. Tidak hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan sebagainya. Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan” ? Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara. Tidak sayukah hati kita melihat kegilaan ini ? Yes. Negara Merdeka !! Tetapi anak-anak muda (bukan semua) HANCUR!!! Erti kemerdekaan bagi generasi muda kini sebenarnya sudah luntur dan lusuh di jiwa mereka serta tidak dihargai lagi. Ini terbukti apabila berlakunya kes-kes jenayah yang membabitkan golongan ini sepertimana disebut di atas. Apa yang mereka tahu pada 31 Ogos setiap tahun adalah cuti umum kemerdekaan.
Di zaman teknologi ini, penjajahan datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz walaupun sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata. Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.
Oleh itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub’ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.
- Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
- Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah SWT bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.
- Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
- Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.
- Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.
- Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.
No comments:
Post a Comment