Tuesday, August 4, 2009

Campur Tangan Kerajaan Negeri Mengurangkan Tekanan Kg Buah Pala


http://wargamarhaen.blogspot.com
Campur tangan kerajaan negeri berjaya menenangkan hati penduduk Kampung Buah Pala yang gundah gulana memikirkan tempat tinggal mereka yang ingin dirobohkan hari ini.

Seawal pagi mereka telah bersiap sedia untuk menghalang orang-orang yang dihantar pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd yang mahu merobohkan kampung mereka.

Kehadiran Timbalan Ketua Menteri ll , Prof Ramasamy bagaimanapun berjaya menenangkan keadaan dengan mengkhabarkan kepada penduduk kampung tentang perbincangannya dengan pihak pemaju.

Sebelum ini, seperti yang umumkan oleh Syarikat Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang, pemaju akan menjalankan kerja-kerja perobohan Kampung Buah Pala pagi tadi.

Pada awal pagi lagi, penduduk Kampung Buah Pala telah membentuk perisai manusia untuk menghalang 50 orang upahan pemaju dari merobohkan kampung mereka.

Kira-kira jam 11 pagi tadi, suasana menjadi tegang apabila orang-orang pemaju tiba di kampung tersebut dengan bersenjatakan batang besi dan tukul untuk merobohkan rumah-rumah di situ.

Menyedari kehadiran mereka, 300 penduduk kampung cuba menghalang sambil melaungkan slogan mengutuk pemaju. Lebih 100 anggota polis dikerah ke tempat kejadian.

Prof Ramasamy yang tiba kira-kira jam 9.00 pagi terus bertemu dengan penduduk kampung dan memberikan mereka jaminan nasib penduduk akan terus dibela dan tidak akan berlaku sebarang perobohan kampung oleh pihak pemaju pada hari ini.

Beliau memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa pemaju tidak akan melakukan sebarang perobohan kerana beliau sendiri telah menghubungi pemaju Nusmetro.
Kerajaan negeri juga katanya akan mengadakan perbincangan dengan penduduk kampung bagi menyelesaikan isu Kampung Buah Pala malam ini.

Dalam pertemuannya dengan penduduk kampung, beliau turut mendengar luahan hati penduduk yang khuatir dengan nasib yang bakal menimpa mereka dan mahu langkah-langkah efektif diambil oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan kemelut Kampung Buah Pala.

Polis juga telah bersiap sedia di Kampung Buah Pala sekitar 7.45 pagi untuk menghadapi segala kemungkinan. Turut bersedia sebuah ambulan dari Jabatan Kesihatan. Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga kelihatan bersedia untuk memotong bekalan elektrik di kampung berkenaan.

Penduduk Kampung Buah Pala telah mula berkumpul dari pukul 6.30 pagi. Orang kampung dan kanak-kanak telah membuat benteng di jalan utama masuk ke kampung tersebut.

Sebelum ini Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan arahan supaya penduduk Kampung Buah Pala mengosongkan kediaman mereka selewat-lewatnya 3 Ogos supaya pemaju boleh meneruskan usaha memajukan kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, penduduk telah memfailkan rayuan dan kes ini akan didengar semula di Mahkamah Persekutuan pada 18 Ogos nanti.

..............................................

Alhamdulillah, mudah2an nasib penduduk terbela. Kasihan penduduk yang telah sekian lama menetap di kg tersebut terpaksa bangkit bersuara menentang perobohan tempat tinggal mereka. Sebelum ini pun telah banyak kes seumpama itu berlaku di Malaysia. Semoga ada penyelesaian yang terbaik. win win situation. Masing-masing mendapat manafaat.

1 comment: