Wednesday, August 19, 2009

Sejarah Solat Sunat Tarawih


Definisi Tarawih
ialah bermaksud duduk bersenang-senang atau beristirehat. Manakala Solat Tarawih bererti solat sunat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya’. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula.

Tujuan utamanya ialah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan, dengan ibadat-ibadat sunat seperti solat Tarawih, solat Witir dan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

Aishah r.a. meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w. solat (Tarawih) empat rakaat pada waktu malam, setelah itu beristirehat. Baginda duduk lama sehingga saya kasihan melihatnya. Saya berkata kepadanya: “Demi Allah wahai Rasulullah! Dosa-dosamu telah diampuni Allah, sama ada dosa yang terdahulu dan yang terkemudian; maka untuk apakah tuan bersusah payah solat seperti ini?”

Baginda menjawab: “Bukankah lebih baik kalau aku menjadi hamba yang bersyukur?”


Qiyamu Ramadhan

Solat Tarawih juga disebut dengan Qiyamu Ramadhan. Solat ini dikerjakan selepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isya’ dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud bahawa sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadhan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan ikhlas mengharap ganjaran dari Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu

Istilah Qiamu Ramadhan juga dimaksudkan bahawa umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, iktikaf dalam masjid berzikir dan seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat Tarawih setahun sekali ini. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan.


Sejarah Solat Tarawih

Sejarah solat sunat Tarawih ini dimulai oleh Rasulullah s.a.w. di Masjid Nabawi. Menurut baginda Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat Tarawih ini di masjid, lalu para sahabat mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda mengerjakan lagi solat Tarawih di masjid, dan para sahabat semakin ramai datang dan mengikutnya.

Pada malam yang ketiganya lebih ramai lagi para sahabat telah sedia menunggu ketibaan Rasulullah s.a.w. di masjid. Tetapi baginda tidak hadir. (Baginda mengerjakan solat Tarawih itu di rumah). Esoknya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu. Aku tidak hadir pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu.”

Jika solat Tarawih itu difardhukan, tentulah sangat memberati umat Islam.

Perhatikan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir b. Abdullah yang ertiny

"Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir. Maka pada malam berikutnya kami telah berkumpul di masjid, dan kami mengharapkan baginda keluar tetapi baginda tidak turun di masjid sehinggalah waktu Subuh. Kemudian kami masuk menemuinya dan kami berhimpun di masjid dan mengharapkan Rasulullah s.a.w. bersolat dengan kami." Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas kamu."


Tarawih Zaman Umar Al-Khattab

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, semakin ramailah umat Islam mengamalkan solat sunat Tarawih ini. Menurut Abdul Rahman bin Ubaid Al-Qari, pada suatu malam di bulan Ramadhan, beliau pergi ke masjid bersama Khalifah Umar Al-Khattab.

Setibanya di masjid, beliau dapati ramai orang yang berkelompok-kelompok membuat jamaah-jamah mengerjakan solat ini. Sebahagiannya mengikut seorang imam dan sebahagian lagi mengikut imam yang lain. Melihat kepada amalan yang tiada keseragaman itu, Khalifah Umar berkata: “Aku bermaksud menyuruh mereka supaya berimam kepada seorang imam yang baik bacaannya.” Seterusnya beliau menyuruh mereka berimamkan Ubai bin Ka’ab.

Pada malam berikutnya mereka mengerjakan solat Tarawih dengan seorang imam. Khalifah Umar berkata: “Ini termasuk bid’ah yang baik; tetapi orang yang tidur mendapat pahala lebih besar daripada mereka yang beramai-ramai bersolat tarawih itu.” Maksud Khalifah Umar, orang yang mengerjakan solat Tarawih pada akhir malam (setelah tidur lebih dahulu) mendapat pahala yang lebih besar daripada yang solat Tarawih pada awal malam.

Bid’ah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah bahawa solat Tarawih itu hendaklah dikerjakan secara berjamaah dengan pimpinan seorang imam yang baik bacaannya. Sayidina Umar sebenarnya hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. pada ketika mula-mula solat Tarawih itu disyari’atkan. Baginda terpaksa memberhentikan cara yang demikian pada malam yang ketiga, kerana takut ibadat solat Tarawih itu diwajibkan kepada umatnya.


Amalan Solat Sunat Tarawih

Di samping mengamalkan ibadat puasa yang diwajibkan, umat Islam digalakan dan disuruh dengan mengerjakan berbagai ibadat sunat yang ditawarkan sepanjang bulan Ramadan yang diberkati Allah itu. Di antaranya yang utama sekali ialah ibadat Solat Sunat Tarawih; dan seterusnya solat-solat Qiamullail (Tahajjud, Hajat, Tasbih), membaca Al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

Allah SWT mengurniakan satu keistimewaan lagi iaitu malam “Lailatul-Qadr” pada salah satu malam sepanjang bulan Ramadhan itu. Seperti yang tersebut di dalam Al-Quran, surah Al-Qadr, mereka yang beribadat pada malam tersebut akan diberi pahala ganjaran seperti beribadat 1,000 bulan (83 tahun).

Fadhilat, kelebihan dan pahala yang paling besar dikurniakan Allah S.W.T daripada berbagai ibadat itu ialah solat sunat Tarawih. Sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya:

“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.
(Hadis riwayat Bukhari)


Hukum Solat Tarawih

Hukum solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat sunat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat sunat Tarawih

Lafaz niat: (Solat Sendiri)
Sahaja aku Solat Sunat Tarawih dua rakaat kerana Allah Ta'al

Lafaz niat Solat Tarawih: (Solat Berjemaah)
Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat(Imam atau makmum) kerana Allah Ta'ala


Berjemaah Lebih Afdhal

Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w., solat sunat Tarawih boleh dikerjakan dengan bersendirian atupun secara berjemaah di masjid atau surau. Telah sepakat pendapat ulama bahawa adalah lebih afdhal solat sunat Tarawih itu dikerjakan dengan berjemaah

Rasulullah s.a.w. pada mulanya mendirikan solat sunat Tarawih di Masjid Nabawi dengan berjemaah. Pada malam yang keduanya, baginda dapati sambutan begitu ramai dari para sahabat, sehingga baginda merasa bimbang kalau umat Islam kelak menganggaap solat Tarawih itu sebagai wajib.

Ternyata benar pada malam ketiganya menjadi bertambah ramai para sahabat yang berhimpun di Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat sunat Tarawih berjamaah bersama Rasulullah s.a.w. Tetapi baginda tidak mahu hadir, kerana bimbang umat Islam akan menganggap ibadat solat itu sebagai wajib, bukan kerana tidak mahu berjemaah.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar Al-Khattab, beliau merasa tidak senang hati melihat umat Islam berkelompok-kelompok di sana sini di dalam Masjid Nabawi mendirikan solat sunat Tarawih. Beliau lalu berusaha menyatukan mereka supaya mendirikan solat sunat Tarawih itu dalam satu sahaja jamaah yang lebih besar dan bersatu, dengan diimamkan oleh seorang yang baik bacaannya.

Perubahan yang dibawa oleh Khalifah Sayidina Umar Al-Khattab itu tidak mendatangkan anggapan bahawa solat Tarawih itu sebagai wajib. Demikian juga bilangan rakaat dari lapan rakaat menjadi dua puluh rakaat tidak dianggap memberatkan mereka. Ini disebabkan pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar itu, keadaan keilmuan agama telah semakin luas dan mendalam, dan suasana mayarakat umat Islam telah stabil. Mereka telah cukup memahami bahawa solat Tarawih itu hukumnya sunat muakkad (sunat yang dikuatkan), bukan fardhu atau wajib. Demikian juga mereka mengamalkan solat sunat Tarawih dua puluh rakaat memandangkan faedah dan kelebihan pahalanya yang amat besar.

No comments:

Post a Comment