Sunday, November 8, 2009

Kisah Negeriku Kedah D.A

Umno Kedah akan melancarkan slogan atau tagline berbunyi 'BN Menang Kedah Senang' bagi menaikkan semangat ahli-ahlinya supaya bekerja lebih kuat untuk menawan kembali negeri ini daripada pemerintahan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata pelancaran rasmi slogan berkenaan akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Gerak Mesra 1Malaysia yang akan diadakan di Yan, 12 Nov ini.

"Pengenalan tagline ini adalah hasil cetusan idea antara ketua-ketua bahagian untuk membangkitkan semangat bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita berazam untuk lakukan yang lebih baik daripada sebelum ini kerana sekiranya negeri ini terus dipimpin pakatan pembangkang, ia akan hilang kesinambungan dengan pemerintah (kerajaan pusat)," katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Tunku, Alor Setar hari ini.

Katanya, sekiranya tidak ada kesinambungan atau hubungan secara terus dengan pemerintah, rakyat akan mengalami kesusahan dan tidak dapat menikmati keseimbangan dari proses pembangunan serta pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Nawawi berkata bukti yang ada dapat dilihat selepas negeri ini diperintah Pakatan Rakyat iaitu tidak ada pelaburan besar yang dibawa masuk untuk kesenangan rakyat.

"Rakyat kena terima hakikat bahawa semua kesenangan adalah hasil pemerintahan BN dulu, selepas diperintah pakatan pembangkang, pelaburan di Kedah hampir kosong peratus, kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri tidak ada yang spesifik," katanya.

Tambahnya, keadaan itu sangat merugikan rakyat, justeru dengan pengenalan slogan baru itu, ia diharap dapat menjelaskan kedudukan perjuangan BN demi kesejahteraan bersama.

Sementara itu, Nawawi berkata selepas pelancaran rasmi slogan berkenaan, Umno negeri akan melakukan gerak kerja dan promosi menyeluruh bagi memastikan objektifnya difahami semua lapisan masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, Umno yakin selepas rakyat memahami perjuangan parti itu, mereka akan dapat menzahirkannya dalam pilihan raya umum kelak, sekaligus menjanjikan kemenangan buat BN. BERNAMA

...................................................................

Kerajaan PAS Kedah terpaksa tanggung kesilapan kerajaan Barisan Nasional dahulu

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah terpaksa berdepan dan menanggung kesilapan yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional(BN)sebelum ini dengan mewariskan legasi hutang mereka berjumlah RM2 bilion.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria, prestasi pentadbiran Kerajaan Kedah dibawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi tahun pertama sepertimana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 menunjukkan kewangan Kedah adalah memuaskan.

"Namun begitu Menteri Besar perlu memastikan tindakan yang telah dilakukan oleh kepimpinan BN dahulu dengan meluluskan balak tanpa kawalan tidak berulang.Semasa BN memerintah Kedah dahulu balak yang diluluskan ditempat lain, tempat lain pula yang ditebang.

"Sehektar balak milik rakyat yang untungnya mungkin mencapai puluhan ribu ringgit tetapi hanya RM1000 sahaja premiumnya kembali kepada kerajaan ketika itu.Dengan tindakan terkini Datuk Seri Azizan membuka tender balak maka sekaligus ia melonjakkan pendapatan yang diraih oleh Kerajaan Negeri Kedah.Dengan tender terbuka ini perolehan pendapatan hutan ini telah meningkat 205.5 peratus jika dibandingkan semasa pentadbiran BN dahulu."

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah berkata, bagi tahun 2007 semasa Kedah ditadbir oleh Kerajaan BN pendapatan Kerajaan Negeri ketika itu hanyalah berjumlah RM9.21 juta dan kini telah meningkat kepada RM28.14 juta.

"Dengan peningkatan jumlah ini maka banyak manfaat dapat digunakan bagi kesejahteraan dan kebajikan rakyat negeri Kedah.Ini semua adalah ekoran kepimpinan kerajaan negeri yang memahami permainan politik balak yang telah dimainkan sebelum ini oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab."katanya lagi.

No comments:

Post a Comment