Saturday, July 18, 2009

Isti'jal-Penyakit Hati


Satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya boleh menjatuhkan manusia ke jurang maksiat dan boleh meluputkan pahala segala kebajikan ialah tindakan bergopoh-gapah (isti'jal). Mengikut Imam al-Gazali, gopoh-gapah merupakan penyakit kalbu yang mendesak seseorang agar segera mengerjakan sesuatu urusan sebaik-baik sahaja terlintas di hati, tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dulu. Urusan itu lalu dikerjakan dengan terburu-buru nafsu.

Khususnya dalam berbuat amal kebajikan, ada orang yang ingin segera mencapai martabat yang tinggi, lalu dengan tergopoh-gapah mengerjakan ibadat supaya segera mencapai hajatnya itu. Orang yang bergopoh-gapah seperti itu hanya akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadatnya pada peringkat awalnya saja. Apabila hajatnya, matlamat ibadatnya, tidak tercapai dalam masa yang singkat, dia mudah menjadi lemah dan terus kecewa, lantas dia meninggalkan kesungguhannya itu. Kesungguhan dan kegopohannya itu menyebabkan dia kepenatan dan tidak terdaya lagi hendak meneruskan ibadatnya. Sudahnya, kerja ibadatnya terbangkalai dan cita-cita ingin mencapai martabat idamannya itu luput dengan begitu saja.

Dalam keadaan bergopog-gapah, kerapkali seseorang itu melakukan kesilapan sampai melakukan kerja di luar kebajikan pula atau menyeleweng dari syariat. Umpamanya, jika berbibcara, akan tergelincirlah lidah menuturkan kata-kata yang keji atau sa-ia-sia. Jika makan atau minum, akan termakan atau terminum secara berlebihan atau pun makanan dan minuman yang haram atau syubahat menjadi pilihan.

Para Da'ei juga mesti menjauhkan diri dari penyakit isti'jal(gopoh), contohnya berdakwah ingin melihat hasil dakwahnya dengan cepat. Tidak ada kesabaran dan semangat meluap2 untuk berjuangan, mungkin sampai satu ketika Allah memeberi ujian atau dugaan tertentu dia akan jatuh tersungkur. Lebih teruk lagi ada pendkwah yang tidak tahan dugaan dan jatuh dalam lembah maksiat. Ingat! berjuang untuk mendapat Mardhatillah. Bukan untuk keduniaan yang tiada nilai.

Umpamanya, kalau kita tanam pokok, tidak mungkin pokok akan tumbuh dan berbuah pada hari yang sama. Perlu ada kesabaran dan strategi yang tertentu. Perancangan strategi dan pengurusan perlu mantap untuk jangka masa panjang. Tenang dan jangan tergopoh-gapah. Sebagai peringtan sebagai tambahan ialah tentang berdakwah dari dalam untuk merubah sesuatu kumpulan. Berbalik kepada sirah perjuangan nabi, Rasulullah tidak pernah berdakwah dengan masuk dalam sesuatu kumpulan yang jahil tetapi baginda tetap istiqamah dengan perjuangannya dengan mewujudkan kumpulan Islam yang khusus.

Sejarah telah menceritakan banyak kegagalan yang telah dialami oleh pemimpin yang berhajat untuk merubah dari dalam. semuanya gagal dan mendapat jalan buntu akhirnya.Lebih parah apabila dianiaya dan dipergunakan oleh kumpulan tersebut. Ingatlah berjuangan mestilah dalam kumpulan yang benar.

Mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga termasuk dalam penyakit bergopoh-gapah, sebagaimana firman Allah yang mafhumnya:

"Dan manusia mendoakan kehajatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan
adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah" (al-Isra' : 11)

Dalam keadaan tertentu, memang ada orang yang mendoakan keburukan untuk orang lain. Umpamanya, seseorang yang dizalimi akan membanyakkan doa supaya penzalim yang berkenaan mendapat pembalasan segera daripada Allah. Jika doanya itu dimakbulkan, tentulah hatinya berasa senang dan puas, tetapi dia dikira telah melakukan kerja maksiat kerana tindakannya itu.

Lawan "gopoh-gapah" itu ialah "anaah", iaitu ciri kalbu yang membimbing seseorang supaya berlambatan dan tenang, penuh hemat atau berhati-hati mengerjakan sesuatu urusan, yakni terlebih dulu dikaji-selidik, dibuat perancangan dan pertimbangan yang saksama dan berpandangan jauh dengan membuat andaian-andaian tentang kemungkinan akan berlakunya keburukan atau risiko, lalu lebih dulu dirancang cara-cara mengatasinya.

Keadaan yang demikian adalah merupakan ciri-ciri asas sifat warak. Sifat warak ini penting kerana pokok kepada ibadat itu ialah warak iaitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan, penuh hemat dalam membuat pertimbangan terhadapa segala urusan. Jika sebaliknya, maka itulah yang dikatakan: Apabila berbicara, pembicaraannya akan tergelincir daripada kebenaran. Apabila makan, akan termakan makanan yang haram atau syubahat. Demikianlah juga dalam urusan yang lain. Dengan yang demikian, maka luputlah sifat waraknya. Amalan atau ibadat tanpa warak tidak akan menghasilkan kebajikan.

Sifat anaah itu merangkumi dua prinsip, iaitu tawaqquf dan taanni. Maksud tawaqquf ialah terlebih dahulu menyelidiki sesuatu urusan sebelum memulakan pelaksaannya sehingga ternyata kebenaran dan kebaikannya, manakala taanni bermaksud, berhati-hati-hati pada permulaan dan semasa melaksana sesuatu urusan supaya berjalan dengan lancar dan sewajaranya, sehingga tercapai matlamat.

Tindakaan berhati-hati dalam beribadat dan menangani segala urusan (mengikut konsep anaah) itu amat dituntut, manakala tergesa-gesa atau tergopoh-gapah (al-'ajalah) itu ditegah. Rasulullah bersabda, maksudnya:

"Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan kecuali dalam lima perkara,
iaitu mengawinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan mayat,
melayani tetamu dan bertaubat daripada dosa".

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment