KHALIDSAMAD.COM
Saya membaca komen-komen yang telah dikemukakan di dalam artikel Majlis ‘Candle Light Vigil’ & Amalan Memegang Lilin dengan penuh minat. Yang penting bagi saya semua faham, memegang lilin tidak menjadi satu kesalahan semata-mata atas sebab lilin digunakan dalam upacara keagamaan orang Kristian atau Buddha atau Hindu atau mana-mana agama selain Islam. Penggunaan sesuatu objek oleh agama lain dalam upacara keagamaannya tidak dengan sendirinya menjadikan perkara itu haram untuk digunakan oleh orang Islam. Sebagai contoh, loceng.
Jelas juga bahawa pertikaian berhubung pemegangan lilin hanya wajar ditimbulkan sekiranya ianya dipegang dalam majlis keagamaan selain Islam dan sebagai sebahagian dari upacara peribadatan agama tersebut. Pemahaman berhubung perkara ini amat penting supaya kita dapat menentukan sikap kita secara tepat dan jelas.
Sesuatu perkara menjadi haram atas dua sebab, iaitu ‘lizattihi’ yang bermakna atas sebab zat perkara itu sendiri yang haram seperti arak, daging khinzir dan sebagainya ATAU ‘lighairihi’ iaitu atas sebab faktor luaran yang menjadikan perkara yang asalnya tidak haram menjadi haram. Dalam soal memegang lilin ini, jelas bahawa sekiranya ia menjadi haram sekalipun ianya adalah atas sebab ‘lighairihi’.
Sesuatu yang haram atas sebab ‘lighairihi’ tidak menjadi haram secara mutlak seperti perkara yang haram atas sebab ‘lizattihi’. Perkara yang haram atas faktor luaran hanya akan menjadi haram sekiranya sebab ianya diharamkan masih wujud. Sebagai contoh, perkara yang menjadi haram atas sebab ianya digunakan dalam upacara peribadatan agama selain Islam hanya menjadi haram sekiranya ia digunakan sedemikian rupa oleh seorang Islam dengan tujuan meniru atau sebagai sebahagian dari upacara keagamaan tersebut.
Maka persoalan haramnya pemegangan lilin oleh DS Nizar bergantung kepada persoalan samada beliau memegang lilin sebagai sebahagian dari upacara peribadatan selain Islam atau bertujuan meniru upacara peribadatan selain Islam. Jawapannya amat jelas tidak! Oleh itu ianya tidak haram dan tiada kesalahan yang telah dilakukan beliau.
Ada yang mengatakan isu ini isu ‘syubhah’ atau samar serta meragukan, kerana mungkin majlis ‘candlelight vigil’ merupakan majlis peribadatan bukan Islam. Oleh itu, lebih baik kita menjauhkan diri. Bagi saya, ianya hanya meragukan bagi yang tidak tahu dan bagi yang tidak tahu, penyelesaiannya amat mudah. Tanya yang tahu! Kalau dianggap ianya majlis peribadatan Kristian, tanya orang Kristian. Kalau ianya dianggap majlis peribadatan Hindu, tanya orang Hindu dan sebagainya. Tetapi kalau mereka semua jawab ‘tidak’, janganlah kita pula yang beriya-iya mahu mengatakan ‘ya’! Kita pula lebih tahu dari mereka berhubung majlis peribadatan mereka! Cenderung sangat nak mengharamkan semua perkara.
Kita perlu sedar bahawa mengharamkan yang halal adalah SAMA salahnya dengan menghalalkan yang haram.Maka telah timbul juga persoalan ‘adakah cara ini cara yang dianjurkan Islam?’. Dalam soal ini, komen anak murid PAS Shah Alam amat tepat dan membanggakan. Bertuah saya berada di kawasan Shah Alam. Dalam soal SELAIN ibadat khususiyyah, asal tiap-tiap sesuatu adalah mubah (harus) dan semua adalah harus kecuali ada dalil yang mengharamkannya. {‘Al-aSlu filAsyYa’il ibahah’ dan ‘Kullu syaiin mubah illa bi dalil yuharimuhu’}.
Dalam soal ibadat khususiyyah, sebaliknya, iaitu semua tidak boleh dilakukan kecuali ada dalil yang membenarkan.
Maka, sudah pasti bahawa majlis memprotes kezaliman bukan ibadat khususiyyah seperti sembahyang dan puasa. Oleh itu semua perbuatan adalah harus atau dibolehkan selain dari yang ada dalil yang mengharamkannya. Maka, adakah dalil yang mengharamkan memegang lilin dalam majlis ‘candle-light vigil’ yang secara simboliknya telah saya nyatakan dalam artikel asal? Jelas tiada.
Majlis ini tidak juga menjadi haram oleh kerana, mengambil kata-kata Mufti negeri kerajaan lanun itu: “banyak cara lain”.
Sebenarnya dalam persoalan ini UMNO telah berjaya mengalihkan pandangan ummat Islam dari persoalan kematian mendiang Teoh Beng Hock kepada persoalan ‘pegang lilin’. Ummat dan bangsa lain berbahas berhubung kematian beliau, ummat Islam dibawa oleh UMNO untuk berbahas isu ‘pegang lilin’. Mungkin bagi sebahagian ummat Islam persoalan ‘pegang lilin’ ini begitu penting, kerana mereka tak faham dan berjaya dikelirukan oleh UMNO. Tetapi walau penting bagaimana sekalipun, isu ini tidak sepatutnya menenggelamkan isu kematian seorang yang tidak bersalah ditangan SPRM!
Samalah seperti dahulu apabila berlakunya peristiwa Memali. UMNO tonjolkan isu azimat, tangkal dan jampi (Kertas Perintah Peristiwa Memali (1986), m/s: 15-17). UMNO sentiasa memesongkan pandangan rakyat, khususnya ummat Islam dari isu yang sepatutnya menjadi tumpuan mereka. Dalam kes Memali, persoalan pembunuhan kejam orang kampung yang tidak bersalah dan tidak bersenjata ditangan tentera atas arahan UMNO. Begitu juga persoalan kezaliman undang-undasng ISA yang ditentang As-Syahid Ust Ibrahim Libya.
Kini dibawa isu ‘pegang lilin’, ‘anak luar nikah’ dan sebagainya supaya diketengahkan. Soal pembunuhan yang jelas salah terus didiamkan. Inilah sebabnya mengapa kita TIDAK boleh jadikan UMNO sebagai kawan. Mereka sentiasa berusaha memperbodohkan rakyat, ummat Islam khususnya. Bukannya mahu jadikan ummat Islam lebih bijak.
No comments:
Post a Comment