Saturday, June 20, 2009

Apakah Kemunafiqan Bukan Lagi Satu Persoalan


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Namun, di antara MUKMIN dan KAFIR itu, ada sekelompok manusia yang wujud sebagai penyakit. Sebelah kakinya memperlihatkan kebersamaan mereka dengan daerah hitam, manakala sebelah kaki yang lain menonjolkan kebersamaan mereka dengan daerah yang putih. Jika Mukmin diperincikan dengan 5 ayat dan Kafir pula diperjelaskan cukup dengan 2 ayat, kaum yang merewang di antara dua daerah ini, yang digelar sebagai kaum MUNAFIQ, diperincikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'aala dengan ayat yang panjang lebar.
Penyakitnya berbahaya.


Permusuhannya mengelirukan.

Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman bermula daripada ayat ke-8 surah al-Baqarah hinggalah ke ayat yang ke-20, 12 ayat yang panjang lebar diperuntukkan untuk memperkatakan tentang segala tipu muslihat, kelicikan dan kebobrokan golongan ini yang sangat-sangat memudaratkan kehidupan.

Tidak cukup dengan penjelasan di Surah al-Baqarah, sebuah surah diperuntukkan khusus dengan nama golongan ini. Surah al-Munafiqun memperincikan lagi gelagat dan tindak tanduk kelompok ini yang memakai Islam di mulut dan penampilan luarannya, tetapi amat membenci golongan yang bersama dengan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.

Ayuh diteliti, apakah ungkapan Allah Subhanahu wa Ta'aala tentang kaum berpenyakit ini:

"Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.

Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman. Mereka menjawab: Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu? Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)

Allah (membalas) memperolok-olok dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayat.
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).


Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu."

[Al-Baqarah 2: 8-19]

PENUH SINDIRAN

Allah Ta'aala memperkenalkan golongan ini dengan bahasa yang amat menyindir.
Adalah satu kelompok itu… atau dalam bahasa hari ini, "kamu sendiri pun tahu siapa mereka!"
Justeru dalam memperkatakan tentang kaum Munafiq ini, janganlah diacuh-acuh atau dilontarkan provokasi agar 'tuduhan nifaq' itu diberi nama siapa sebenarnya yang dimaksudkan.

Allah Subhanahu wa Ta'aala sendiri membiarkan kelompok ini terdedah tembelang mereka tanpa nama, kerana sesungguhnya yang tidak kenal siapa Munafiq ini adalah si Munafiq itu sendiri, tatkala diberikan peringatan kepadanya agar jangan berterusan melakukan kerosakan, katanya "kami ini kaum yang membawa islah dan kebaikan!"

Tetapi cukuplah dibuat suatu penilaian, berdasarkan tentang kebejatan zahir dan batin mereka, yang didedahkan oleh Allah dengan begitu terpeinci, supaya kaum Mukmin berhati-hati. Jangan asal namanya Muslim, terus sahaja mahu diajak berkawan dan bekerjasama, tatkala yang Muslim jenis itu, ada banyak makarnya yang sudah diberitahu Tuhan.

KUFFAR

Ada pun Kuffar, biar pun mereka menolak Islam, mereka menolaknya atas kepercayaan mereka. Penolakan itu bukan suatu konspirasi yang menjadi api di dalam sekam, sebaliknya api yang tidak menyembunyikan kepanasannya. Warnanya jelas dan hala tujunya jelas.

Justeru urusan kaum Mukmin dengan Kuffar ini lebih telus. Semasa mereka melawan, mereka mesti dilawan. Semasa mereka mahu kepada perdamaian, ketelusan mereka terhadap apa yang mereka mahu, mesti disambut pula dengan 'izzah kaum Muslimin, dengan menerima perdamaian yang diminta.

"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman" [al-Anfaal 8: 61-62]

Biar pun Kuffar itu Kuffar, tetapi dek jelas warna luar dan dalamnya, Allah Subhanahu wa Ta'aala memberikan garis panduan interaksi kaum Mukminin dengan mereka. Dengan kesempurnaan Islam dalam menilai kawan dan lawan, kaum yang lawan itu, andai mahu mencari perdamaian, kaum Mukmin diperintahkan menerima perdamaian tersebut. Biar pun tangan yang dihulur masih dari hati yang kufur, namun jika zahirnya dinyatakan persetujuan untuk berdamai atas prinsip-prinsip utama Islam iaitu keadilan dan berlaku Ihsan, maka kecenderungan itu mesti disambut. Seterusnya bertawakkallah kepada Allah dalam erti kata, jangan putuskan pergantunganmu kepada Allah, selama engkau mencuba perdamaian dengan kaum yang KUFFAR itu.

Allah Maha Mendengar.

Alllah Maha Mengetahui.

Tatkala mereka itu ada perancangan untuk mengkhianatimu, jangan lupa pada Allah yang menjadi asas engkau menerima perdamaian itu. Ketentuan akan datang, perdamaian akan berakhir, kawan kembali menjadi lawan, kerana khianat dan makar yang jahat.
Itu dengan kelompok yang terang warnanya pada IMAN dan KUFUR.

SURAH AL-MUNAFIQUN

Ada pun kaum MUNAFIQ yang duduk di celah kelompok kaum MUKMIN, yang menggaulimu di luar masjid bahkan di dalam masjid, Allah memerintahkan para MUKMIN agar sentiasa berhati-hati, jangan alpa dan jangan terpedaya.

"Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya. (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?" [al-Munafiqun 63: 4]

Justeru janganlah terlalu naif untuk sekalian MUSLIM dipadukan sesama MUSLIM hanya dengan alasan permukaan berjenama MUSLIM. Andai yang Muslim itu memusuhi Muslim yang lain, menyakiti mereka, mengkhianati mereka, membuat makar dengan sesiapa sahaja demi lempias kebencian mereka terhadap kaum yang beriman kepada Allah, tidakkah Muslim yang jenis seperti ini yang dimaksudkan oleh Allah di dalam lanjutan ayat yang berikutnya:

"Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya). Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya)" [al-Munafiqun 63: 7]

Salah satu kelakuan kaum MUNAFIQ ini adalah pada strategi mereka menyekat keperluan hidup orang-orang yang mahu mengikut petunjuk Nabawi. Mereka menyeru agar orang-orang yang beriman dilaparkan, dimiskinkan, disekat dana, ditahan nafkah dan rezeki mereka semata-mata atas satu tujuan yang berdasarkan sangkaan mereka iaitu "agar dengan tekanan itu, orang-orang yang beriman akan berputus asa dan berpecah belah meninggalkan Rasulullah".

Siapakah yang mempelopori strategi yang jelek ini?

Mereka adalah golongan yang solat bersama kamu, bersyahadah seperti kamu, tetapi penyakit hatinya menjadikan kamu sasaran permusuhan mereka. Itulah kaum MUNAFIQ.
Dan kerana jeleknya sebuah KEMUNAFIQAN dan besarnya kemudaratan yang dicetuskan oleh talam bermuka-muka ini, toleransi Islam dalam kepelbagaian agama yang dianuti oleh sebuah komuniti, tetap mencetuskan sebuah perintah yang menggemparkan:

"Dan golongan (Munafiq) yang membina masjid dengan tujuan memudaratkan (orang-orang yang beriman) dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. " [al-Taubah 9: 107]

Kaum perosak itu bukan calon kawan.
Mereka bukan rakan perdamaian.
Justeru yang diperintahkan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam bukanlah diruntuhkan sebuah gereja, atau kuil, atau sinagog, tetapi sebuah MASJID!

Masjid yang dibina oleh kaum yang berlidah Muslim tetapi hatinya amat bermusuh dengan Islam. Itulah masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Projek kaum MUNAFIQ, iaitu sebenar-benar musuh kamu.

Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam memerintahkan beberapa orang sahabat iaitu Malik bin al-Dakhshim, Ma'an ibn 'Adi atau saudaranya 'Asim bin 'Adi dengan arahan berikut:

"Pergilah kamu kepada masjid ini yang ahli-ahlinya zalim dan hancurkan ia serta bakar olehmu masjid itu" [Tafseer Ibn Katheer: 2/508]

Tentu sahaja jika mahu diperkatakan soal persamaan, Masjid Dhirar lebih banyak persamaan dengan Masjid Quba' atau Masjid Nabawi, berbanding dengan rumah ibadat berhala Jahiliah.
Tetapi isunya bukan itu.

Biar pun MASJID vs. MASJID, tetapi sebuah masjid dibina di atas TAQWA manakala sebuah masjid lagi dibina, dengan tujuan mahu membinasakan kaum Mukmin dari dalam. Sebab itu persamaan masjid vs masjid tidak lagi punya sebarang makna. Masjid itu adalah kubu musuh. Biar pun namanya masjid!

BIAR SAHAJA ALLAH URUSKAN

Biar pun kemunafiqan kaum MUNAFIQ itu jelas, malah kepalanya juga diketahui semua, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam masih tidak mengizinkan si kepala MUNAFIQ bernama ABDULLAH BIN UBAI BIN SALUL itu dibinasakan secara personal. Ia bukan permusuhan peribadi. Biar pun Baginda sentiasa disakiti oleh kaum Munafiq hingga isterinya Aisyah radhiyallaahu 'anha sendiri pernah difitnah berat oleh kecelakaan mulut kaum ini, Baginda tetap tidak mengizinkan Abdullah iaitu anak kepada Abdullah bin Ubai bin Salul itu membunuh bapanya.

Hikmahnya besar.

Walau pun kemunafiqan itu adalah sesuatu yang amat berbahaya dan besar, ia tetap berlaku dalam debu dan kelabu yang mengelirukan. Tidak semua orang tahu sebenar-benar tahu akan kes-kes yang membabitkan kaum MUNAFIQ ini, khususnya mereka yang duduk jauh dari Madinah. Maka terhadap kaum yang menyembunyikan permusuhan mereka di sebalik Shahadah dan kesaksian iman itu, Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam MENINGGALKAN kaum itu, MEMENCILKAN mereka dan tidak sama sekali menghukum hapus atau bunuh ke atas Abdullah bin Ubai bin Salul itu, agar jangan nanti ada yang tersalah faham lalu berkata, "Muhammad telah membunuh sahabatnya".

Justeru dalam usaha merapatkan saf KAUM MUKMININ, janganlah terlalu naif diajak sekalian yang melabel diri sebagai MUSLIM untuk bersatu lagi berpadu tanpa asas, kerana di celah-celah MUSLIM itu ada NIFAQ dan MUNAFIQ yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Mereka sebenar-benar musuh. Allah sendiri sudah memberitahu, hati-hati dengan mereka.

Siapakah MUNAFIQ yang dimaksudkan itu?

Ia rahsia Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam dengan Huzaifah radhiyallaahu 'anhu. Tidak perlu disebut atau diberi-beri tahu.

Cukuplah sekadar segala perincian Allah tentang mereka, menjadi pedoman buatmu, wahai pejuang Islam. Jangan disengat dua kali pada lubang yang sama!

1 comment:

  1. salam,

    sama2 muhasabah diri takut2 kita mempunyai ciri2 munafiq.

    dalam perjuang sehebat mana sekalipun akan wujud juga golongan munafiq yang kdg2 kita tidak sedari.

    musuh umat islam adalah dikalangan umat islam sendiri.

    ikhlaskan hati untuk berdakwah

    ReplyDelete