RAMAI kaum intelek hari ini menghadapi krisis yang hebat terhadap agama. Apakah agama merupakan salah satu dari kenyataan-kenyataan hidup? Seandainya agama pernah merupakan satu kenyataan hidup di masa yang lampau, adakah ia masih tetap merupakan kenyataan hidup di zaman moden ini, di mana sains telah mengubahkan seluruh bidang hidup dan dimana tiada tempat lagi untuk sesuatu yang lain melainkan sains dan hakikat-hakikat yang diakui sains saja.
Apakah agama merupakan satu keperluan umat manusia? Atau agama hanya
merupakan satu kecenderungan peribadi semata-mata dengan erti siapa suka boleh beragama dan siapa tidak suka boleh jadi atheis saja kerana kedua-dua pendirian itu sama saja?
Kaum intelek itu juga menghadapi krisis yang sama apabila mereka berdepan dengan
agama Islam. Pendukung-pendukung Islam selalu mengatakan kepada orang ramai bahwa agama Islam adalah satu agama yang unik. Islam bukan semata-mata sistem kepercayaan bukan semata-mata sistem untuk meluhurkan jiwa dan mengasuh manusia dengan perangai-perangai yang tinggi, malah di samping itu semua, Islam adalah satu sistem ekonomi yang adil, satu sistem sosial yang seimbang, satu kumpulan undang-undang civil, undang-undang jinayah dan undang-undang antarabangsa. Islam satu pimpinan fikiran dan satu didikan jasmani dan seluruhnya di dasarkan di atas kepercayaan, bimbingan akhlak dan pembersihan jiwa.
Apa yang dikatakan itu telah membingungkan kaum intelek, kerana selama ini mereka
menyangka Islam sudah mati dan tujuan-tujuannya telah tamat. Justru kerana itulah mereka terperanjat apabila pendukung-pendukung Islam mengatakan kepada mereka bahwa Islam bukanlah legasi zaman purba yang kini disimpan di muzium fikiran-fikiran, peraturan dan kepercayaan kepercayaan tua, malah Islam suatu sistem yang masih hidup hingga ke detik sekarang. Islam mempunyai cukup daya untuk hidup di zaman depan, iaitu daya-daya hidup yang tidak dipunyai oleh mana-mana sistem lain yang diketahui oleh umat manusia sejak dulu hingga sekarang termasuk sistem sosialisma dan komunisma.
Sampai di sini mereka semakin terperanjat, mereka tidak tersabar lagi dan terus
memekik, “Adakah sistem yang telah menghalalkan perhambaan, feudalisma dan kapitalisma, adakah sistem yang menganggapkan nilai kaum wanita sama dengan separuh nilai lelaki dan mengurung mereka di dalam rumah, adakah sistem yang menjalankan hukuman rejam, kerat tangan dan sebat, adakah sistem yang membiarkan penganutnya hidup mengemis dan membahagikan mereka kepada berbagai-bagai kelas yang memeras satu sama lain, adakah sistem yang tidak memberi jaminan hidup yang lumayan kepada orang-orang yang berusaha, adakah sistem yang sedemikian boleh hidup di zaman moden ini apatah lagi di masa depan?
Adakah sistem yang sedemikian mempunyai kesanggupan untuk memasuki satu pertarungan yang maha hebat yang berlaku di hari ini di antara berbagai-bagai sistem sosial dan ekonomi yang berlandaskan prinsip-prinsip ilmiah; adakah sistem yang sedemikian mempunyai kesanggupan untuk berdiri tegak di dalam pertarungan itu apatah lagi untuk menentang dan berjuang?
Sebelum pergi lebih jauh, golongan intelek ini harus lebih dulu mengetahui dan manakah sumbernya mereka menerima pendapat pendapat yang keliru dan meragukan itu, agar mereka benar-benar tahu samada pendapat-pendapat yang mereka laung-laungkan itu merupakan hasil pemikiran mereka sendiri atau mereka melaung laungkan pendapat itu sebagai pak-pak turut yang memekik-mekik sesuatu yang tidak dimengerti oleh mereka sendiri.
Sebetulnya pendapat-pendapat yang keliru dan meragukan itu bukanlah hasil dan usaha-usaha pemikiran mereka yang objektif. Sebagai buktinya marilah kita kembali beberapa langkah ke zaman silam untuk mengetahui secebis sejarah moden.
Di zaman-zaman tengah, Peperangan-peperangan Salib (Crusade) yang sengit telah berlaku di antara negeri-negeri Eropah dan negeri-negeri Islam, kemudian peperangan-peperangan itu berhenti sesudah melalui satu jangka waktu yang lama. Tetapi salah sekali jika ada orang yang menyangka bahwa Peperangan Salib itu telah tamat setakat itu saja seperti yang telah ditegaskan secara terusterang oleh Lord Allenby ketika angkatan beliau selesai menakluk Jerusalem di dalam peperangan besar yang pertama, “Sekarang peperangan-peperangan Salib telah tamat!”
Di dalam dua abad yang lampau penjajahan Eropah mengancam dunia Islam. Inggeris memasuki negeri Mesir pada tahun 1882 berikutan dengan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Khidiwi Taufiq yang telah sanggup bekerjasama dengan penjajah untuk menghancurkan revolusi rakyat yang dipimpin oleh Urabi. Selepas itu Inggeris merasa perlu menjalankan satu polisi untuk memperkukuhkan kedudukannya di negeri-negeri Islam dan untuk menjamin keselamatan mereka dan ledakan semangat Islamiah yang mungkin tercetus pada suatu hari yang hampir.
Di sini biar kita memberi peluang kepada Tuan Gladstone Perdana Menteri lnggeris di zaman Queen Victoria menerangkan polisi itu dengan jelas dan terusterang. Beliau mengangkat al-Quran dan berkata kepada para anggota-anggota Parlimen Inggeris, ‘Selama kitab ini berada di tangan orang Islam, maka selama itulah kita tidak akan menikmati keamanan di negeri itu.”
Jadi, yang menjadi sasaran-sasaran polisi Inggeris ialah melemahkan ilmu agama Islam, mengikiskan kesuciannya pada hati penganut memusnahkan imejnya di dalam fikiran dan hati kecil mereka agar mereka keluar dan agama itu dan menjauhi diri dari undang-undang dan peraturannya, supaya dengan langkah demikian penjajah-penjajah Inggeris dapat bertapak kukuh di negeri itu. Demikianlah polisi yang dijalankan Inggeris di Mesir.
Di samping itu Inggeris mengatur pula satu polisi pendidikan yang mengabaikan pengajian dan penjelasan tentang hakikat agama Islam. Apa yang diajar di sekolah-sekolah hanya ibadat ibadat, sembahyang-sembahyang, zikir-zikir dan ucapan-ucapan tasbih. Cara membaca Quran untuk mengambil berkat dan ajaran-ajaran akhlak secara teori saja. Penuntut-penuntut tidak pernah diajar tentang Islam sebagai satu sistem ekonomi dan sosial, sebagai satu sistem pemerintahan atau sebagai satu sistem pendidikan dan pengajaran atau sebagai satu cara hidup dan pemimpin kehidupan.
Apa yang diajar kepada mereka ialah keraguan-keraguan dan kekeliruan-kekeliruan faham terhadap Islam yang diatur oleh para orientalis dan lain-lain pendokong-pendokong perjuangan salib dan Eropah. Mereka berbuat demikian agar umat Muslimin terkeliru dengan agama mereka sendiri dan agar politik penjajahan Inggeris yang keji itu terlaksana.
Dan sebagai pelajaran ganti mereka mengajar anak-anak muda Islam tentang keagungan Eropah. Mereka diajar bahwa sistem-sistem kemasyarakatan yang sebenar ialah sistem-sistem kemasyarakatan yang telah berjaya membangun negara-negara Eropah. Mereka diajar bahwa sistem ekonomi yang tulin ialah sistem ekonomi yang telah disusun oleh otak-otak orang Eropah, mereka diajar bahwa perlembagaan pemerintahan yang paling baik ialah perlembagaan yang telah dihasil dan dikembangkan oleh pengalaman orang-orang Eropah, mereka seterusnya diajar bahwa hak-hak manusia itu adalah hasil deklarasi revolusi Perancis, dan sistem demokrasi adalah diasas dan dimajukap oleh bahasa Inggeris, sedangkan tamadun hari ini adalah dibantu asaskan oleh Empayar Rome.
Pendeknya orang-orang Inggeris menggambarkan negeri Eropah kepada pelajar-pelajar Islam sebagai satu-satunya negeri raksaksa yang tiada siapa yang boleh menandinginya dan menggambarkan negeri Timur sebagai negara Awang Kenit yang kerdil yang tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri, malah pasti selama-lamanya tunduk dan menumpang kemajuan negeri Eropah.
Dan akhirnya politik yang diaturkan oleh Inggeris telah membawa hasil yang baik, di mana jenerasi-jenerasi muda Mesir tidak lagi merasa mempunyai kewujudan dan keperibadian sendiri, mereka seluruhnya telah diperhambakan Eropah dan mereka telah terbenam sedalam-dalamnya di dalam perbudakan Eropah, mereka tidak dapat melihat dengan mata hati mereka sendiri, mereka tidak dapat berfikir dengan akal fikiran mereka sendiri, mereka melihat mengikut apa yang dilihat oleh orang-orang Eropah dan mereka hanya mendokong fikiran-fikiran yang dikehendaki oleh orang orang Eropah.
Kaum intelek hari ini merupakan buah-buah hasil dan politik yang disusun oleh penjajah. Mereka tidak mengetahui sesuatu darihal Islam kecuali fahaman-fahaman dan gambaran-gambaran yang menimbulkan keraguan, malah mereka tidak memahami seluruh ajaran Islam kecuali mengikut apa yang diajar oleh guru-guru Eropah. Dan justru kerana itu mereka turut menganjur persis seperti orang-orang Eropah supaya agama dipisahkannya dari pemerintahan dan dipisahkan dari sains.
Akibat kejahilan dan kelalaian, mereka lupa bahwa agama yang telah ditinggalkan oleh Eropah itu suatu agama yang berlainan dan agama yang diperjuangkan pendukung-pendukung Islam. Suasana-suasana yang melingkupi Eropah dan yang telah memaksakannya bertindak memusuhi dan memencilkan agama adalah suasana-suasana yang khusus bagi orang-orang Eropah di sana saja. Suasana-suasana itu tidak berlaku di negeri-negeri Islam di Timur, malah tidak mungkin berlaku di sini.
Justru kerana itu apabila kaum intelek kita menyeru agar kita mengetepikan saja agama atau memisahkan agarna dan pentadbiran sosial, politik dan ekonomi negara, maka sebetulnya mereka telah mengimpotkan fikiran-fikiran yang telah disediakan oleh orang orang Eropah dan mengulangi seperti burung kakak tua apa yang diucapkan oleh orang-orang Eropah di negeri-negeri mereka.
Di Eropah pergolakan telah terjadi di antara sains dan agama, kerana gereja-gereja disana telah pun menganut pendapat-pendapat ilmiah dan teori-teori dogmatis yang tertentu dan menganggapkannya sebagai fakta-fakta ilmiah yang qudus yang diturun dari langit. Oleh kerana itu apabila sains teori dan amali mendedahkan kesilapan fikiran-fikiran ilmiah dan teori-teori dogmatis yang didokong mereka, maka tentulah orang ramai di sana mempercayai pendapat-pendapat sains dan menolak’ pendapat-pendapat gereja dan seterusnya tidak mempercayai agama yang diajarkan oleh para padri itu.
Pergolakan ini semakin bertambah sengit, begitu juga keinginan untuk membebaskan diri semakin meluap apabila gereja gereja di Eropah mendakwa dirinya mempunyai kuasa ketuhanan dan bertindak mempergunakan kekuasaan itu dengan sewenang wenang.
Akibahnya kekuasaan-kekuasaan gereja menjadi hantu jembalang yang menakutkan orang ramai siang dan malam. Mereka telah dibebankan dengan berbagai-bagai pemerasan. Mereka dipaksa mematuhi perintah-perintah padri dan mempercayai kekarutatan-kekarutan dan kharafat-kharafat dengan nama Allah.
Ahli-ahli sains disiksa dan dibakar kerana kesalahan, misalnya, mengeluarkan pendapat bahawa bumi ini bulat. Akibat-akibatnya telah menimbulkan reaksi yang buruk, di mana setiap orang yang berfikiran bebas merasa berkewajipan untuk menghancurkan kekuasaan gereja yang jelik itu atau setidak-tidaknya untuk membelenggukan kekuasaan itu agar ia tidak lagi menindas dan mengongkong orang ramai. Dan justru kerana itu usaha-usaha untuk memburuk-burukkan ajaran agama yang digaris oleh gereja dan usaha-usaha mencari titik kelemahan agama Kristian telah menjadi satu kewajipan suci yang didokong oleh segenap cerdik pandai yang bebas.
Tetapi mengapa kita yang tinggal di negeri-negeri Islam turut sibuk seperti orang-orang Eropah? Mengapa kita harus memisahkan sains dan agama? Dan apakah perlunya bagi kita mencetuskan satu pergolakan dan pertentangan sengit di antara sains dan agama? Manakah satu hakikat ilmiah yang bersih dan motif nafsu telah di dapati bertentangan dengan agama dan dengan prinsip prinsip kepercayaan agama? Dan bilakah ahli-ahli sains pernah disiksa dan diburu dalam pemerintahan Islam? Sejarah sendiri telah menyaksikan betapa ramainya tokoh-tokoh ilmu perubatan, ilmu astronomi, ilmu ukur, ilmu fizika dan ilmu kimia yang muncul dibawah naungan pemerintahan Islam. Mereka seluruhnya tidak pernah mengalami komplek pententangan di antara sains dan kepercayaan, begitu juga di antara mereka dan pemerintah-pemerintah tidak pernah berlaku sengketa-sengketa sehingga membawa kepada tindakan-tindakan pembakaran dan penyiksaan.
Apakah sebab yang telah mendorong golongan intelek Islam itu bertindak memisahkan agama dan sains, bertindak mencaci, dan menyalah-nyalahkan agama tanpa pengertian dan pengajian, malah serupa dengan lolongan-lolongan orang yang mengidap demam panas? Sebab tidak lain dan tidak bukan melainkan kerana mereka telah termakan racun penjajah tanpa disedari oleh mereka.
Sebenarnya saya tidak masukkan kaum intelek jenis ini ke dalam perhitungan saya ketika menulis buku ini, kerana saya sedar mereka tidak akan pulang kepada kebenaran sehingga guru-guru yang menjadi ikutan mereka di Barat kembali kepada kebenaran setelah mereka kecewa dengan tamaddun mereka yang tidak mempercayai Tuhan dan setelah mereka sedar bahwa tamaddun yang tidak percayakan Tuhan itu bukanlah jalan keselamatan dan kesejahteraan. Ketika itu barulah mereka kepingin kembali kepada satu sistem hidup yang mendokong kebendaan dan serentak dengan itu menjunjung prinsip-prinsip rohaniab, iaitu satu sistem yang melingkupi kepercayaan dan kehidupan sama serentak.
Golongan yang ada di dalam perhitungan saya ketika menulis buku ini ialah golongan anak-anak muda yang jujur, enlightened dan suka berfikir, golongan anak-anak muda yang benar-benar mempunyai hasrat untuk mencari dan menemui kebenaran, tetapi mereka telah dihalangi oleh kekeliruan-kekeliruan faham mengenai Islam yang ditaburi oleh penjajah, iaitu kekeliruan-kekeliruan yang tidak dapat ditolak oleh mereka kerana kuasa penjajah telah membuta mata mereka dan membiar mereka meraba-raba dalam kegeliraan dan kerana hamba penjajah dan syaitan-syaitan komunisma begitu hebat bekerja menyesatkan mereka supayamereka tidak dapat menemui jalan kebenaran, jalan kebebasan, kehormatan dan kebanggaan.
Ulasan dari buku ‘Salah Faham Terhadap Islam’ oleh Muhammad Qutb
No comments:
Post a Comment