Saturday, January 30, 2010

Ibu Tunggal Jadi Mangsa Kekejaman Polis

Seorang wanita ditembak polis ketika berada dalam kereta, malah ditendang sehingga patah tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta, dengan darah yang mengalir dari tubuhnya. Sejumlah lima tembakan ditujukan kepadanya, dengan dua tembakan terkena pada lengan dan pergelangan tangan, satu pada dada, di samping dua lagi terlepas tetapi meninggalkan luka.

Ketika kejadian ini berlaku, wanita yang bernama Norizan bt Salleh ini berada di sebelah kiri tempat duduk belakang dalam kereta, bersama seorang wanita dan dua orang lelaki yang lain. Mereka yang sedang dalam perjalanan mendapati sebuah kereta MPV muncul di sebelahnya secara tiba-tiba, dan polis di dalam kereta itu mula menembak sebelum mereka mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.

Norizan bt Salleh, 30 mendedahkan insiden yang berlaku pada awal pagi 30 Oktober 2009 ini dalam satu sidang media, bersama peguamnya Surendran, ibunya Siti Alimah bt Abu, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya dan AJK Wanita PKR Rozaini Mohd Rosli, semalam.

Dipaksa untuk membuat pengakuan

Menurut Norizan, rakannya dalam kereta turut diseksa, malah dipaksa polis untuk mengaku bahawa mereka telah melakukan jenayah merompak. Apa yang peliknya, mereka tidak melalui prosedur soal siasat dan tahanan. Oleh itu, Norizan yang tidak mempunyai rekod jenayah langsung tidak tahu mengenai "kesalahan yang dilakukannya" sehingga hari ini, lebih-lebih lagi beliau tidak didakwa di mahkamah.

Mengimbas kejadian yang berlaku tahun lalu ini, Norizan menceritakan bagaimana beliau pulang ke rumahnya dari rumah kawan di Segambut, Kuala Lumpur pada pukul tiga awal pagi, dengan menaiki kereta Waja. Mereka melalui MRR2, dan beliau mendapati sebuah kereta MPV di sebelah kereta mereka ketika dalam perjalanan.

Menurut Norizan, polis di dalam kereta itu menghalakan pistol ke arah mereka, dan mula menembak sebelum mereka sempat berhenti. Peluru menembusi kereta mereka, malah lima tembakan dilakukan ke arah dirinya, dengan salah satu terkena pada dada, sehingga darah mengalir tanpa berhenti.

Norizan menekankan beberapa kali, bahawa mereka tidak tahu apa-apa ketika kejadian itu berlaku, malah tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Kemudian, Norizan mula kabur, dan tidak sedar di mana keretanya berhenti. Tiba-tiba, pintu kereta dibuka, dan polis menghalakan pistol ke arahnya.

Kemalangan jalan raya, kata polis

Wanita yang tidak bersenjata ini meminta tolong, tetapi dibalas pula dengan tendangan polis. Beliau merangkak keluar dan ditendang oleh polis yang sama, sebelum dipijak belakangnya, yang berakhir dengan retaknya dua tulang rusuknya.

Norizan (gambar kanan) berkata, beliau nampak dirinya dikepung lebih daripada 10 kereta polis. Norizan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat. Empat hari kemudian, beliau dihantar ke Institut Jantung Negara. Sejumlah 11 hari beliau tinggal di hospital di bawah pemantauan polis.

Ketika keluar dari hospital, Norizan dimaklumkan bahawa kos rawatan sejumlah RM20,000 perlu ditanggungnya sendiri, dan bukan polis yang mencederakannya kerana polis memberitahu hospital bahawa Norizan ditimpa kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, ibu tunggal yang masih menganggur, dan mempunyai seorang anak berumur 10 tahun ini gagal menjelaskan hutang ini.

sumber klik (di sini)

1 comment:

  1. Polis mabuk.
    nak kata apa lagi kalau x mabuk .org yg waras x kan bertindak mcm tu

    ReplyDelete