Wednesday, December 9, 2009

Tazkirah : Bersama Hayati Akhlak Islam


Islam adalah al-Din yang serba lengkap dan menyeluruh dalam pelbagai lapangan hidup iaitu aspek aqidah, syariah dan akhlak. Rasulullah telah menerima daripada Allah satu risalah lengkap tersebut melalui wahyu al-Quran al-Karim yang merupakan sumber rujukan utama Islam

Kemudian, Rasulullah diperintahkan untuk menyampaikannya kepada seluruh umat manusia di samping mempraktikkan ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran itu. Akhirnya, Islam diwarisi secara turun temurun dari satu generasi kepada satu generasi yang lain sebagaimana asalnya tanpa sebarang keraguan dan syak wasangka.

Salah satu daripada paksi utama yang menegakkan binaan Islam ialah akhlak. Akhlak dalam Islam mempunyai kedudukan yang istimewa di mana al-Quran telah memuji kemuliaan akhlak yang dipamerkan Rasulullah sebagaimana firman Allah maksudnya: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam, ayat 4)

Ditambah lagi, Rasulullah telah menetapkan tujuan utama kebangkitannya mendukung agenda perjuangan risalah Islam adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak terpuji sebagaimana sabdanya yang bermaksud : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak yang terpuji. (Hadis riwayat Imam Malik)

Dalam erti kata lain, akhlak Islam tidak dapat dipisahkan dalam setiap gerak geri kehidupan manusia tidak kira sama ada dalam hubungannya dengan Allah mahupun hubungannya sesama manusia, malah ia merupakan antara hikmah yang paling utama di sebalik pensyariatan sesuatu ibadat dalam Islam.

Sebagai contohnya, solat fardu yang diwajibkan Allah telah dijelaskan hikmahnya di sebalik pensyariatan mendirikan solat sebagaimana firman Allah maksudnya: Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Begitu juga hikmah amalan zakat melalui firman Allah yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya kamu membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Taubah, ayat 103)

Ringkasnya, ruang lingkup akhlak dalam Islam adalah mencakupi seluruh kehidupan kerana akhlak merupakan simbol kepada amalan kerja dan perlakuan di dalam hidup. Justeru amalan menolong orang lain adalah akhlak, kerja untuk menyara dirinya dan ahli keluarganya juga adalah akhlak, beriman kepada Allah dan menyembah-Nya adalah akhlak.

Pendek kata, kesemuanya itu termasuk dalam erti kata kebajikan sebagaimana firman Allah maksudnya: Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat tetapi kebajikan itu ialah beriman seseorang kepada Allah, hari akhirat, segala malaikat, segala kitab, sekalian nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya -sedang dia menyayanginya- kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, kepada orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan solat serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan), dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Selanjutnya, sesuatu amalan kebajikan tidak diambil kira kecuali dengan asas iman dan ibadat. Kebajikan itu ialah akhlak dan akhlak itu adalah kebajikan. Amalan kebajikan sama ada untuk maslahah individu mahupun untuk maslahah ramai termasuk dalam maksud akhlak. Begitu juga muamalah yang baik dengan makhluk lain termasuk dalam pengertian akhlak. Manakala, amalan menyakiti makhluk lain adalah amalan tidak berakhlak. Sabar mendepani kesulitan hidup dan segala musibah yang menimpa adalah termasuk dalam akhlak.

Dalam erti kata lain, akhlak yang baik ialah tabiat atau perangai yang lahir pada diri seseorang seperti lemah lembut, pemurah, sabar dan sebagainya, tetapi harus diingat bahawa orang yang kelihatan baik perangainya belum tentu dia berakhlak. Ini kerana akhlak itu merupakan buah daripada amal ibadat yang didorong oleh iman. Iman itu kekuatan yang menguatkan jiwa dan juga pendidikan yang menjadikan manusia berakhlak terbilang dan berpekerti luhur.

Ini berbeza dengan etika yang merupakan peraturan dan disiplin yang perlu dipatuhi oleh seseorang manusia dalam waktu tertentu. Oleh sebab itu, seorang pekerja terpaksa patuh dengan etika kerja di tempat kerjanya. Selepas waktu kerja, dia bebas daripada peraturan tersebut. Akhlak yang baik pula merupakan sifat yang baik lahir daripada amal ibadat dan didorong oleh iman yang berlangsung selama hayat manusia demi mengharapkan keredaan Ilahi.

Justeru, untuk berakhlak baik merupakan satu perkara yang sukar bagi sebahagian manusia. Oleh sebab itu, seorang Muslim dituntut melakukan Mujahadah al-Nafs iaitu melawan hawa nafsu dan Tazkiah al-Nafs iaitu membersihkan diri daripada sifat-sifat yang keji seperti hasad dengki, buruk sangka, sombong, bakhil dan sebagainya. Hasil daripada gilapan iman yang sempurna, akan terhasillah akhlak yang mulia dan indah.

Perlu ditegaskan bahawa akhlak Islam bukan hanya sekadar dipraktikkan dalam lingkungan sesama Islam, bahkan hendaklah dipamerkan keindahan akhlak Islam kepada bukan Islam agar mereka sama-sama menghayati keindahan Islam mudah-mudahan hati mereka kelak akan terbuka untuk menerima Islam sebagai cara hidup mereka. Lebih dari itu, Islam tidak pernah melarang untuk berbuat baik atau berakhlak mulia kepada bukan Islam, terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan maslahah umat.

Ini ditegaskan Allah lewat firman-Nya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahinah)

Demikianlah skop akhlak Islam yang cukup menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan ummah sejagat. Hanya akhlak Islam sahaja penyelesaian ampuh bagi segala krisis dan kemelut sosial yang melanda umat Islam dewasa ini. Akhlak Islam merupakan hasil amal ibadat yang berterusan di samping kemantapan iman yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubari.

No comments:

Post a Comment