Tuesday, December 15, 2009

Tazkirah : Perjalanan Menuntut Pengorbanan


pengorbanan

Ujian suatu sunnatullah

Syurga merupakan suatu yang diimpikan oleh setiap individu. Tetapi ia disediakan oleh Allah s.w.t hanya bagi hamba-hambanya yang beriman. Namun jalan untuk menuju syurga tidak semudah dengan sekadar melafazkan kata-kata aku beriman tetapi ia menuntut suatu yang lebih besar daripada itu. Ia menuntut kita untuk melaksanaakan tuntutan-tuntutan iman yang termaktub di dalam Al-Quran.

Firman Allah s.w.t : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. ” (Surah Al-Ankabut : 2,3)

Firman Allah s.w.t : “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?.” (Surah Ali-Imran : 142)

Jalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan generasi para duat

Para pendakwah yang meniti jalan dakwah ini pasti akan diuji dengan pelbagai jenis ujian. Jalan dakwah ini tidak ditaburi dengan bunga-bunga tetapi ia ditaburi dengan duri-duri yang menyakitkan yang akan menghalang perjalanan para da’i . Inilah jalan yang telah dititi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat dan generasi duat yang terdahulu.

Firman Allah s.w.t : Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah As-Saff :10,11,12)

Mereka yang mendambakan syurga Allah s.w.t dan pengampunan daripada Allah s.w.t hanya boleh memilikinya setelah mereka beriman kepada Allah s.w.t dan RasulNya, dan berjuang serta berjihad di jalanNya dengan mengorbankan harta benda dan jiwa mereka. Mengorbankan jiwa bukan sahaja bermaksud mengerahkan tenaga di jalan Allah s.w.t tetapi juga termasuk di dalamnya mengorbankan segala perkara yang kita sukai dan cintai bagi meraih cinta Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t lagi :Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah Al-Hujurat :15)

Rasulullah s.a.w, para sahabat dan generasi duat yang terdahulu membuktikan keimanan mereka dengan menjual diri kepada Allah s.w.t serta mengorbankan segala yang ada pada diri mereka untuk agama Allah s.w.t. Cuba kita kenang kembali kisah ujian yang dihadapi oleh keluarga Yasir, Sumaiyah (Wanita pertama yang syahid), Khabbab ibn Al-Arat yang dipanggang. Sabda Rasulullah s.a.w kepada keluarga Yasir : Sobran Ya al Yasir, inna mauidakal Jannah (bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya bagimu syurga . Para sahabat berkorban di jalan Allah s.w.t samada dengan memberi segala apa yang ada pada mereka bagi mendapatkan syurga ataupun meninggalkan segala yang mampu menghalangkan mereka bagi mendapatkan syurga. Seperti Abu Ubaidah r.a yang telah membunuh bapanya di dalam peperangan menentang musyrikin.

Firman Allah s.w.t : “ Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah At-Taubah : 24)

Kemenangan hadir dari mereka yang sabar dan thabat

0280

Firman Allah s.w.t : (Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).” (Surah Al-Hasyr : 8

Firman Allah s.w.t lagi : Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu – sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka itu pada hari kiamat), hari tiap-tiap diri datang membela dirinya semata-mata, dan tiap-tiap diri disempurnakan balasan apa yang ia telah kerjakan (sama ada baik atau jahat), sedang mereka tidak akan dianiaya sedikit pun.” (Surah An-Nahl : 110,111)

Golongan muhajirin diberikan pujian oleh Allah s.w.t bukan hanya kerana telah melafazkan keimanan bahkan mereka telah membuktikan dan membenarkan iman mereka dengan berhijrah bagi menyelamatkan iman mereka dan mencari ganjaran dan keredhaan daripada Allah s.w.t . Mereka telah meninggalkan segala harta benda mereka di Mekah dan berhijrah ke Madinah tanpa sebarang harta (fakir) dan bersabar dengannya. Dengan itu mereka telah dipuji oleh Allah s.w.t sebagai orang-orang yang benar.

hasan

As-syahid Imam Hasan Al-banna berkata : Ketidahfahaman rakyat pada hakikat Islam akan menjadi ujian bagi kalian. Ulama rasmi pemerintah akan menjadi musuh kepada kalian. Setiap pemerintah berusaha membatasi amal kalian dan memasang halangan di jalan yang kalian tempuh. Mereka akan meminta bantuan dari mereka-mereka yang berjiwa lemah dan berhati sakit. Sebaliknya akan berlaku kasar kepada kalian. Kerana itu kalian akan dipanjara,disiksa,diusir,rumah-rumah kalian digeledah,harta kalian dirampas, dan tuduhan keji dilontarkan pada kalian dengan harapan dpt mengurangkan wibawa kalian. Kemungkinan ujian ini akan berlangsung dgn lama. Sedarilah, saat itu kalian baru mula menapakkan kaki dijalan yang telah ditempuh oleh para mujahid…”

Setelah kita telah diuji dengan pelbagai ujian yang menuntut pengorbanan jiwa dan harta kita dan kita mampu bersabar serta thabat dengan ujian-ujian tersebut, ketika itu barulah kita mula menapakkan kaki kita di jalan dakwah yang sebenar. Wahai para da’i persiapkanlah dirimu!.

Wallahu’alam

http://abuhamzah.wordpress.com/


5 comments:

  1. Salama 1 akidah(bukan 1 Malaysia)

    Perjalan menuntut pengorbanan. Tajuk Tazkirah yang menarik. Setiap pengorbanan itu mestilah beasas/berdasarkan hukum bukan semporono sebagai mana yang lakukan oleh UMNOngok.

    Mereka mengorban SAR untuk kepentingan apa? Tarbiyah dari SAR jauh berbeza dari sekolah agama lain. Mungkin itu yang di takuti oleh UMNOngok ini. Jadi mereka melakukan pengorban untuk menyekat bantuan berkapita kepada SAR hingga kini SAR masih berdiri teguh
    walaupun tidak mendapat bantuan.

    Firman allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 139 berbunyi:

    139. Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman. Sadaqallahulazim.

    Syukran Shabat. Anak ana hari ini peperiksaan untuk "subject Syari'ah) Isnin lalu Bahasa Arab Tinggi. Hari ini berakhirlah peperiksan dan tamat di SAR. Doa kan dia berjaya agar menjadi pejuang menegakan Islam. Tadbir

    ReplyDelete
  2. salam sahabat..ayid,

    syukran, dengan komen yang menarik dan bermanafaat...semoga anak akhi berjaya dalam peperiksaan, insyaallah :) selamat berjaya

    ReplyDelete
  3. Salam Ya Akhi,
    Itulah sunnah para pejuang,jika ALLAH memberi kemenangan mudah bagi para pejuang nescaya para pejuang-pejuang yang menegakkan agama ALLAH yakni Islam tidak merasa betapa besarnya nikmat iman. Lihat sahajalah bagaimana As-Shayid Hassan Al-Bana mati dibunuh sekejam-kejamnya demi mengajak kaumnya kembali kepada Islam,kemudian lihatlah As-Syahid Sayid Qutb yang mempertaruhkan leher ke tali gantung demi mengembalikan Al-Quran dan As-Sunnah kepada kaumnya. Rasulullah telah bersabda:
    "Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku .

    Namun kini golongan yang mahu menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah ditindas,difitnah dan diaibkan.
    Mereka ini para Mujahid sanggup memilih Syahid daripada hidup redha kepada pemimpin Zalim yang tidak mahu menegakkan Hak-Hak ALLAH S.W.T.Dengan berbekalkan Slogan:
    “ALLAH matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perlembagaan kami, Jihad perjuangan kami & Syahid setinggi-tinggi harapan kami". Takbir ALLAHUAKBAR!

    ReplyDelete
  4. salam semua para sahabat, syukran dgn komen yg sgt mmbina :)

    semoga ana dapat belajar dr antum yg lebih berpenglman.

    ReplyDelete