Wednesday, December 16, 2009

Wabak Hendonisme & Seks Menghancurkan Remaja , Kajian Kes

Zaman remaja adalah merupakan cabaran yang getir dan cukup menguji dalam pembinaan peribadi dan sahsiah. Usaha institusi sekolah sebagai gedung perubahan sosial dalam kehidupan pelajar juga semakin sukar dan gawat kerana cabaran institusi ini sudah tidak sekuat dahulu. Institusi sekolah semakin kurang sokongan dari suasana persekitaran yang kian mencabar. Sokongan yang rapuh dari waris pelajar dan masyarakat amat ketara dan melemahkan lagi kawalan terhadap budaya hendonisme yang semakin berakar umbi dalam kehidupan remaja kita hari ini.

Laporan statistik Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah mengenai jenayah rogol yang meningkat di negeri Kedah mengundang persoalan yang amat serius dan membimbangkan. Malahan kes yang tidak dilaporkan juga sebenarnya amat tinggi jika kita ingin mencari ke akar umbi. Statistik tahun 2008 tersebut menunjukkan dari 309 kes jenayah, 226 kes adalah jenayah rogol di mana 210 adalah kes yang melibatkan pelajar berusia 12 hingga 18 tahun. Malah dari sumber PDRM tersebut, hanya 4 kes sahaja dari 226 kes dilaporkan sebagai paksaan selebihnya adalah secara sukerela. Gejala ini sudah tentu berlaku dan akan terus berlaku kepada para remaja yang sudah terdedah kepada unsur pornografi. Trend penggunaan telefon bimbit juga membawa kepada banyak masalah sosial yang kian berleluasa. Era multimedia dan teknologi maklumat sedang menguji asas agama dan keimanan yang menjadikan remaja kita sebagai bahan kajian. Malahan golongan dewasa juga turut diuji dengan cabaran yang bukan kepalang ini. Bayangkan pula kesannya kepada golongan muda yang sedang bergelora arus kehidupannya.

Melalui satu kajian yang telah penulis jalankan baru-baru ini terhadap 127 orang pelajar remaja perempuan Melayu tingkatan 2 berusia 14 tahun di sebuah sekolah luar bandar, 30 % telah terdedah kepada unsur seks melalui telefon bimbit dan juga VCD yang mudah diperolehi. 5% dari remaja luar bandar ini juga telah melakukan hubungan seks secara sukarela. Kajian penulis terhadap 56 pelajar lelaki tingkatan 1 berusia 13 tahun mendapati 43% telah terdedah kepada filem lucah. Manakala kajian terhadap 67 remaja lelaki di tingkatan 2 mendapati 61% telah menonton dan terdedah kepada gejala ini. Bagaimanakah pula jika kajian ini dijalankan di bandaraya khususnya di sekitar Alor Setar atau Sungai Petani. Saya yakin dapatan kajian akan lebih mengerunkan jika ianya dijalankan terhadap remaja perempuan atau lelaki berusia 16 tahun ke ata. Malah dalam satu ceramah yang penulis kendalikan untuk pelajar sekolah rendah tahun 1 hingga 6 di Kuala Kedah, hampir 40% pelajar lelaki terlibat meminum air ketum kerana ianya adalah minuman bapa mereka di rumah. Jawapan mereka, minuman tersebut adalah dianggap ubat cacing dan disediakan oleh ibu di rumah. Bagi penulis perkara yang menjadi asas kepada segala punca permasalahan ini ialah apabila rukun Islam diremehkan dan ibadah solat yang menjadi kewajipan sudah tidak dititikberatkan oleh ibu bapa. Asas pendidikan agama dan sistem kekeluargaan sudah semakin pincang dan mengundang pelbagai masalah di luar jangkaan.

KAJIAN TERHADAP 127 REMAJA PEREMPUAN TINGKATAN 2 DI KEDAH

1. Pernahkah anda ponteng sekolah ?
YA 40%
TIDAK 60%

2 Anda seorang perokok atau pernah merokok ?
YA 16%
TIDAK 84%

3 Adakah anda solat lima waktu ?
YA 7%
TIDAK 93%

4 Adakah ibu anda solat lima waktu ?
YA 72%
TIDAK 28%

5 Adakah bapa anda solat lima waktu ?
YA 65%
TIDAK 35%

6 Adakah anda mempunyai telefon bimbit ?
YA 77%
TIDAK 23%

7 Pernah menonton vcd dan gambar lucah ?
YA 30%
TIDAK 70%

8 Pernahkah anda keluar (dating) dengan pasangan ?
YA 35%
TIDAK 65%

9 Pernah bercumbu atau berpeluk dengan pasangan ?
YA 18%
TIDAK 82%

10 Pernah melakukan hubungan seks ?
YA 5%
TIDAK 95%

11 Pernah minum air ketum, arak atau mengambil pil khayal ?
YA 3%
TIDAK 97%

Kajian penulis terhadap 127 Remaja Perempuan berusia 14 tahun di sebuah sekolah di luar bandar

Bolehkah kita mengklasfiksikan gejala ini sebagai wabak yang lebih bahaya dari H1N1 ? Siapakah yang mahu bertanggungjawab untuk mengekang wabak ini dari terus bermaharajalela dalam arus kedewasaan anak remaja kita. Bagi penulis ianya adalah bencana kepada masa depan remaja Islam kerana tanpa disedari, kita sebenarnya membiarkan masalah ini terus berlarutan dan merosakkan nilai agama Islam yang suci. Apakah nasib remaja Islam pada masa akan datang dan bagaimana pula masa depan negara jika moral dan akhlak remajanya semakin terhakis.

Jenayah seks bebas sebenarnya berada di tahap amat meruncing dan kritikal. Tiada usaha kongkrit yang dilakukan banyak pihak dalam masyarakat untuk mengekang dan mengawal penularan pengaruh bahan-bahan lucah dan pornografi. Kelompok masyarakat kita seperti NGO Melayu hanya bertaring dan bising dalam hal-hal politik dan sibuk melihat kuman di seberang laut tetapi masalah anak bangsa yang sudah dihujung tanduk dibiarkan sepi, seolah-olah ianya adalah peranan dan tanggungjawab pihak berkuasa sahaja. Sedar atau tidak bahawa bahaya jenayah seks ini juga akan sampai kepada anak cucu kita yang sentiasa terdedah kepada unsur pornografi yang berleluasa. Dari bandar dan pekan kecil hingga ke Bandaraya Alor Setar, cukup mudah untuk remaja belasan tahun membeli atau mengekses bahan-bahan yang dinyatakan. Malahan sejak sekian lama sebuah kedai VCD tingkat 3 di City Point menjual secara terbuka video lucah kepada sesiapa sahaja. Suatu persoalan yang berlegar ialah apabila melihat pembantu kedai di kebanyakkan premis-permis menjual VDC tersebut adalah anak gadis Melayu. Dalam keadaan ini apakah sebenarnya peranan ibu bapa gadis berkenaan sehingga boleh membenarkan anak mereka mencari rezeki di tempat yang terdedah dengan seks bebas. Saya percaya pihak KPDNHEP telah membuat serbuan tetapi anehnya mereka masih mampu terus menjual secara terbuka. Apakah ketidakcekapan penguatkuasaan kita yang memang lemah sejak dahulu dan kini menjadi asas kepada keberanian banyak pihak dalam tindak tanduk mereka. Itu belum termasuk pusat-pusat internet yang boleh diakses oleh pelajar dari tahap rendah hingga ke peringkat menengah tanpa kawalan. Mereka menyediakan premis mereka dengan tujuan pelajar berasa selesa dan terlindung untuk melihat segala gambar dan video lucah dari internet. Melalui risikan dan pemerhatian, jika seorang remaja ingin membeli sebuah telefon bimbit , mereka akan menerima secara percuma berpuluh-puluh video seks untuk dinikmati dalam telefon bimbit. Kebanyakkan video bekenaan pula adalah rakaman adengan oleh anak-anak Melayu yang hanyut dalam arus hendonisme kesan penularan wabak seks bebas ini.

Dalam konteks ini punca utama untuk mengenal pasti punca ialah kelemahan institusi kekeluargaan dan masyakarat kita. Sikap tidak ambil peduli terhadap kegiatan anak-anak menyebabkan berlakunya gejala yang dinyatakan. Malah apakah kewajaran memberikan telefon bimbit kepada remaja sebagai alat yang begitu diperlukan oleh mereka. Lebih mendukacitakan apabila tiada kawalan ibu bapa terhadap penggunaan telefon bimbit oleh anak-anak mereka. Dalam konteks ekonomi masyarakat Melayu yang masih lemah, budaya menabung yang tidak diambil peduli sebaliknya mereka rela membazirkan pendapatan yang tidak seberapa untuk membekalkan alat komunikasi tersebut yang sebenarnya merosakkan fokus dan masa berharga remaja kita. Saya memohon peranan PIBG agar memberikan kesedaran kepada ibu bapa agar mengelakkan anak-anak mereka dibekalkan telefon bimbit di peringkat sekolah rendah atau menengah kerana kesan buruk dan negatif penggunaan alat telekomunikasi tersebut adalah amat banyak berbanding kebaikannya kepada remaja kita.

Penulis juga mengenalpasti kedai bangsa lain yang menjual rokok kepada pelajar perempuan, membekalkan gam untuk dihidu dan minuman samsu kepada anak bangsa kita. Sedihnya peniaga bangsa lain mengaut keuntungan dari bidang yang merosakkan anak Melayu Islam dan yang pasti tidak akan ada pembeli atau remaja bangsa asing yang datang mencari bahan yang dinyatakan di kedai bangsa mereka sendiri. Lihatlah bertapa bijaknya mereka dalam segala bidang sebaliknya bangsa Melayu terus dijadikan kuda tunggangan dalam segala tindakan. Keadaan dan masalah seperti ini akan terus menjadi barah selagi orang Melayu tidak mahu sedar atau sengaja tidak ambil peduli.

Dari segi penguatkuasaan lain seperti pengawalan terhadap unsur seks bebas dan pornografi yang semakin berleluasa kita sebenarnya sudah agak terlewat untuk bertindak. Siapa sebenarnya yang mahu bertanggungjawab untuk membenteras gejala ini. Peranan ibu bapa dan masyarakat sudah semakin longgar , mahu atau tidak kita mengharapkan penguatkuasaan yang sangat tegas dan konsisten dalam pelbagai aspek di negara kita perlu diberikan perhatian demi masa depan remaja Islam khususnya dan masyarakat kita yang semakin alpa dan semakin mementingkan diri sendiri.

Penguatkuasaan yang sangat lemah telah membuka jalan seluasnya kepada kaum lain ‘merosakkan ’ minda dan jiwa keIslaman anak bangsa kita. Selagi tiada ketegasan dan kawalan berterusan dalam hal-hal yang mencemarkan kesucian agama Islam maka kita akan terus menghadapi pelbagai masalah. Malah penulis mahu mencadangkan agar anggota pengautkuasa ini diswastakan secara tender agar tugas ini boleh dijalankan dengan lebih cekap dan penuh dedikasi dan mencakupi pelbagai bidang supaya boleh membantu tugas pegawai-pegawai agensi kerajaan yang sedia ada.

Adakah kita kini boleh berbangga dengan masyarakat kita yang hanya tahu berkokok berderai-derai dan menjerit di sana sini tetapi perkara yang paling asas iaitu hal kekeluargaan dan anak-anak mereka sudah semakin terabai dan kesalahan itu pula dituding kepada pihak lain. Bagi saya kesemua jawapan dan persoalan ini akan melibatkan kepimpinan dalam insitusi kekeluargaan dan masyarakat kita. Peranan ibu bapa sudah tidak setegas dahulu dan peranan guru juga tidak sehebat dahulu. Siapa pun tidak mahu mengaku salah tetapi siapakah yang ingin mengambil peranan untuk mengatasi masalah yang mengundang wabak yang akan meruntuhkan sistem sosial dalam masyarakat Islam di negara kita. Kita kini sudah menjadi masyarakat yang tidak kisah terhadap apa sahaja yang terjadi di sekeliling kita. Inilah harga yang terpaksa dibayar kerana kecenderungan kita yang berpolitik siang dan malam. Lantaran perpecahan dalam masyarakat disebabkan faktor politik dan hal-hal lain kita sudah lupa dan mengabaikan aspek pembangunan jiwa kita sendiri dan seterusnya melemahkan insitusi keluarga. Disebabkan kita dilekakan oleh perkara yang tidak penting tetapi dijadikan sebagai keutamaan, maka sudah pasti fokus dan penyelesaian untuk mengungkai wabak ini akan terus terabai kerana sikap kita seperti bait-bait lagu ‘Bangau oh Bangau’ mencari salah orang lain untuk menutup kelemahan diri sendiri.

عَنْ عَليِ بْنِ اَبِي طَالِبٍ يَقُوْلُ : اِناَّ لجَلُوُسٌ مَعَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

فِي اْلمَسْجِدِ اِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلِيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوْعَةٌ بِفَرْوٍ فَلَمَّا رَآهُ

رَسُوْلَ اللهِ بَكَى لِلَّذِىْ كَانَ فِيْهِ مِنْ النِّعْمَةِ وَالَّذِىْ هُوَ الْيَوْمَ فِيْهِ ثمَُّ قَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كَيْفَ بِكُمْ إِذَا غَدَا أَحَدُكُمْ فِي حُلَّةٌ وَوُضِعَتْ بَيْنَ يَدَيْهِ صَحْفَةٌ وَرٌفِعُتْ اُخْرَى وَسَتَرْتمُْ بُيُوْتَكُمْ كَمَا تُسْتَرُ اْلَكَعْبَةُ, قاَلُوْا ياَ رَسُوْلَ اللهِ نَحْنُ

يَوْمَئِذٍ خَيْرٌ مِنَّا الْيَوْمَ نَتَفَّرَعُ لِلْعِبَادَةِ وَنُكْفَى اْلمُؤنَةَ فَقَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا أَنْتُمْ الْيَوْمَ خَيْرٌ مِنْكُمْ يَوْمَئِذٍ .

(رواه الترمذي)

Maksud:
Daripada Ali bin Abi Talib Radhiyallahu 'anhu: “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair Radhiyallahu 'anhu dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melihat kepadanya, Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana terharu mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu ( kerana sangat dimanjakan oleh ibunya ) dan kerana melihat nasib Mus’ab sekarang ( ketika berada di madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kemewahan di Mekah. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi ( menghiasi ) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’abah?. Maka jawab sahabat, “ Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki”. Lalu Baginda bersabda : “Tidak, keadaan kamu pada hari ini lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”. (Hadith Riwayat Al-Tirmizi)

Berapa ramai di kalangan kita yang menyedari hakikat bahawa kemewahan, budaya hendonisme yang keterlaluan untuk mencari hiburan dan keseronokan serta tipu daya dunia banyak menghalang seseorang daripada melaksanakan ibadah kepada Allah, sepertimana fenomena yang berlaku pada umat Islam pada hari ini. Sedar atau tidak, betapa ramai umat Islam pada hari ini yang tertipu dengan keseronokan hiburan yang melampau dan tipu daya dunia yang mempersonakan. Kekayaan, kemewahan dan budaya hendonisme yang ada telah menyibukkan kita dan menghalang dari melaksanakan ibadah untuk mencari keredhaan Allah. Umat Islam pada hari ini dikelabukan mata dengan mengejar kemewahan dan mencari keseronokan yang berpanjangan tanpa memikirkan apakah persiapannya dan amalan untuk dibentangkan di hadapan Allah pada hari Kiamat nanti. Aduh, betapa malangnya nasib mereka yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk mendapatkan kesedaran dan kefahaman Islam. Marilah bersama-sama kita saling ingat mengingati antara satu sama lain agar kita tidak tergolong di kalangan mereka yang jauh dari rahmat kasih sayang Allah. Adakah kita juga tergolong di kalangan mereka yang cintakan budaya hendonisme dan mengejar kemewahan dunia??

Kisah yang berlaku di kalangan salah seorang sahabat, iaitu Mus’ab bin Umair Radhiyallahu 'anhu sudah cukup untuk membuatkan kita menitiskan air mata keinsafan dan sedar betapa hebatnya iman seorang sahabat yang sangat menyentuh hati kita. Memadailah apa yang digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam tentang beliau untuk dijadikan sebagai iktibar kepada kita. Hadis di atas menggambarkan kepada kita bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam pernah bersedih dan menangis apabila mengenangkan nasib yang menimpa Mus’ab bin Umair. Beliau merupakan seorang anak bangsawan, yang selalu dimanjakan oleh ibunya, pakaiannya dahulu diperbuat daripada kain yang mahal, sehinggalah apabila kecintaannya kepada Allah dan RasulNya mengatasi segala-galannya, beliau sanggup tinggalkan segala kemewahan tersebut dengan memilih Allah dan RasulNya mengatasi segala-galanya. Banyak kitab sirah yang merakamkan kisah yang menyentuh hati ini, sehinggakan diceritakan apabila jenazahnya hendak ditutupkan di kepalanya, bahagian kain yang menutupi badannya terbuka di kakinya. Apabila ditarik ke bahagian kaki, kain kafan yang menutupi jenazahnya di bahagian kepalanya pula terbuka kerana kain tidak cukup lebar, sedangkan semasa hayatnya beliau merupakan seorang anak bangsawan yang kaya dan terkenal di Mekah.

Dalam hadith ini juga, Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa umatnya pada suatu hari nanti akan memperolehi kekayaan, kemewahan dan kelapangan dalan kehidupan. Pakaian mereka yang cantik akan silih berganti setiap hari, hidangan makanan yang tidak pernah putus-putus, rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihasi dengan bermacam-macam perhiasan. Begitulah gambaran terhadap sifat tamak dan haloba manusia dalam menghimpun harta kekayaan yang tidak pernah cukup dan tidak puas melayan nafsu. Mereka sentiasa ingin mencari dan menambah kekayaan sehinggalah kematian datang menjemput mereka. Maka pada ketika barulah mereka sedarkan diri dengan seribu satu penyesalan, di saat sudah tidak berguna lagi penyesalan. Benarlah sepertimana yang pernah diingatkan oleh Rasululhah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam sebuah hadithnya yang bermaksud : “ Seandainya anak adam itu mempunyai satu jurang emas, nescaya mereka akan berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah mereka dimasukkan ke dalam tanah ( kematian ). Orang yang bijak ialah mereka yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan menjadikan dunia ini tempat untuk bercucuk tanam dan akhirat sebagai tempat untuk memetik hasil tanamannya.

1 comment:

  1. Itulah dia penyakit Al-wahan
    Cintakan keseronokan dunia dan takut mati,yang di ceritakan oleh Rasulullah s.a.w. menimpa ummatnya di akhir zaman.

    ReplyDelete